Monday, November 9, 2009

26 Tahun: Fasa Kematangan


Semalam, 8 Nov genap usia saya 26 tahun. Seakan tidak percaya umur sudah ke tingkatan ini. Pejam dan celik, saya semakin dewasa.. Dewasa sering dikait dengan sifat matang dari segala sudut. Adakah saya semakin matang?. Saya sendiri tidak pasti. Saya mengharap anda menjadi cermin yang jernih buat saya melihat wajah kematangan itu.


Kenalan jauh dan dekat mengirim ucapan. Di sebalik doa mereka, terselit harapan. Agar saya bertambah matang menyikapi kehidupan. Dunia juga begitu tegar menggemakan gelombang alpha iaitu gelombang ketenangan dan kematangan. Semua menyeru saya ke arah itu. Matang fikiran, matang emosi dan matang iman.


Ya, saya harus matang dan tenang. Kematangan yang dibentuk bukan sahaja kerana pertambahan usia tetapi pertambahan tanggungjawab. Inilah fasa saya mula bergelar isteri dan mungkin jua seorang bakal ibu walau bukan sekarang. Peranan seorang isteri bertindih dengan peranan yang sudah sedia ada. Saya seorang anak, sahabat, dai’e, dan paling utama seorang hamba. Saya wajib menjadi semua itu sekalipun tidak suka dan perit menanggung.


Kenapa saya harus matang? Tanpa matang, saya tidak akan jadi pemilik sabar. Sabar itu tanda keampuhan jiwa. Saya tidak betah mendukung banyak tanggungjawab dengan jiwa yang lemah. Sabar memberi saya masa untuk belajar melihat kehidupan dengan hakikat sebenar. Sabar membuka ruang kepada jiwa untuk menyikapi cabaran dengan nada seimbang. Sabar adalah spiritual yang selalu diabai sehingga tidak terlihat matang pada apa yang dilakukan.



Selain kesabaran, pengalaman membentuk corak kematangan seseorang. Pengalaman diperoleh daripada sikap sedia menerima tanggungjawab. Ia tidak terhasil tanpa integriti. Apakah itu integriti? Integriti ialah menunaikan tanggungjawab yang kita janjikan pada masa yang dijanjikan dengan tindakan yang dijanjikan. Ramai yang gagal mengecap pengalaman dalam lingkungan tanggungjawab kerana kehilangan integriti ini.


Ada lagi satu iaitu pandangan. Semakin bertambah usia, kematian semakin hampir. Manakala pandangan pula harus semakin jauh. Namun saya perlu ingat. Di sebalik membentuk jauhnya pandangan, jangan tertipu dengan idealisme dalam mencipta impian dan cita-cita. Pandangan perlu dituntun oleh idelisme yang seimbang. Suatu pembaziran pada proses berfikir dan bertindak ialah idealisme tinggal idelisme, tindakan semakin kabut.


Saya mahu berjaya. Berjaya dengan apa yang diimpi dan apa yang ada sekarang. Namun berjaya dengan apa yang dimiliki sekarang adalah lebih baik. Tidak ada gunanya berjaya mengejar impian lain tetapi gagal meningkatkan potensi dengan apa yang sudah tersedia dimiliki. Meningkatkan potensi pada yang sedia ada juga suatu kejayaan. Jika saya seorang penulis blog, kejayaan potensi pada saya ialah menulis buku.


Satu impian saya pada umur ini ialah mengejar potensi diri dengan apa yang sudah termiliki. Berbekal kematangan, kesabaran, pengalaman dan pandangan, saya serahkan segalanya pada Allah. Saya berharap Allah mengukur usaha saya, bukan pada hasil saya.


Kerana saya tidak pasti setakat mana umur saya untuk melihat hasil itu. Panjangnya umur saya ialah pada sebanyak mana manfaat yang saya lakukan.


Saya mahu panjang umur dengan banyaknya melebar manfaat. Semoga panjang umur.


3 Comentários:

cun09 said...

salam ziarah...
selamat hari lahir moga diberkati dan dirahmati oleh ALLAH sepanjang hidup ini ^_^

az_abrar said...

assalamualaikum wr wb.

Akak salam birthday...:) semoga tabah meneruskan hidup dengan berbekalkan perjuangan yang jitu :)

cahayaberliku said...

سنة حلوة يا أختي

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO