TARBIYYAH WORLD
Karya ini menunjukkan kepada kita kebijaksanaan dan kesungguhan bangsa Jepun dalam membina satu bangsa dan tamadun yang berjaya. Doraemon ada wawasan. Menyelamatkan bumi, menjaga alam sekitar, menghormati guru dan ibu bapa, semangat setiakawan, melebihkan orang lain berbanding diri sendiri, cinta antara dua anak kecil, dan juga kesetiaan Doraemon terhadap tuannya Nobita mempamerkan satu nilai yang sangat berharga untuk dipungut.
Arena dakwah dan tarbiyyah zaman sekarang bukan lagi seperti arena dakwah dan tarbiyyah 5 tahun yang lepas, 10 tahun yang lepas mahupun 50 tahun yang lalu. Contohilah Fujo F Fujiko yang mempunyai pemikiran yang luar biasa, kehadapan, ada wawasan dan cita-cita, mindanya tidak sempit dan beku, komitmen dan bersungguh-sungguh, tidak jumud dan ditakok lama dan paling penting ada cetusan semangat untuk membangunkan bangsanya. Adakah kesan sistem tarbiyyah kita seperti kesannya karya Fujo F Fujiko kepada bangsa Jepun? Matlamat kita memang berbeza namun yang perlu dipersoalkan, apakah sikap dan pemikiran kita?
Belajar dari Ultraman
Jepun juga boleh berbangga dengan Ultraman. Raksasa mengganas menghancurkan negara Jepun tetapi apabila Ultraman bejaya mengalahkan raksasa, bumi Jepun kembali kepada asal dalam sekelip mata. Itulah kebanggaan Jepun, Jepun berjaya membina negaranya kembali sehingga kini selepas musnah akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki hanya dalam tempoh 100 tahun.
Jepun ada wawasan dan dengan wawasan itu mereka membentuk negara. Jepun ada perancangan yang strategik, pegangan dan berprinsip. Kerana pegangan dan prinsip itu, Jepun boleh kekal dengan budaya dan bahasa mereka sendiri. Budaya kerja Kamikaze dan semangat Kaizen melatih rakyat Jepun bermotivasi untuk bekerja. Bagaimana pula dengan corak dan budaya kerja kita? Cakap tak serupa bikin atau bikin serupa cakap?
Belajar dari Superman
Barat pula berbangga dengan Superman, Spiderman, Catwomen, Incredible Hulk, X-Men dan Ice-Man. Jangan melihat kepada bentuk luaran kerana setiap filem dan watak yang dibuat, ada mesej tersirat yang ingin disampaikan. Meskipun berseluar dalam di luar, namun Superman membayangkan bahawa Amerika Syarikat adalah gergasi dunia yang tidak tercabar.
Zaman tarbiyyah sekarang bukan lagi zaman yang hanya membincangkan bagaimana melahirkan nuqoba’ yang baik tetapi zaman tarbiyyah untuk melahirkan pemimpin yang berkarismatik. Jika kita sudah bersedia untuk merubah sistem kerajaan hari ini, maka kita juga perlu bersedia melahirkan pakar ekonomi, jurutera sistem, pakar IT, penggubal undang-undang, pendidik, perancang bandar, kontraktor, karyawan filem, penulis novel, dan ahli profesional yang lain untuk mengubah seluruh sistem sekular hari ini. Tiada negara Islam lagi yang menjadi gergasi dunia, kerana itu tidak mustahil Islam dikatakan agama mundur dan menolak kemajuan.
Belajar dari Putera Katak
Seorang putera raja menjadi seekor katak kerana sumpahan tukang sihir dan sumpahan ini hanya boleh disembuhkan oleh ciuman sejati seorang wanita. Bertahun-tahun Si Putera Katak cuba memikat hati wanita untuk menciumnya, namun tiada seorang pun yang sudi sehinggalah seorang puteri raja yang baik hati benar-benar mencintainya.
Kenapakah gadis-gadis sebelum ini tidak berselera hendak mencium katak itu walhal sebenarnya dia adalah seorang putera raja yang kacak. Jawapannya, kerana rupa putera raja itu seperti katak! Walaupun dia begitu tampan, baik hati, berkedudukan dan kaya namun tiada siapa yang sudi kerana rupanya adalah rupa katak.
Begitulah dalam urusan kita. Tidak kira siapapun kita, orang lain akan membuat tanggapan awal dengan perwatakan, penampilan, cara berpakaian, berkomunikasi, bertingkah laku dan pelbagai ciri yang melambangkan personaliti kita. Kita tidak boleh menghalang mereka daripada membuat macam-macam tanggapan tetapi kita boleh menghalang diri sendiri daripada membiarkan diri terus ditanggapi sebagai ’katak’.
Walaupun kita optimistik dengan slogan ’don’t judge a book by is cover’ namun jangan ambil lewa dengan istilah ‘cinta pandang pertama’. Tidak mustahil, kegagalan kita menarik perhatian dan minat sasaran dakwah pada pertemuan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya pada mana-mana program yang dikendalikan hanya kerana kita gagal mendapatkan tanggapan pertama yang baik!
Wujudkan personaliti yang adaptif. Adaptif adalah menyesuaikan diri dengan keadaan dan tempat. Adaptif adalah meraikan harapan orang lain. Adaptif adalah satu kemahiran dakwah. Adaptif juga petanda kemesraan dan kasih sayang.
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment