RAYA DAN HARGA SEBUAH KERINDUAN
SMS Raya…Duit Raya…
Entah kenapa kepingin betul saya untuk berkongsi cerita raya tahun ini. Tak sikit banyak pun jadilah. Terkenang zaman kanak-kanak dulu, ghairah dan hampir bergaduh bila bersembang bersama kawan-kawan pasal raya, terutama bab baju raya dan duit raya. Masing-masing hendak menangkan diri sendiri. Semakin meningkat usia, semakin berubah senario raya dirasa. Mungkin kerana tahun 2008 merupakan tahun terakhir saya beraya sebagai orang ’single’? Oh ho! Malu sendiri.
Doa yang semakin kejap dihati, semoga Allah panjangkan usia dan murahkan rezeki saya. Juga dianugerahkan ketabahan untuk menelusuri kehidupan yang masih jauh dan panjang ini.
Kalau dilipek sebosar kuku,
kalau dibontang sebosar alam.
Kok hilang dicaghi,
kok hanyut dipinteh,
kok tonggolam disolam.
Datang biarlah nampak muko,
kok poei biarlah nampak belakang.
Jauh diimbau dokek digamit.
Seuntai salam, sejambak kato.
Dogup bicagho, menghisik raso
Salam Eidulfitri, Maaf zahir & batin.
Satu sms raya saya terima malam itu. Sms dalam loghat Negeri Sembilan kiriman daripada makcik di baca berkali-kali. Seronok! Kelakar pun ada. Kalau kita hayati intipatinya secara mendalam, cukup sebagai jalan cerita kehidupan persaudaraan dan persahabatan yang terkesan setiap kali kehadiran syawal. Saya cuba terjemahkan dalam bahasa melayu standard.
Kalau dilipat sebesar kuku,
kalau dibentang sebesar alam.
Kalau hilang dicari,
kalau hanyut dipintas,
kalau tenggelam diselam.
Datang biarlah nampak muka,
Pergi biarlah nampak belakang.
Jauh diimbau dekat digamit.
Seuntai salam, sejambak kata.
Degup bicara menghiris rasa.
Salam Eidulfitri, Maaf zahir & batin.
Saya baru mula bekerja di syarikat kontraktor pembinaan dan syarikat panel motivasi. Bekerja dalam dua bidang yang berbeza. Bersyukur…satu bidang pembangunan material, satu lagi bidang pembangunan manusia. Saya sentiasa mengharapkan kalian panjangkan doa buat saya mencapai cita-cita saya – USTAZAH-ENGINEER .
Bukan niat saya bercerita tentang dunia kerjaya panjang lebar, cuma raya tempoh hari kenalan sanak saudara ‘berkecek-kecek’ minta duit raya, kononnya saya sudah bekerja dan ada duit sendiri, apa salahnya dihulur-hulurkan sedikit. Terimalah duit raya daripada saya yang tak seberapa ni.
Harga Sebuah Kerinduan
Kerinduan itu tentu lahir hasil perhubungan dan pergaulan yang membuahkan kemanisan rasa kasih dan sayang. Teringat dengan satu kata-kata hikmah ini:
“Bergaullah dengan manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan rindu kepada kamu dan jika kamu mati mereka akan menangisimu.”
Jika kita adalah orang yang demikian itu, maka kita pastinya seorang yang sangat baik, seorang yang sangat disenangi oleh semua orang. Sumbangan tentu banyak dan kita pastinya berasa cukup dihargai.
Berbaloi sungguh hidup ini apabila sentiasa dirindui orang dengan kerinduan yang jujur. Apabila tiada sering disebut-sebut kebaikannya, sering diharap-harap kedatangannya malah sering didoakan kebahagiaannya. Berbanding adanya kita menggugat ketenteraman orang, menyusahkan orang dan merugikan orang.
Sesungguhnya, tiadalah ertinya hidup kalau pergaulan kita itu tidak membuahkan rindu di hati manusia.
Salam rindu buat kalian yang saya kenali…
sahabat..
kenanglah sebuah pertemuan
kerana di situ tercipta kemesraan
sayangilah sebuah perpisahan
kerana di situ tercipta kerinduan
hargailah kedua-duanya
kerana itulah rahmat daripada Allah.
1 Comentário:
As-saff;4.
"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukoh"
sekukuh bangunan juga harus dirapatkan saff, diatur pecinta Allah agar dapat menzahirkan dinul haq. mardhotillah
Post a Comment