Monday, April 20, 2009

BICARA 'TEEN TALK'


Hikmah Ustaz Hasrizal dalam buku terbarunya, “Jika telah terasa manisnya iman, sebarkanlah kemanisan itu dengan sebuah dakwah dan bimbingan. Belajarlah mengukur kejayaan diri pada kejayaan membawa orang berjaya sama.”


Secara tabiinya, apa sahaja yang kita perolehi, sama ada perolehan perasaan atau kebendaan, pasti mahu dikongsi bersama yang lain. Kita gembira, kita kongsi kegembiraan. Kita sedih, kongsikan juga kesedihan. Jika kita tertekan, maka kita luahkan.


Andai kita memiliki hati yang tulus mulus, terasa kebendaan itu suatu anugerah dari Ilahi, maka ia turut dikongsi. Perkongsian itu mengurangkan duka di hati sendiri, manakala orang lain terasa dihargai. Perkongsian yang amat bernilai harganya dan besar ganjarannya adalah perkongsian dengan dakwah dan bimbingan.


Itulah keberjayaan yang hakiki. Jika kita berkongsi perasaan, mungkin yang terasa leganya adalah kita. Jika kita berkongsi kebendaan, ia hanya seketika. Tetapi jika kita berkongsi kejayaan dengan dakwah dan bimbingan tanpa putus asa, ketika itulah kita telah membawa orang lain berjaya sama.


Saya juga mahu melakukan perkongsian tersebut…


ASAL-USUL KITA

“Nama saya Atikah Zulaikha, umur saya 14 tahun. Saya berasal dari Gombak, tinggal di Rawang,” adik Atikah bangun memperkenalkan diri. Comel…

“Ok, terima kasih. Yang sebelah adik Atikah boleh bangun. Siapa nama dia ya? Boleh perkenalkan diri sikit?,” tanya saya meneruskan bicara.

Tersengih-sengih dia bangun, malu agaknya. Kelihatan muka seakan sama dengan adik yang baru berkenalan tadi. “Kemungkinan adik-beradik, duduk pun sebelah menyebelah”, fikir saya.

“Nama saya Aleeya Zulaikha, boleh panggil Leeya. Saya asal orang Gombak tetapi duduk di sini, Rawang,” terang dia tersipu-sipu.

“Oh, adik-beradik rupanya”.


Setelah dua peserta perkenalkan diri, saya sambung kembali bicara ‘Teen Talk’ malam itu. Konsep sebenar aktiviti ini adalah usrah remaja. Memandangkan kehadiran peserta malam itu hampir 50 orang dan saya dijemput untuk memberi ‘talk’, maka saya namakan ia sebagai ‘Teen Talk’, singkatan kepada ‘Teenagers Talk’.



Saya kembali menyambung sesi. “Kalau cikgu di sekolah, setiap kali bermula sesi persekolahan yang baru, cikgu pasti meminta kita perkenalkan diri bukan? Maka apa yang akan selalu disebut? Nama, tempat tinggal, ibu bapa dan asal usul. Selalunya itu yang disoal. Dan sebagaimana tadi, itulah jawapan yang sering kita beri. Misalnya;

“Nama saya Hidayah. Umur saya 15 tahun. Saya tinggal di Gombak, asalnya orang Negeri Sembilan. Mak saya orang Bangladesh, tapi ayah keturunan Arab. Atok pula orang Siam,” tergelak mereka mendengar misalan saya.


“Itulah yang biasa kita jawab kan?. Asal usul keturunan dan negeri. Bukan itu yang akak maksudkan untuk jawapan kali ini. Persoalannya bukan semata-mata asal-usul. Tetapi membawa fikiran kita sejauh-jauhnya, dari mana kita datang, kenapa kita didatangkan dan ke mana kita akan kembali.”


“Akak mahu bertanya, dari mana kita datang?”

“Allah”

“Ke mana kita akan kembali?”

“Allah,” jawab mereka lagi.

“Jadi, di manakah kampung sebenar kita?”

“Syurga, perkampungan yang kekal abadi,” sahut saya, ketika yang lain berdiam diri.


Mudah saya menukangi penyampaian awal teen talk. Menginjak persepsi masing-masing tentang kejadian manusia dan memanusiakan kejadian dengan merenung prinsip penciptaan kita. Ya, Allahlah asal-usul penciptaan kita.


Remaja sudah dihenyak dengan leteran ibu bapa di rumah. Di sekolah, dileteri lagi. Maka, adalah kesilapan bagi para pendakwah mengaplikasikan teknik berleter, berhujah panjang-panjang dengan fakta berteori seperti memberi kuliah kepada orang dewasa.


Pada kaedah saya, memadai dengan membuat analogi, bersesuaian dengan kehidupan realiti. Mereka perlu diperlihatkan tentang rutin sebenar kehidupan, dan akhlak sebenar dalam menghadapi rutin kehidupan itu.


MANA LEBIH BESAR?


“Mana lebih besar, tempat program ini atau kawasan Rawang?”, soal saya.

“Rawang!, jawab semua.

“Mana lebih besar, Rawang atau Selangor?,”bersoal lagi.

“Selangor!”

“Mana lebih besar, Selangor atau Malaysia?”

“Malaysia!”

“Mana lebih besar, Malaysia atau Benua Asia”!

“Benua Asia!”

“Cuba bandingkan antara Benua Asia dengan kita, sebesar mana kita?,” saya menukar soalan.

“Kita macam semut, kecik je!“, beberapa orang bersuara.


Saya diam sambil tersenyum dengan respon itu. Lalu saya teruskan bertanya, mana yang lebih besar antara Benua Asia dan Bumi. Semua melantun suara, jawabnya Bumi. Bertanya lagi, antara Bumi dan galaksi Bima Sakti, yang mana lebih besar. Semua berpadu suara menjawab Bima Sakti.


Setelah berhenti sebentar, saya sambung bertanya semula.


“Jika Bima Sakti itu besar, adakah kamu boleh melihat seluruh galaksi Bima Sakti itu dari awal hingga penghujungnya?”, semua menggeleng kepala.

“Cuba bandingkan Bima Sakti dengan seluruh angkasa raya, mana lebih besar?”. Jawab mereka, “angkasa raya!”.


Saya bertanya lagi, adakah kita boleh melihat angkasa raya? Mereka menggeleng kepala. Adakah kita mampu melihat bumi seluruhnya? Mereka semua menggeleng kepala, menjawab “Tidak!”. Kemudian saya bertanya, sebesar mana manusia ketika itu?

Beberapa orang daripada mereka menjawab, “kecil macam kuman, lebih kecil dari kumanlah”.

Saya mengangguk. “Adakah kamu tahu, Allah itu lebih besar dari segala-galanya?”

Semua terdiam.


“Betapa besarnya Allah, betapa kerdilnya kita. Kita menggambarkan diri kita seperti semut jika di bumi, seperti kuman di galaksi. Semuanya memperlihat kebesaran, malah lebih besar dari diri kita. Kadang-kadang kita terlupa hakikat penciptaan itu. Siapakah yang menciptakan semua itu? Bukankah Allah itu lebih besar dari angkasa raya?”


“Kita cuma tahu dunia ini hanya di sekolah, balik rumah, pergi kerja dan masyarakat di sekeliling yang bersosial dengan kita. Kegagalan kita ialah tidak memerhati kejadian alam ini dan seluruh isinya. Dengan itu, kita menjadi makhluk yang kerdil tetapi bangga diri.”


“Jika Allah mahu, diri kita yang sekecil kuman ini bila-bila sahaja boleh dihancurkan. Dia berhak menurunkan segala keburukan dan bencana dalam bentuk apa jua sekalipun. Namun, dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya terhadap hambaNya yang bongkak ini, kita masih diberi udara tanpa dikurangkan sedikit pun, masih diberi nyawa tanpa henti. Allah masih memberi kita rezeki tanpa putus.”


“Betapa kasihan belasnya Allah…”

“Dan…kita tetap menjadi hambaNya yang tidak tahu bersyukur…”


Kesimpulan saya menutup sesi mukaddimah ‘Teen Talk’. Baru mukaddimah…terasa malas pula nak tulis lagi. Kemudianlah sambung cerita.


1 Comentário:

AKU DAN PERJUANGANKU said...

menarik...

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO