Saturday, May 24, 2008

DARI JURUTERA BANGUNAN KE JURUTERA MANUSIA

Kejuruteraan awam merupakan bidang pengajian saya semasa dikampus. Skop bidangnya amat luas, namun dalam banyak2 yang saya pelajari, jiwa saya lebih tertarik kepada pengkhususan bangunan – ilmu secara teori dan praktikal untuk mengetahui dan memahami semua sistem-sistem dan perkhidmatan yang berfungsi di dalam bangunan. Kami didedahkan dengan sistem kebakaran dan pengangkutan bangunan, sistem elektrikal dan mekanikal, sistem akustik, sistem pencahayaan, dan pertama kalinya saya didedahkan dengan istilah kejuruteraan bangunan yang disebut bangunan pintar. Saya fikir pintar hanya pada akal fikiran, rupanya bangunan pun ada pintarnya juga. Semua sistem ini perlu diselenggara dan dikawalselia operasinya dengan teliti untuk menjamin keselamatan penghuninya.


Betapa teliti dan terperincinya seorang jurutera merekabentuk sesuatu binaan sehinggakan semua rekabentuk mempunyai standard yang perlu diikuti dari sebesar-besar struktur hinggalah yang paling kecil. Saya teringat beberapa sesi makmal outdoor bagi subjek trafik, kami diminta berdiri dan menunggu ditepi jalan depan kampus untuk mengira satu persatu berapa bilangan kenderaan yang melalui jalan tersebut sekadar mengambil data bagi merekabentuk sebuah traffic light. Rekabentuk struktur konkrit ’killer subject’ bagi saya dan rakan-rakan sekuliah tetapi inilah knowledge and skill yang paling penting dikuasai jika ingin bergelar engineer. Dari pembinaan struktur asas, tiang, lantai, tangga hingga ke bumbung semuanya ada standard yang perlu dipatuhi supaya bangunan yang dibina kukuh, stabil dan selamat. Tidak mustahil pensyarah saya selalu membingitkan telinga kami dengan pesannya dalam sesi kuliah, ”You’re engineer, please study hard for this subject. It’s important to you”.


Menjadi jurutera bagi saya amat mencabar walaupun saya belum mahir menerokai bidang ini. Apa yang anda fahami bila saya mula membuka topik di awal kelahiran blog ini – DARIPADA JURUTERA BANGUNAN KE JURUTERA MANUSIA. Saya teringat semasa aktif di kampus, saudara Kamil selaku pengerusi kelab saya sering mempromosikan saya dalam beberapa sesi suai kenal kepada peserta program: ”Apa yang menarik tentang kak hidayah ialah matlamatnya ingin menjadi jurutera manusia walaupun tidak berjaya menjadi jurutera bangunan”. Maaf saudara Kamil jika dialog ini ada silapnya, tapi bunyinya lebih kurang begitu. Saya semakin ghairah mengejar cita-cita ini kerana ini adalah jiwa saya dan saya berdoa agar terus istiqamah dengan cita-cita ini . Ya, menjadi seorang JURUTERA MANUSIA, menjadi agen perubah membangunkan ummah.


Saya ingin mengajak anda merungkaikan apa yang ada dibenak fikiran golongan remaja dan belia zaman sekarang. Apa pentingnya keseronokan dan hiburan pada mereka hingga sistem hidup Islam di pandang sebelah mata, itupun jika mereka masih ada mata – mata hati. Mereka dihinggapi dengan penyakit hati yang begitu kronik malah penyakit ini adalah penyakit berjangkit, virus keseronokan pada minat yang dikongsi bersama rakan, merebak dan terus merebak memakan sel-sel hati lalu mati. Tak perlu saya ceritakan sumber dan punca mengapa jadi begini kerana anda boleh membuka mata dan melihat sendiri. Dunia kian berubah dan semakin berubah untuk mengubah manusia kepada jiwa-jiwa syaitan.


Semasa di kampus saya selalu mengadakan slot diskusi bersama adik-adik yang rapat dengan saya. Saya selalu teringat kepada Zila, Yana, Aizat, Fairuz, Fiza dan Wani. Bagi saya, mereka adalah jiwa-jiwa muda yang tekun membina fikrah Islam tanpa jemu walaupun ada slot-slot diskusi yang saya bawa memang menjemukan. Latar belakang kami semua hampir sama, kenal Islam yang sebenar setelah memasuki alam mahasiswa. Tidak mustahil, kami juga pernah terjerat dengan jerat percintaan, menghayati bait-bait lagu siti nurhaliza juga mungkin, mengatur rentak menari ballet, bergaya dan berfesyen up to date, Wooow..amat menyeronokkan zaman remaja ketika itu. Mengapa kami semua terbuka hati menjadi kumpulan yang mencintai Islam? Kerana ukhuwwah kami telah mengikat hati-hati kami untuk tidak meletakkan cinta selain cintaNYA. Kerana ketekunan kami pada majlis ta’alim, pada puasa dan qiamullail, pada bacaan-bacaan ilmiah, duduk dalam suasana usrah, mengikat hati pada program-program yang telah menjana momentum perubahan dan terus-menerus melakukan perubahan. Berfikir untuk berhijrah, berhijrah untuk berubah. Berubah menjadi lebih baik. Tahniah buat kalian. Kalian lahir sebagai jiwa-jiwa muda yang meneruskan perjuanganku membina kembali bangunan yang telah usang. Apa itu bangunan usang? Teruskan membaca bebelan saya. Saya percaya anda remaja di luar sana juga mampu melakukan perubahan jika anda berfikir tentangnya.



Membangunkan manusia lebih baik daripada membangunkan bangunan tetapi membangunkan manusia juga lebih sukar daripada membangunkan bangunan. Rekabentuk dan sistem operasi bangunan semuanya direka oleh manusia. Sebagai jurutera, anda berhak menciptanya dan mengubahnya berdasarkan ilmu yang dimiliki. Tetapi untuk merekabentuk manusia dan mengoperasikan manusia, semuanya di tangan manusia itu sendiri. Kita tidak boleh mengubahnya jika mereka tidak mahu berubah. Yang mampu dilakukan hanya memberi kesedaran untuk melakukan perubahan. Merekabentuk bangunan ada standard JKR yang perlu dipatuhi, tetapi untuk ’merekabentuk’ manusia dengan memenuhi standard Allah sangat sukar.


Nah, adakah saya mampu menjadi seorang jurutera manusia yang berjaya? Saya tidak risau dengan masa depan saya sebagai jurutera bangunan kerana ramai lagi para jurutera di luar sana berlumba-lumba membangunkan bangunan megastructure. Walaupun kejuruteraan bukan bidang anda, anda tetap seorang jurutera yang mempunyai amanah membangunkan manusia kerana anda adalah khalifah Allah. Amanah anda akan ditanya, bersedialah...


’Andai Islam itu seperti bangunan usang yang hampir roboh, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah’.

– hasan al-banna-


Saya amat memerlukan kalian sebagai jiwa-jiwa muda yang mempunyai kesedaran untuk bersama-sama membina bangunan yang kian usang. Islam semakin jauh dari hati jiwa-jiwa muda...

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO