Monday, May 26, 2008

ALAMAK! TERLEBIH SUDAH..


Saya sempat mengikuti beberapa siri siaran Akademi Fantasia 6 melalui diari AF tiap-tiap hari, itupun bukan dengan menonton tetapi mendengar. Sesuatu yang menggeletek diri saya dengan AF ialah trademark peserta-pesertanya yang akan disebut dan disorak setiap kali menaiki pentas menyampaikan persembahan. Mereka bukan sahaja dikenali dengan namanya tetapi juga dengan trademarknya yang selalu menjadi bahasa-bahasa para remaja. Riz dengan ’Ape kehe nyer yop!, Stacy – ’Alamak terlebih sudah!’. Toi popular dengan trademarknya “Yeye Aje”, manakala Nadia pula lebih senang dengan main “Redah je”. Nubhan dengan trademark yang biasa kita dengar “Cayalah”. Anak asuhan mak saya yang berumur 2 tahun pun pandai menyebut walaupun bunyinya agak pelat.


Mengapa mereka menjadi idol remaja? Kerana mereka menyediakan resepi sup santapan yang menyelerakan kena dengan citarasa remaja. Mereka bersungguh-sungguh memperkenalkan satu genre hiburan yang memenuhi jiwa remaja. Mereka membawa keseronokan dan keghairahan yang merangsang minat sehingga mereka berjaya menjadi ikon remaja. Yang paling penting mereka juga adalah remaja yang memahami remaja. AF bukan hanya mengetuk pintu hati golongan remaja belasan tahun, tetapi ’remaja’ berumur 50 tahun pun amat menggilai program realiti TV ini.


Hari ini kita melihat keruntuhan akhlak dan moral para remaja adalah lahir dari kepincangan dalam mengisi program untuk golongan ini. Gelombang hiburan yang melampaui batas, budaya galak bercinta monyet, watak-watak pemberontakan dan derhaka, gejala kemalasan untuk menggandakan usaha, ketumpulan daya fikir dan intelektual serta ketandusan budi dan akhlak mewarnai sebahagian anak muda hari ini.


Pada saya, senario hiburan melampau ini adalah suatu insiden yang telah mengorbankan berjuta-juta jiwa remaja. Akademi Fantasia, program realiti TV yang berada pada raking tertinggi dalam banyak-banyak program realiti TV yang lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Bukan cendawan yang boleh dimakan, tetapi cendawan yang merbahaya dan membunuh. Saya percaya, selepas berakhirnya AF6 dengan kemenangan Stacy sebagai juara, remaja akan beralih arah ke program Geng Starz yang menyediakan menu sup yang hampir sama. Tetapi saya kagum dengan alternatif salah satu stesen televisyen untuk mewujudkan Akademi Nasyid, menyediakan satu platform untuk remaja menghayati konsep hiburan yang sebenar.


Bila menyebut tentang nasyid, saya teringat dengan dialog saya dengan seorang peserta program saya. “Nak buat macam mana kak? Saya memang tak minat nasyid. Nasyid tak kena la dengan jiwa saya nih!”. Kata salah seorang adik peserta program kem pembangunan diri yang pernah saya kendalikan. “Eh, nanti dulu, akak tak kata adik hanya perlu mendengar nasyid, dan akak tak kata mendengar lagu dari artis yang bukan nasyid itu juga tidak boleh. Percaya atau tidak, akak juga meminati beberapa kumpulan artis Indonesia. Akak suka dengan kumpulan Ungu, mereka bukan artis nasyid tetapi mereka ada alternatif untuk membawa mesej kesedaran dengan lirik-lirik lagu yang membentuk jiwa. Akak paling suka dengan dua buah lagunya, Andai ku tahu dan syurgaMu. Bukan sehingga memuja artisnya, cuma hayati liriknya. Tak salah kan, adik mendengar lagu-lagu artis seperti itu asalkan ia tak membawa adik lalai dan lupa kepada Allah”. Pesan saya. Saya menyambung lagi. “Akak bawa adik kepada satu keratan lirik lagu ini, tajuk lagu ’Ada cinta’ nyanyian Acha dan Irwansyah”. Saya tahu dia memang meminati dua artis Indonesia ini.


Mengapa berat ungkapkan cinta
padahal ia ada
dalam renai hujan
dalam terang bulan
juga dalam sedu-sedan

mengapa sulit mengaku cinta
padahal ia terasa
dalam rindu dendam, hening malam
cinta... terasa ada...


“Akak tahu, ia sebuah lagu duet antara dua pasangan kekasih yang menyatakan perasaan cinta antara satu sama lain. Tetapi akak cuba menghayatinya secara positif dari perspektif cinta kita sebagai hamba-Nya. Memang sukar dan sulit kan untuk mengungkap dan mengaku cinta kepada Allah”. Saya jelaskan kepadanya.


Belajarlah mendengar dan menghayati hiburan yang membentuk jiwa. Tidak mengapa, jika ia terlalu sukar, belajar secara perlahan-lahan. Islam itu mudah, yang menjadikannya ia sukar adalah diri kita sendiri. Bagi remaja yang menjadikan Al-Quran sebagai hiburan jiwanya, tahniah buat kalian. Teruskan membaca dan menghayati maksudnya kerana itulah sup santapan untuk jiwamu yang paling terbaik. Kata Nubhan AF6 – Cayalah!


Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO