Monday, May 26, 2008

BERFIKIRLAH SEPERTI AHLI POLITIK

“Memandangkan masa begitu mencemburui kita, saya akhiri ucapan ini dengan...bla,bla,bla”. Sebagai seorang pengerusi majlis atau pemberi ucapan, ungkapan seperti ini biasa disebut untuk mengakhiri suatu ucapan sama ada memang betul masa tidak mencukupi atau alasan kerana kekeringan idea untuk meneruskan ucapannya.


Masa mencemburui kita atau kita mencemburui masa? Pertanyaan ini diutarakan oleh seorang pensyarah saya sewaktu mengajar subjek Matematik Kejuruteraan. Kata-kata beliau sangat pedih, “Siapa yang mengatakan masa mencemburui kita adalah seorang yang bodoh”. Bodoh ke?.


Kata beliau memang ada benarnya. Masa tidak pernah mencemburui kita. Masa tidak mempunyai perasaan, masa tidak memikirkan tentang manusia, masa akan berlalu tanpa mengira siapa sahaja. Masa tetap akan melaksanakan tugasnya mengikut aturan Ilahi. Masa tidak terikat dan dikawal oleh sesiapa. Saat-saat masa akan terus berjalan sedetik demi sedetik tanpa mengira sama ada anda seorang Perdana Menteri, pegawai kerajaan, wakil rakyat, Jurutera, CEO syarikat, penjenayah negara, pelajar ponteng mahupun sebagai seorang peniaga atau petani kampung.


Kita yang sepatutnya mencemburui masa. Cemburu bila detik-detik masa berlalu tanpa terisi dengan program dan aktiviti bermanfaat. Cemburu juga bila orang lain di sekeliling kita bertambah cemerlang kerana menggunakan masa seoptimum mungkin. Tidak mustahil juga, cemburu kerana kita gagal mengurus masa sedangkan banyak tanggungjawab tugas yang masih belum selesai. Kita perlu rasa cemburu dengan masa apabila jarum saatnya bergerak tetapi kita masih lagi menangguh kerja. Apabila kita melihat jam, kita biasa akan melihat jarum jam dan minit yang bertukar dari semasa ke semasa tetapi kita tidak perasan dan kisahpun dengan jarum saat yang bergerak sedetik demi sedetik. Walhal, walaupun ia hanya detik-detik saat, namun ialah yang menentukan perubahan masa.


Jika tidak, masakan Allah berfirman. Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian melainkan orang beriman dan beramal soleh.


Ada salah satu teknik yang saya pelajari berkaitan dengan pengurusan masa. Berfikir seperti ahli politik. Anda mungkin berkata anda bukanlah ahli politik untuk berfikir seperti ahli politik. Tetapi dalam keadaan yang tertentu anda perlu berfikir seperti mereka untuk mengawal masa anda. Kadang-kadang ada kemahiran politik yang sesuai untuk semua, jika keadaan memerlukannya. Mungkin sebab itulah Aristotle pernah berkata maksudnya, “Manusia adalah haiwan (hidupan) yang berpolitik.”


Ahli politik menyusun prioriti dengan berhati-hati supaya mereka tidak membazirkan masa mereka dengan melakukan perkara yang tidak memberikan kredit kepada mereka. Kebiasaanya, yang diberi keutamaan adalah kuasa. Jika seorang ahli politik menerima sepuluh panggilan telefon dalam satu masa, mereka tidak akan bertanya “Yang mana dulu?” tetapi mereka akan bertanya “Yang mana paling berkuasa?” ataupun “Yang mana paling membantu?” ataupun “Yang mana paling berbahaya?”. Mereka tidak akan membiarkan hidup mereka ’dicuri’ oleh ’pencuri-pencuri masa yang berkeliaran di sana-sini.


Jadi, berfikirlah seperti ahli politik.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO