Monday, June 9, 2008

HARI CAKNA BELIA 2008


Alhamdulillah, Hari Cakna Belia 2008 berlangsung seperti yang dirancang. Program yang dirasmikan oleh YB ADUN Batu Caves, En Amirudin bin Shari yang masih belia muda, katanya baru berumur 28 tahun, jelas membuktikan program ini sememangnya dari ‘Belia untuk Belia’. Dan lebih teruja lagi apabila Pengerusi Biro Belia dan Remaja DUN merangkap Pengarah Program adalah seorang belia wanita menandakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bersedia dan mula mengorak langkah memberi ruang wanita menunjukkan ‘belang’ kepimpinan. Mungkin ‘belangnya’ berlainan corak dengan kepimpinan di kalangan pemuda. Harimau Jantan mungkin berbeza belangnya dengan harimau betina tetapi harimau tetap harimau. Berani!


Bila sebut tentang belia dan wanita ni, saya teringat kepada Dato’ Sri Azalina Othman, bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia sebelum ini. Mungkin suatu hari nanti, ada di dalam kalangan belia wanita yang boleh mencapai satu tahap kepimpinan menjadi ketua belia peringkat negara seperti Datuk Azalina dan merangka satu sistem pembangunan belia yang lebih Islamik. Kita turut berbangga dengan lahirnya ramai pemimpin belia wanita yang menunjukkan jaguh sebagai perwakilan rakyat seperti YB Nurul Izzah ‘Makkal Sakti’. Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil terpaksa rela mengundur diri untuk memberi ruang kepada pemimpin muda belia memacu perubahan. Era perubahan kerajaan dan kepimpinan menuntut pecutan yang lebih laju dan bertenaga dan sudah tentu pecutan selaju itu datangnya dari mereka yang bergelar belia.


Siapa yang setuju dengan saya sila angkat tangan. Oh, saya tidak nampak anda angkat tangan, jadi boleh tinggalkan komen di bawah artikel ini.


’Kenangan Terindah’ bak kata Simpson


Hari Cakna Belia meninggalkan 1001 kenangan indah kepada saya dan jiwa-jiwa muda yang menjadi penggerak program ini. Beruntungnya memiliki adik seperti Munirah dan Adilah yang sangat membantu saya melunaskan gerak kerja sebelum dan sepanjang program. Terharu juga dengan kerjasama dari adik Ain, adik Hafizah dan adik Jasiah yang komited dan bijak menjalankan tugas mereka sebagai AJK kaunter. Maaf, akak tak mampu memberikan kalian apa-apa saguhati tapi harap-harap dengan berpeluang bergambar dengan YB sudah menjadi satu kepuasan di hati. Mak cik – makcik dari cawangan jangan kecil hati. Kagum juga dengan semangat kalian, walaupun usia bukan lagi belia tetapi jiwa tetap muda dengan semangat yang sentiasa membugar untuk merencanakan sesuatu buat anak-anak muda.



Tak kurang juga dengan ‘member kamcing’ baik punya, kak Peah, kak Hani, Kak Marjan, Kak Maez, Kak Masliah, Kak Sue dan lain-lain. Mereka juga luar biasa hebat pada pandangan saya. Pengalaman mereka banyak dan tidak lokek menyumbangkan sesuatu untuk menjayakan program ini. Walaupun banyak komitmen, namun sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga semata-mata untuk melihat para belia Batu Caves ini sentiasa di ‘top up’ dengan program pembangunan diri seperti ini. Inilah ikon-ikon jurutera manusia yang sedang membangunkan projek pembinaan manusia. Membawa suatu jiwa yang usang kembali kepada jiwa yang sihat dan bersih. Ya, belia-belia kita semakin usang jiwanya dan kitalah sebagai agensi pembangunan untuk membentuk watak-watak belia yang lebih cantik dipandang mata.



Hai,..saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang seolah-olah saya pulak yang menjadi pengarah program. Saya perkenalkan pengarah Hari Cakna Belia, kak Wani. Kakak ni lagi dasat, pengerusi biro belia dan remaja merangkap pengarah program ini merangkap pengerusi majlis merangkap pemberi hadiah bagi program Hari Cakna Belia. Bukan kerana gila kuasa tetapi gila kerja. Maksud saya, kak wani saya kenali adalah seorang yang sangat komited dan bertanggungjawab dengan gerak kerjanya. Bukan mudah menjadi seorang yang boleh melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Seorang lagi ikon belia yang hebat pada pandangan saya.



Saya bukan bercerita tentang nama atau watak sahabat-sahabat seprogram tetapi bercerita tentang semangat mereka, kekentalan jiwa mereka, kesabaran mereka dan lebih penting kesedaran mereka yang sentiasa konsisten dalam kerja buat perjuangan ini. Perjuangan untuk melihat agama Islam itu kembali tinggi dan kita mula dipandang tinggi dengan ketinggian Islam itu.


Ayuh, kita bawa Islam ini ke infiniti dan menembusinya...


Berdua lebih baik atau beramai lebih baik?


Bila bercerita tentang belia ni, terngiang-ngiang satu lagu yang saya dengar semasa menaiki kereta Mejar Mustafa Kamal, kerani tapak projek syarikat praktikal saya. ‘BERDUA LEBIH BAIK’ nyanyian artis Indonesia, ACHA SEPTRIASA.


Lihat awan disana

Berarak mengikutiku

Pasti dia pun tahu

Ingin aku lewati

Lembah hidup yang tak indah

Namun harus kujalani

Berdua denganmu...

Pasti lebih baik...

Aku yakini itu...

Bila sendiri...

Hati bagai langit...

Berselimut kabut...


Berdua lebih baik nyanyian Acha Septriasa ini cukup menggambarkan keadaan belia dan remaja sekarang. Jika di zaman remaja mereka ghairah bercinta monyet, zaman belia mereka mula berfikiran matang sedikit konon-kononnya untuk merancang kehidupan berumah tangga.


Namun kadang-kadang para remaja belia tidak cukup panduan arah untuk mencorak alam percintaan mengikut syariat Islam lalu dilanda fenomena tsunami cinta yang memusnahkan fikiran dan jiwa mereka. Saya menggaru kepala yang tidak gatal bila melihat keadaan remaja belia di mana-mana shopping complex sekitar Kuala Lumpur. Tak kurang juga yang berpeleseran di jalan-jalan berpegangan tangan dan ada juga yang tidak tahu malu menunjukkan aksi-aksi mengghairahkan di depan orang awam. Itu belum lagi jika saya ceritakan pengalaman-pengalaman melihat gelagat percintaan mereka di dalam pengangkutan awam. Sambil berdiri di dalam LRT pun masih sempat lagi ber‘aksi’. Inilah yang mereka rasakan ‘berdua lebih baik’ sehingga melanggar batasan pergaulan yang telah digariskan oleh Islam.


Gejala sakit para remaja belia ini bukan sahaja ditunjukkan dengan galak bercinta, tetapi juga pada watak-watak pemberontakan yang lainnya. Hedonisme, gangsterisme, vandalisme, rempitisme (merempit), dan pelbagai lagi permasalahan sistem sosial yang melanda mereka.


Ada satu formula untuk mengurangkan gejala-gejala sakit yang menular di kalangan remaja dan belia ini. Bertukar dari merasa ‘berdua lebih baik’ kepada ‘beramai lebih baik’. Kita perlu menggadakan usaha untuk memikat hati remaja belia ini kepada program-program pembangunan yang telah dirancang, membuatkan mereka berasa duduk ‘beramai-ramai’ dalam komuniti program adalah lebih menjana momentum perubahan daripada anasir-anasir yang negatif. Itulah maksud saya beramai. Bukan mereka tidak berminat kepada program yang kita rancangkan, tetapi kita yang masih gagal untuk menimbulkan minat mereka. Satu formula perlu di cari untuk menawan remaja belia kalau kita ingin menawan negara. Kerana mereka adalah aset berharga untuk membentuk kerajaan.


Kita perlu menyusun strategi yang lebih luar biasa daripada keadaan biasa terhadap program dan aktiviti yang pernah kita laksanakan sebelum ini. Hasil yang luar biasa itu lahir daripada perancangan yang luar biasa. Luar biasa bukan melakukan sesuatu yang pelik atau tidak logik tetapi mula berfikir di luar kotak. Merancang dan melaksanakan suatu kelainan daripada gerak kerja yang biasa pernah kita lakukan.


Keadaan zaman yang berubah menuntut suatu perubahan.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO