Friday, June 13, 2008

KONGSI CERITA KAHWIN

Sejak minggu lepas, semua sibuk bercerita pasal kahwin. Tambahan lagi cuti musim sekolah. Di rumah, tidak putus-putus kiriman kad kahwin daripada jiran sekampung. Kenal atau tidak, bukan soalnya, yang penting dapat jemputan, pergi untuk memenuhi undangan atau memenuhi perut yang kelaparan.



Minggu lepas saya ke kenduri kahwin seorang sahabat berpangkat kakak bagi saya. Kak Sal baru selesai walimah minggu lepas. Itupun makcik-makcik, kakak-kakak, adik-adik seperjuangan sibuk bertanya, ”Kamu bila lagi?”. Saya hanya menjawab dengan senyuman dan kadang-kadang bergurau juga. Saya tidak janggal dengan pertanyaan begitu, mungkin kerana sudah biasa.


Jika pulang ke UTHM pun begitu. Adik-adik muslimat kampus hebat juga mengusik. Saya sudah terlalu senior dan merupakan orang lama di kampus. Sememangnya kehidupan dikelilingi dengan adik-adik junior sangat membahagiakan lebih-lebih lagi yang sefikrah seperjuangan.


Kahwin...kahwin...kahwin, menyebutnya memang begitu mudah tapi tak semudah merealisasikannya. Menjadikan perkahwinan sebagai matlamat membina rumahtangga perjuangan dan melahirkan generasi-generasi pendokong dakwah memang payah. Macam-macam impian boleh dibina sebelum berkahwin. Impian untuk diri, keluarga, kerjaya dan paling penting untuk perjuangan.

Selalu juga bersembang dengan adik-adik muslimat. Kagum dengan semangat mereka. Semua ingin berkahwin untuk membina rumahtangga muslim. Semua ingin memilih pasangan yang memahami Islam, soal keturunan, kecantikan, kekayaan ditolok ke tepi yang penting ”dia faham Islam kak!”.


Ada yang sudah memasang niat ingin memiliki anak yang ramai supaya boleh dididik dan ditarbiyyah menjadi generasi penyambung perjuangan. Ada juga yang tidak mahu ramai anak, takut-takut anak yang ramai menyebabkan diri tak mampu berkorban untuk gerak kerja dakwah kerana komitmen perlu dibahagikan untuk anak-anak pula. Ada juga yang nak bekerja ’part-time’ atau ’full time’ dalam kerjaya dakwah. Tidak kisah apapun impian kalian yang penting niat kerana Allah. Untuk Islam...


Mendidik anak memang sukar. Mak saya menjaga 5 orang anak jiran. Mereka lebih senang mendengar kata mak saya dari mak ayah mereka sendiri. Bila di rumah saya senang dididik, bila pulang ke rumah masing-masing mula buat kepala sendiri. Saya pernah mengajar budak sekolah tadika dan sekolah rendah, serba sedikit tahu juga proses pendidikan kanak-kanak. Banyak persiapan sebenarnya jika ingin melahirkan anak-anak yang dekat dengan Allah, dekat dengan jiwa juang.


Bila terfikir itu semua, terasa jalan ini semakin sukar dan panjang. Berdoalah dan berusahalah agar dikurniakan ’teman’ yang memahami. Bukan sekadar memahami kalian, tetapi memahami dan menjiwai jalan dakwah yang sukar dan panjang ini.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO