JGN OPTIMIS MESKIPUN DLM KETAATAN (2)
Seseorang tertarik dengan tajuk post saya yang lepas, Jangan Optimis Meskipun Dalam Ketaatan namun artikel saya agak ringkas dan seolah-olah terbantut. Agak kurang jelas untuk difahami. Di sini saya berpeluang untuk menjelaskan semula apakah yang dimaksudkan dengan jangan optimis itu.
Untuk mencapai hasrat dan cita-cita menjadi seorang hamba Allah yang taat amatlah sukar bagi manusia yang lemah ini, meskipun manusia itu telah mendapat hidayah sehingga pada zahirnya dia menjadi seorang yang taat, namun Allah mempunyai kuasa mutlak untuk merubah keadaan itu menjadi sebaliknya. Meskipun manusia berusaha untuk berdiri teguh di atas keimanannya, namun ia terserah kepada kemahuan Allah dan natijah kepada segala perbuatan manusia itu sesungguhnya masih ghaib dan hanya di dalam ilmu Allah.
Justeru itu, tidak boleh bagi seseorang yang telah melakukan ketaatan kepada Allah merasa senang hati di atas segala qirbah atau usaha mendamping diri kepada-Nya. Walaupun segala usaha ketaatan telah dilakukan sekuat tenaga sedaya mungkin tetapi ibarat cerita masih dipertengahan belum diketahui apakah kesudahannya, maka atas alasan apakah seseorang itu boleh merasa senang hati?
Sekalipun sudah dimaklumi bahawa segala yang makruf itu disukai Allah Taala, malah dijanjikan pahala tetapi manusia tidak boleh merasa bangga dengan semua ketaatan itu kerana segala usaha itu ibarat seorang usahawan yang menggunakan modal orang lain.
Jika seseorang melakukan solat, dia menggunakan anggota tubuh yang dipinjamkan. Jika bersedekah dan menginfakkan harta untuk jihad pasti menggunakan kemudahan rezeki yang didatangkan oleh Allah. Berdakwah dan mengadakan kuliah ilmu tidak lain hanya menyampaikan ilmu yang didatangkan oleh Allah Taala melalui rasul-Nya. Sesungguhnya semua itu adalah pemberian dan kurnia Tuhan yang mencurah-curah kepada hamba-Nya, maka yang manakah yang datang daripada manusia itu sendiri?
Bertarung dengan musuh secara berdepan ada kalanya manusia tertewas, tidakkah manusia akan lebih sulit apabila bertarung dengan musuh yang tidak dapat dilihat? Iblis sebagai makhluk yang tidak dapat dilihat dengan indera penglihatan, pasti lebih mudah menyusup ke dalam diri dan hati manusia. Manusia yang hidup di muka bumi ini adalah khalifah dan tentera Allah yang sedang berperang dan bertarung dengan musuh tradisi dari luar iaitu iblis serta disokong pula oleh musuh dalaman iaitu nafsu.
Merasa amankah setiap orang yang sedang berperang? Sedangkan musuh terus menerus menghujani berbagai-bagai jenis peluru yang dahsyat. Musuh tradisi itu menggunakan peluru hasad, peluru dengki, peluru tamak, peluru khianat, peluru takbur, peluru ujub, peluru riya’, peluru sum’ah dan macam-macam jenis peluru lagi. Justeru itu, tidak ada kawasan aman dan selamat sehingga manusia tidak mungkin dapat rehat.
Dalam suasana begini mana mungkin manusia merasa optimis untuk mencapai kemenangan yang total terhadap iblis itu kerana sikap optimis akan menjadikan manusia lalai dan tidak berwaspada malah tidak berusaha untuk mengatasi musuhnya. Janganlah menjadi manusia yang berbangga dengan bunga-bunga dipohon serta putik-putik buah di dahan, apabila datang hujan ribut yang memusnahkan bunga dan putik tiada apa lagi yang tinggal. Andaikata Allah tidak menerima kesemua jenis kebajikan dan ketaatan yang manusia banggakan, nescaya ia menjadi kosong ibarat perut unta, kerana sebenarnya perut unta itu jika dibedah ia hanya dipenuhi dengan najis tetapi kosong dari kebaikan.
Seseorang yang pulang ketika petang dengan keimanan dan rajin beramal tetapi pastikah keadaan itu berkekalan hingga esok harinya? Segala kemungkinan boleh terjadi, mungkin ketika malam harinya mendengar bisikan iblis lalu melakukan maksiat, maka matahari yang terbit di pagi itu menyambut dia sebagai seorang yang zalim, bukan lagi sebagai hamba yang soleh dan bertakwa.
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment