Friday, July 18, 2008

LETAKKAN CABARAN & CABAR DIRI

Mampukah kita membentuk jatidiri untuk bangun mencerlah, biarpun di sekeliling kita sentiasa tersedia duri-duri untuk menusuk setiap kali kita bangun!



Buku motivasi ’Membina Jatidiri Gemilang’ karya Dr HM Tuah Iskandar menitipkan satu kata-kata motivasi untuk saya hari ini. Walaupun ia hanya satu kata-kata motivasi, tetapi saya cukup menghargainya. Saya kembali mengingati duri-duri yang telah menusuk dan tersedia untuk menusuk setiap kali saya bangun! Bangun bersama kenangan-kenangan kemahasiswaan di kampus hampir 6 tahun. Masih ingat lagi kata-kata En. Zainudin, 'jadilah kepimpinan yang meninggalkan lagenda'. Saya tidak pasti, adakah saya meninggalkan lagenda untuk rujukan generasi berzaman-zaman atau sekadar kenangan yang diingati sekali sekala.


Sinar Harian dan Ikonku Nurul Izzah


Hari ini, saya mula belajar membuka helaian demi helaian akhbar Sinar Harian. Mak menegur saya, kenapa selalu beli sinar harian, bukannya ada apa-apa sangat, cuma penuh dengan laporan aktiviti, program masyarakat dan gambar-gambar wakil rakyat. Saya diam sahaja dan terus membaca. 'Bas awam enggan masuk kampung'-liputan dari Kg Cheras Baru. 'Isu Penduduk terbahagi dua: Saari'- liputan dari Hulu Klang. 'Bina tembok lebih tinggi, elak banjir kilat'- liputan dari Segambut. 'Ahli Parlimen PJS mahu pili diselenggara'- liputan dari Petaling Jaya. '120 keluarga terima bantuan makanan' – liputan dari Meru. Dan macam-macam lagi liputan saya baca dalam sinar harian malam itu.


Sememangnya saya punyai jiwa kepimpinan yang sangat mendalam. Saya belajar mencintai dunia kepimpinan seawal usia setahun jagung di kampus. Sebab itu saya gagaskan pada minda saya, bahawa saya perlu lebih membaca liputan sinar harian itu bukan semata-mata untuk mengetahui satu-satu isu tetapi belajar mentadbir dan mengurus dari wakil-wakil rakyat mahupun pemimpin negara. Bagaimana menjadi pemimpin masyarakat yang berkaliber, apa program kebajikan yang mereka lakukan, bagaimana cara mereka mendekati masyarakat, semuanya saya catatkan dalam diari saya. Hampir setiap hari saya tidak miss membeli sinar harian lebih-lebih lagi bila terpampang di dalamnya gambar Nurul Izzah, YB Lembah Pantai lalu terdetik dalam hati saya 'bila aku akan jadi sepertinya?'. Ah, omong-omong kosong saja. Wibawa saya belum terbukti jika posisi saya hanya sebagai pemimpin pelajar. Saya perlu pergi lebih jauh untuk menyumbangkan sesuatu pada masyarakat, semuanya untuk Islam.


Debat lagi..


Saya ghairah menonton debat agadendaily malam itu. Antara Datuk Sri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek, masing-masing ada kemenangan yang tersendiri. Saya ghairah menonton bukan semata meraikan isu tetapi menambah pengetahuan dan kemahiran berdebat. Ya, nak jadi pemimpin harus bijak berhujah!.


Saya juga membentuk jiwa debat di kampus. Sewaktu rakan seorang MPP mengajak saya mewakili kolej kediaman untuk berdebat, saya berkira-kira. Saya langsung tiada pengalaman berdebat ditambah perasaan malu yang menebal. Pendebat perlu fakih tentang isu di samping kemahiran mematahkan hujah. Saya kurang cakna tentang isu semasa, pengalaman hanya menjadi fasilitator program dan nakibah usrah. Saya prinsipkan dalam diri, 'saya tidak mahu berada pada standard diri yang sama untuk 5 tahun akan datang', saya perlu tingkatkan kualiti perjuangan, saya perlu garapkan lagi ilmu kepimpinan, saya mesti sahut cabaran untuk berdebat! Buangkan sifat malu, gantikan dengan suatu keberanian untuk berubah. Dari pemudahcara LDK yang meraikan pandangan, saya gemakan suara dalam dewan besar tontonan ribuan orang sebagai pematah hujah. Monolog saya: Anjakan paradigma jika nak jadi pemimpin!.


Alhamdulillah, kumpulan saya menjadi Johan Pertandingan Debat kali itu. Walaupun hanya pertandingan di peringkat universiti, menjadi johan permulaan yang baik untuk saya mencipta motivasi diri, berubah dan terus berubah. Saya masih belum berpuas hati dengan posisi saya ketika itu.


Cinta luar biasa pada ’kerjaya’


Sememangnya saya memiliki cinta luar biasa kepada dunia kepimpinan. Dunia kepimpinan dianggap 'kerjaya' saya semasa dikampus. Saya menjadi Timbalan Presiden Kolej Kediaman seawal usia saya 19 tahun, masih dalam tahun 2 pengajian diploma. Sangat perit menjadi pemimpin muda, bekerja dengan orang yang lebih berusia, ditambah lagi dengan bebanan akademik bidang kritikal seperti kejuruteraan, dan senario ta’addud jamaah yang mendatangkan krisis kerana berbeza prinsip berpersatuan. Saya terus positif dengan memberikan cabaran lagi pada diri sendiri. Masalah dan cabaran organisasi memberikan tekanan, tekanan membawa saya lebih banyak berfikir dan bertindak. Cabaran menjadikan saya lebih kreatif, mematangkan diri dan lebih bekerja. Lebih bekerja memberikan saya banyak pahala.


Saya meletakkan cabaran lagi semasa menjadi Timbalan Pengerusi organisasi di bawah Pusat Islam. Kali ini saya bukan lagi hanya perlu melakukan transformasi diri tetapi transformasi organisasi. Jawatankuasa Teman Pusat Islam ketika itu hanya 3 orang yang bergerak kerja dengan prinsip faham dan sedar. Saya set cabaran yang baru, saya perlu transform organisasi ini walaupun saya sedang berada di tahun akhir menyiapkan tesis PSM 1 & 2. Ramai sahabat-sahabat saya yang tarik diri memegang amanah kepimpinan apabila di tahun akhir pengajian, Tesis PSM adalah alasan paling kukuh. Saya perlu unik dan berbeza dari mereka. Dari 3 orang akhirnya lahir 18 orang pelapis memimpin jawatankuasa. Kamil dan Khay sudah tentu banyak membantu.


Saya berbangga dengan Kamil, Ashraf, Nik, Sharil, Fairuz, Hasrol, Ida, Herna, Syi, Suan, Wawa, Liza, Hidayah Jr, Fatihah dan Liza. Semestinya kebanggaan saya memuncak semasa program ESMAR dulu. Bukan bangga dengan kehadiran orang ramai memenuhi ruang dewan tetapi kesungguhan kalian membuktikan bahawa organisasi Islam juga punya kredibiliti tersendiri. Kita hebat dengan daya juang dan semangat berkorban.


Saya bercerita pengalaman bukan tujuan kagum dengan diri sendiri. Saya ingin mengajak diri saya dan anda untuk meletakkan cabaran dalam hidup. Fikirkan, adakah kita tetap berada pada posisi kita sekarang untuk tempoh-tempoh akan datang. Jika tidak, cabar diri anda untuk membina landskap kehidupan yang penuh seni. Letakkan cabaran...dan cabar diri...

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO