Tuesday, July 15, 2008

KITA ARKITEK LANDSKAP TARBIYYAH

Modul Champion Leader


Sewaktu menjadi moderator salah satu kem kepimpinan Islam di kampus, saya membawa peserta kepada satu modul bertajuk Champion Leader bertujuan menerapkan sifat 'memberi' sebagai mahasiswa dan pemimpin di kampus. Di akhir modul tersebut saya membuat resolusi dan saya katakan kepada peserta:


"Penglibatan seseorang di dalam organisasi dan aktiviti di kampus, mestilah secara proaktif iaitu dengan menyumbangkan sebanyak mungkin idea dan tenaga untuk membangunkan organisasi. Keterlibatan individu di dalam apa sahaja program adalah ke arah untuk memperbaiki diri, tetapi melibatkan diri dalam program semata-mata untuk 'menerima', bukanlah ciri seorang mahasiswa ataupun pemimpin yang cemerlang.
"Cemerlang is Better than Good or even Better than Best". Kita sepatutnya terlibat dengan organisasi dan aktiviti di kampus, mestilah atas dasar untuk memberi. Kerana ketika kita memberi, disitulah bermulanya proses pembentukan diri. Jiwa memberi itu harus datang dari suatu kesedaran bahawa kita perlu melakukan sesuatu."


Sememangnya kem itu untuk melahirkan jiwa-jiwa yang membugar dengan kesedaran untuk berdakwah, maka saya kaitkan dakwah itu sebagai sifat 'memberi'. Berdakwah adalah gerak kerja 'memberi sesuatu' bukan hanya sekadar menerima. Saya analogikan begitu kepada adik-adik peserta kerana bimbang jika ada di kalangan peserta agak berat menerima bila saya terus gunakan istilah berdakwah. Semestinya mereka masih mentah untuk menerima perkara ini secara direct.


Memang benar, setiap daripada kita telah dibentuk dengan jiwa dakwah melalui acuan tarbiyyah yang bukan sedikit. Jiwa itu lahir atas slogan faham dan sedar. Maka kita katakan pada sasaran dakwah yang bakal lahir sebagai jiwa-jiwa yang baru, "tak semestinya kita nak berdakwah ni nak tunggu sampai jadi perfect, jangan risau kita bergerak kerja secara amal jama’i, sahabat-sahabat boleh membantu", jawab kita bila ada sebilangan mereka mula bersuara, "saya tidak layak la kak, abang!" Sedikit sebanyak kata-kata itu menjadi motivasi pada jiwa-jiwa baru untuk belajar bertatih, berjalan dan akhirnya berlari gah dalam gelanggang dakwah ini.


Penggerak tarbiyyah yang luar biasa



Enam tahun saya berpencak silat dalam dunia tarbiyyah dan kepimpinan kampus. Menggalas amanah mentarbiyyah dan memimpin ahli sememangnya bukan tugas mudah. Sebab itu saya rasakan, mereka yang sangat komitmen berhadapan dengan cabaran portfolio sebagai penggerak agenda tarbiyyah adalah seorang yang 'luar biasa'. Saya yang bergelumang hampir 6 tahun dengan gerak kerja tarbiyyah pun ada kalanya agak 'muak' dengan masalah-masalah tarbiyyah yang kecil dianggap besar, yang mudah disukarkan, yang boleh ditoleransi kadang-kadang menjadi konflik.


Sepanjang tempoh itu, saya cuba cakna dengan pandangan dan penilaian peribadi saya terhadap beberapa landskap tarbiyyah dan kepimpinan yang semakin diperbaharui sistemnya dari satu generasi ke generasi yang lain. Perubahan landskap politik negara turut menuntun kita untuk menjadi arkitek masyarakat merebentuk satu landskap tarbiyyah yang kontemporari bukan lagi tarbiyyah tradisional. Jika sebelum ini kita mentarbiyyah dan ditarbiyyah untuk lahir sebagai pemimpin lajnah, namun kini tsunami tarbiyyah kita adalah untuk melahirkan pemimpin negara.


Pendakwah biasa-biasa saja


Sebelum itu kita kaji kembali, adakah perubahan landskap tarbiyyah itu boleh terlaksana dengan melihat senario pendakwah kita hari ini. Organisasi kita masih lagi mengendalikan masalah tarbiyyah yang remeh. Nuqoba’ 'segan' melaksanakan usrah, ahli kurang kemahiran dakwah, kepimpinan tidak bijak mengurus, jenayah akademik tiap-tiap semester, masalah hati dan hati yang bermasalah, hanya menjadi agen pengikut, tidak berani menjadi agen perubah, budaya malas membaca, minda malas berfikir, kurang kemahiran politik organisasi, buat kerja sedikit tapi hasil nak banyak dan macam-macam lagi.


Saya kembalikan semua itu kepada diri saya juga.


Mungkin kerana kita katakan kepada mereka, juga kepada diri kita, "saya perlu memberikan sesuatu, kita perlu memberikan sesuatu, kamu perlu memberikan sesuatu". "Kita perlu rancang ini, kami perlu buat itu, saya harus laksanakan demikian". "Kita mesti memberi, memberi dan terus memberi." Tanpa sedar, kita leka bahawa kita juga perlu memiliki sesuatu bukan sekadar memberikan sesuatu. Kerana tidak memiliki sesuatu itulah, kualiti diri kita sebagai pendakwah tidak seperti yang diharapkan. Standard matlamat dakwah kita tinggi tetapi standard diri kita rendah.


Apakah itu memiliki sesuatu? Saya serahkan kepada anda untuk berfikir. Kita muhasabah kembali adakah kerja buat kita sehingga hari ini sudah sampai pada objektif dan matlamatnya, atau kita buat kerja banyak tapi hasilnya masih kurang, atau kita buat kerja sedikit tapi hasil nak banyak, atau misi dakwah kita masih tak terlaksana dan segala macam atau lagi. Kemungkinan semua itu kerana kita masih belum memiliki sesuatu untuk kita dilabelkan sebagai pendakwah 'luar biasa'.


Elok perhati bicara lidah, takut rupa-rupanya untuk diri sendiri. Saya kembalikan semua komentar ini kepada diri saya juga. Saya perlu muhasabah diri kerana sememangnya saya juga pendakwah yang 'biasa-biasa' sahaja.

1 Comentário:

Anonymous said...

assalamualaikum...

tersedak ana tgk tajuk. Lebih kurang tajuk entry ana akan datang..since this is my cup of tea (maksud ana, as landscape architect). So, teringin nak ulas camne we play our role in generating the ummah. Alhamdulillah, isi tak serupa, tapi matlamat sama...

siiru ala barakatillah

moga kita semua tsabat dan lahir lagi cendekiawan islam dalam semua bidang

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO