RE-ENGINEERING TARBIYYAH (1): ANALOGI SEBUAH BANGUNAN
Alhamdulillah..minggu lepas, kelapangan masa saya terisi dengan sedikit sibuk memenuhi tuntutan amanah ’kerjaya berbaiah’ ini. Syukur, banyak program tarbiyyah yang diatur tidak putus-putus sepanjang ramadhan kali ini walaupun ada di antaranya tiada kesempatan untuk saya hadiri. Sementalahan Ramadhan bukan bulan lembik, maka tiada alasan untuk kita sebagai pendakwah beristirehat sementara daripada dunia kerjaya sebagai ’Jurutera Manusia’.
Teringat satu kata-kata motivasi daripada Dr Fadzillah Kamsah, ”Otak lebih kuat dari otot”. Otot memang terasa lemah ketika berpuasa, namun jika kita bijak memperalatkan otak (minda) dengan imiginasi ’aku kuat’, Insya-Allah, otot akan menurut ’aku kuat’ untuk bekerja. Belajar memperalatkan minda untuk mencapai sesuatu matlamat. Saya ulangi, otak lebih kuat dari otot!
Saya berkesempatan ke Tamrin anjuran Lajnah Tarbiyyah DMP Gombak Sabtu lepas. Saya kagum. Seperti ada suatu perubahan terhadap sistem dan kerangka tarbiyyah kali ini. Walaupun masih bertatih membuat perubahan daripada sistem tarbiyyah tradisi kepada sistem tarbiyyah kontemporari, namun ia satu permulaan yg baik untuk memperbaharui landskap tarbiyyah yang sedia ada sebelum ini. Nilai tambah yang utama: pendekatan bil hikmah, modul-modul program yang baru, kreativiti aktiviti dan alat bantu penyampaian mampu membangkitkan mood saya untuk tidak jemu menerima.
Jemu bukan bermaksud ’saya tidak suka’ cuma ’saya mahukan perubahan’. Bukan ’kita tidak suka’ cuma ’kita mahukan perubahan’. Perubahan yang mampu membawa gerakan Islam ini untuk pergi lebih jauh dan tidak syok sendiri dengan pembaharuan sistem tarbiyyahnya.
Bagi menghadapi perubahan, kadang-kadang kita perlu meruntuhkan semua bangunan lama. Bukan sekadar membina bangunan-bangunan baru di sekeliling bangunan lama. Dalam tarbiyyah ini, ramai daripada kita takut meruntuhkan bangunan lama. Kita hanya berani melakukan pengubahsuaian secara kecil-kecilan terhadap bangunan sedia ada.
Dalam melakukan perubahan, kita tidak perlu meruntuhkan bangunan lama secara keseluruhan. Kita boleh mempertahankan bangunan lama dengan alasan-alasan yang kukuh. Tetapi sebaiknya kita jadikan bangunan baru itu lebih segar dan menarik!. Inilah yang saya katakan tentang RE-ENGINEERING: MEMBINA SEMULA.
Ya, kita begitu bermotivasi untuk menukar posisi kita sebagai pembangkang menjadi kerajaan ditambah lagi dengan isu 16 September yang hangat diperkatakan sekarang. Namun jangan lupa berfikir optimis lah, adakah kita sudah mempersiapkan jentera kepimpinan yang utuh untuk menunjukkan kemampunan kita sebagai pemerintah? Aset kerajaan adalah pemimpin. Bukan lagi pemimpin usrah, pemimpin kampus, pemimpin lajnah, pemimpin cawangan, pemimpin kawasan, tetapi bersedia sebagai pemimpin negara!. Sistem tarbiyyah kita sudah sampai ke tahap ini? Mengisi kemenangan adalah lebih sukar daripada memperoleh kemenangan. Masa nak dapatkan kemenangan memerintah dulu memang payah, tapi apabila dah menang macam-macam kepayahan lagi kita hadapi. Tengok saja pergolakan politik yang terjadi sekarang!
Di manakah tahap tarbiyyah kita? Sekadar melahirkan nuqoba’ usrah yang baik atau pemimpin yang berkarismatik?
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment