Monday, September 22, 2008

RE-ENGINEERING TARBIYYAH (2): REVOLUSI IQ-EQ-SQ

Membangun Kecerdasan Emosi Dan Spiritual (ESQ) Dalam Tarbiyyah


“Tidak boleh dinafikan lagi bahawa pendidikan yang menekankan aspek kepentingan kecerdasan emosi dan spiritual (ESQ) bagi setiap manusia adalah sebagai sebahagian dari keperluan tarbiyyah dan bekalan untuk memenangkan Islam demi menegakkannya di seluruh pelosok bumi dengan meyakini bahawa kecerdasan spiritual merupakan pusat dan landasan bagi kesemua kecerdasan yang ada iaitu Intellectual Quotient (kecerdasan Intelektual) dan Emotional Quotient (Kecerdasan Emosional).”


MEMBANGUN KECERDASAN EMOSI DAN SPIRITUAL (ESQ) DALAM TARBIYYAH merupakan tajuk satu kertas kerja yang saya perolehi dalam program tamrin awal Ramadhan baru-baru ini. Saya teliti tajam satu persatu subtopik kertas kerja tersebut, helaian demi helaian diselak, sambil ustazah penceramah meneruskan pembentangannya.


‘Kedudukan IQ, EQ dan SQ dalam otak manusia’, Hubungan antara IQ, EQ dan SQ’, ‘Dimensi Spritual’, ‘Zero Mind Proses’, ‘Bangunkan Mental dan Emosi dengan Rukun Iman’, ‘Bangunkan Kekuatan Peribadi dan Sosial dengan Rukun Islam’- antara subtopik yang mula menerobos ligat ke fikiran saya. Saya berjaya memperoleh sesuatu yang baru hari itu.


Lalu, penceramah menambah lagi…


“Sehubungan dengan itu, ESQ perlu diterapkan dalam sistem pentarbiyyahan secara berterusan tanpa henti, lebih-lebih lagi dalam rangka untuk melahirkan manusia yang spiritual yang disebut oleh Al-Syahid Syed Qutb sebagai Jil al-Farid (Generasi unggul).” Keberkesanan sesebuah tarbiyyah berkait rapat dengan kejayaan membentuk keperibadian insan di atas perkara berikut: (1) Membangunkan kecerdasan minda –IQ (2) Meningkatkan kesedaran Perasaan/Emosi – EQ (3) Menghasilkan dan mengekalkan tindakan spiritual – SQ.


Siri Pembentangan Kertas kerja ini disusuli dengan satu modul pembangunan ESQ yang dinamakan “KEMBARA DIRI” . Ternyata modul ini berjaya mengendalikan dorongan hati saya untuk menangis yang sememangnya sangat susah untuk menangis jika ada slot-slot muhasabah. Berakhirnya modul, saya berasa seperti ada satu momentum kuat pada kecerdasan spiritual (SQ) saya. Satu kecerdasan yang telah ditemui oleh Wolf Singer, Micheal Persinger dan V.S Ramachandran dengan penemuan fungsi God Spot (Titik Tuhan) pada otak manusia dan fungsi God Spot inilah yang mendorong dan menuntun saya untuk terus mencari ‘makna hidup’. SQ menjawab pertanyaan paling mendasar: “Siapa Saya?, “Untuk apa saya dilahirkan?” dan “Mahu ke mana saya?”.


Eksplorasi di Kinokuniya


Mentaliti saya cukup positif untuk menyingkap rahsia kecerdasan ini dan sokongannya yang kuat dalam konteks tarbiyyah. Satu singkapan melalui penemuan-penemuan teori neurosains mutakhir dan kaitannya dengan Al-Quran lalu apakah sumbangan teori neurosains ini untuk pembangunan tarbiyyah?.


Saya cuba memotivasikan diri dengan mempraktikkan antara 7 prinsip kreatif Leonardo Da Vinci: Curiosita – rasa ingin tahu yang mendalam. Malah Bobbi DePorter yang terkenal dengan Kaedah Quantumnya (Quantum Learning) turut memberi kaedah dalam berfikir secara kreatif iaitu: Pertama, jangan mudah berasa puas, jangan menerima sesuatu itu seadanya. Kedua, Jangan terikat pada satu cara sahaja dan jangan berfikir secara kaku. Ketiga, Tingkat ataupun tambahkan perasaan ingin tahu.


Maka, atas perasaan ingin tahu yang mendalam dan tidak merasa puas dengan ilmu yang ada, saya ke kedai buku kinokuniya, KLCC seminggu selepas program tamrin. Saya memang sangat suka membaca sehingga acapkali dimarahi emak kerana ‘menghabiskan duit’ hampir ratusan ringgit sebulan untuk membeli buku-buku. Citra positif saya adalah pada buku-buku kepimpinan, pengurusan, falsafah, neurosains, teori pemikiran, psikologi, motivasi, dan buku yang mengaitkan Al-Quran sebagai referensi. Kebanyakannya buku-buku yang memerlukan potensi otak kanan untuk bekerja. Dan kehadiran saya ke kinokuniya tengah hari ini mula menghambat diri saya untuk meminati buku ekonomi dan sains politik pula.


Bukan saya tidak berminat membeli buku agama, cuma rak buku di rumah sudah penuh dengan buku-buku agama yang dibeli ayah. Ayah telah menampung kelompongan minat saya membeli buku-buku agama. Memang betul kata mak, saya ni anak ayah!. Mungkin terikut dengan perangai ayah yang suka membaca dan menyimpan koleksi buku-buku. Saya memang berazam ingin memiliki perpustakaan mini milik sendiri dan keluarga. Nak pusakakan harta, tidak berharta. Sekurang-kurangnya dapat juga saya pusakakan buku dan ilmu pada bakal anak-anak saya nanti. Huhu..belum kahwin lagi sudah fikir ke situ. Tak apa..itu namanya berfikiran optimistik.


Kembali. Dengan pemerhatian yang ‘menggila’ di kinokuniya, saya terjumpa dengan buku ini. REVOLUSI IQ EQ SQ – menyingkap rahsia kecerdasan berdasarkan Quran dan teori neurosains mutakhir. Wah, seperti ada kaitan dengan pembentangan kertas kerja tamrin tempoh hari.



Penulis: Taufik Pasiak

Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd., 2008

M/S: 434 muka surat

Harga: RM 35.50


Sinopsis: Revolusi IQ – EQ – SQ menyeroti tirai misteri struktur dan fungsi minda yang kompleks. Menjelaskan aspek berkaitan minda dari dua perspektif iaitu agama dan sains. Membahaskan teori IQ-EQ-SQ melalui landasan Quran tanpa menafikan penemuan-penemuan dalam disiplin ilmu neurosains.


Saya berminat. Buku ni memang seperti antara lirik yang dinyanyikan oleh kumpulan Ruffedge ‘Kau cantik menarik tertarik, kau memang deboom…’ lebih kurang begitulah liriknya. Lantas, saya mengambil buku tersebut dan membawanya ke kaunter bayaran. Nampaknya buku ekonomi dan sains politik terpaksa ditunda untuk bulan hadapan.


Apa yang menarik tentang buku ini? Saya rungkaikan satu persatu.

1) Apakah faktor yang membezakan kecerdasan Albert Einstein, Mike Tyson dan Michael Ballack dengan Adnan Okhtar (Harun Yahya), Dr Zakir Abdul Karim Naik dan Ahmadinejad?

2) Penjelasan lengkap dan terperinci mengenai proses minda manusia bekerja dan bagaimana emosi dan spiritualiti menempatkan diri dalam struktur minda.

3) Apakah yang dikatakan mukjizat bahasa Al-Quran dan bagaimana ia berperanan dalam menjelaskan kecerdasan minda manusia?

4) Jawapan kepada persoalan mengapa Fikir, Zikir, Ilmu dan Nadzar dikatakan sebagai medan semantik minda manusia.


Mungkin tidak cukup dengan satu buku atau sekadar berbuku. Namun, moga buku ini dapat meningkatkan kapasiti otak saya dengan ilmu dan seterusnya menyumbang sesuatu kepada Islam dan khususnya pada dunia tarbiyyah sekarang. Saya cuba untuk menilitinya secara konstektual.


Jom jadi manusia yang spiritual!


5 Comentários:

david santos said...

Great posting!!!
Terima Kasih.

Ibnurashidi said...

salam..bagus..sila teruskan menulis.

Anonymous said...

TEruskan membaca dan beramal...ana pun, kalau gi mana-mana supermarket atau jumpa kedai buku, wajib bagi ana masuk dan kalau mampu, akan beli sekurang-kurangnya 1 buku..mg kita dapat beramal dengan Islam dan istiqamah dengannya..

Anonymous said...

Waalaikumussalam w.b.t.

syukron ats komentar kalian. Pujian dikembalikan kepada Allah yg memberi anugerah minda utk berfikir, jasad untuk menulis dan hati untuk rasa 'memberi'.

kelemahan pendakwah zaman skrg...
malas membaca, malas berfikir...

Para saintis zaman dahulu, jejak TUHAN di dalam makmal-makmal mereka. Maksud saya, penyelidikan mereka berjaya membuka hati mereka untuk mengaku bahawa 'tiada tuhan melainkan ALLAH'. Mereka mengkaji lalu mengenal apa itu TUHAN.

Moga kita menjadi makhluknya yg mengenal ALLAH dengan memperhatikan dan merenung seluruh kejadiannya alam ini.

Anonymous said...

Assalamualaikum,ana sependapat dalam pebangunan ESQ dlm pentarbiyahan..dan dalam proses mengumpul maklumat...jika tak keberatan..bolehtak berkongsi ttg kertas kerja yg ustzh enggr peroleh selepas tamrin..ttg ESQ...? ihsan561

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO