Thursday, March 19, 2009

KAHWIN DENGAN MANUSIA ATAU AGAMA?

“Suami siap-siap nak balik rumah, isteri di rumah ‘siap’!,” seloroh seorang ustaz di kursus kahwin.


Ucapan ustaz tersebut disahut dengan gelak ketawa peserta lelaki. Lawaknya menjadi barangkali. Peserta perempuan pula tersipu-sipu malu. Saya buat muka selamba saje sambil bergetus geram di dalam hati. Faham-faham sajalah apa maksud ‘siap’ ustaz tersebut.


Hal seksualiti sering menjadi bahan seloroh di kursus kahwin. Apabila modul berkisar tentang akidah dan ibadah, mulalah syaitan bertenggek di mata. Gusar jadinya bila disoal ustaz. Buntu dan bosan apabila asas Islam menjadi topik ceramah. Lidah terkedu menjawab soalan bab iman, Islam dan ihsan. Tapi bila bab hubungan seks suami isteri disampaikan, masing-masing jadi tak keruan.


Saya tidak salahkan si ustaz yang membuat lawak. Hilang juga bosan saya yang turut berkursus. Cuma saya tak setuju jika jenakanya keterlaluan dan tidak ilmiah langsung. Masa habis pada cerita-cerita dan jenaka-jenaka basi aksi suami isteri.


Cerita pasal suami yang main kayu tiga dan isteri yang kuat cemburu. Cerita pasal suami panas baran dan isteri kuat merajuk. Cerita pasal malam pertama dan berbulan madu. Isu-isu keluarga yang terjadi kini tidak pula dibicarakan. Ilmiahnya sedikit tetapi lawaknya yang lebih.


Saya teringat pandangan Dr. Nora dalam topik muslimah yang lepas. Beliau mencadangkan agar modul kursus kahwin dikaji semula. Sebabnya, semakin hari akan timbul isu-isu terkini bersesuaian dengan zaman yang makin berubah. Contohnya, perceraian dengan SMS, email, faksimili dan sebagainya. Wujudlah fatwa-fatwa terbaru dari masa ke semasa. Pandangan saya, penerangan perlu diberikan sebelum pasangan berkahwin lagi.


Sisters In Islam (SIS) pula semakin konsisten dengan usaha meliberalkan undang-undang syariah. Mereka memperjuangkan agar Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) disesuaikan dengan zaman ini sehingga menolak autoriti ulama dan golongan fuqaha’ untuk berbahas dalam mana-mana wacana mereka. Bahkan mereka sangat komited membuka ruang seluas-luasnya kepada pakar intelektual barat untuk berdiskusi ke arah transformasi gendang perjuangan mereka.


Tindakan SIS memang salah dari landasan agama tetapi kesungguhan mereka yang harus dipelajari. Aturan agenda mereka sentiasa berterusan sekalipun tentangan terus diterima dari golongan agamawan. Kalau SIS mahu melakukan perubahan, kenapa jabatan agama tidak seiring bertindak sebagai ‘counter wave’ merasionalkan masyarakat kembali?


Ramai pasangan gagal mendalami hal-hal ini. Modul kursus sekarang hanya berkisar tentang asas seperti yang dipelajari di sekolah-sekolah. Pada saya, ia perlu diubahsuai dan lebih releven dengan situasi semasa. Beri sesuatu yang lebih realistik dengan cabaran institusi keluarga kini. Bukan berlegar di sekitar teori sahaja dan seks yang menjadi bahan jenaka.


Hal yang sama diutarakan ketika menemubual PM. Dr. Raihanah dalam topik kali ini. Beliau kata kursus kahwin hanya sekadar kursus untuk mendapatkan sijil pra-perkahwinan. Saya pun rasa begitu juga. Sebelum ke kursus saya selalu merungut, “Alahai, malasnya nak pergi kursus, bosan.” Tetapi kerana sekeping sijil, saya turutkan hati juga.


Akhirnya, nak tanya semua, sebenarnya kita berkahwin dengan siapa? Berkahwin dengan manusia atau berkahwin dengan agama?


5 Comentários:

Anonymous said...

betul2...
sy setuju dgn akak..
kursus kahwin skrg bnyak ngarut dr relevan nyer..
nasib baik amek time belajar,boleh gak curi2 kuar..hehe..
amek pun sebab masa tu bajet murah..huhuhu

Studiokini said...

salam...
pandangan dari ana wakil Adam
ana akui byk bnda kita kna ubah
kursus khwin bg ana hnya lpas batuk di tangga
hnya menerapkan perkara yang main2
sdgkan alam khwin ni byk cbran

so kpd yg pegang jabatan agama tu
ayuhla kita ubah
transformasi balik hdup kita
ke arah Islam hakiki

semalu said...

salam...
kursus kahwin skrg ni mmg patut diubah dan dipinda. bnyk yg mengarut tp pengisian x de. sbb tu la masalah penceraian semakin bnyk dikalangan org muda

Unknown said...

Salam,

kahwin dengan manusia,tapi atas dasar agama

lelucon said...

pendekatan 'bersembang kosong' mungkin sbb disasarkan pada pelbagai golongan. Kalau yg dtg tu pasti semua budak U, mungkin ilmiahnya lebih (budak U pun kuliah mengantuk :) Tp terbuka, caranya lebih terbuka. Kalau tak, mmg mengantuk le.

Tapi mungkin juga tujuan isu yg disentuh mgkin lebih bersifat sindiran, menyindir sikap 'tak masuk akal' masyarakat cth: peristiwa isteri kejar suami di pejabat agama!. Tp, yg peliknya, perkara 'tak masuk akal' tu la yg kerap berulang (wlupun dgr mcm kelakar).

tp mmg dlm setiap perkara perlu pembaikan. Betul la kata ustazah, pegawai agama mmg patut sentiasa kemaskini modul, dan prihatin dgn isi penyampaian. Sbb bila dah terlebih 'sembang' buang masa pulak! (nak kursus ke, tonton raja lawak?)

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO