Wednesday, April 8, 2009

10 IMPIAN BAITUL MUSLIM

Membina impian. Itulah yang terfikir dibenak saya dari hari ke hari. Kehidupan saya bakal berubah dari satu fasa ke fasa yang lain.


Sampai bila saya harus selesa dengan keadaan sekarang? Apa yang saya bekali untuk cabaran mendatang? Tepuk dada, saya tanya sorang-sorang…


Sekarang membujang, esok lusa hidup berteman. Sekarang seorang, esok lusa anak keliling pinggang. Sekarang bersenang, esok lusa takut tidak dikenang-kenang.


Saya harus kencang merancang-rancang. Tanggapi hidup ini masih panjang. Bersedia untuk hari esok agar tidak kecundang.


Umur saya sudah 26 tahun. Selayaknya umur sebegini sudah memiliki keluarga yang bahagia di samping suami dan anak-anak. Adakah saya kemaruk? Atau terlalu kecewa kerana belum berkahwin? Atau mungkin saya sudah tidak sabar-sabar memiliki rumahtangga?


Oh tidak! Saya tidak berangan-angan. Hanya membina impian. Inilah impian baitul dakwah saya yang saya perincikan agar terzahir tindakan.


Pertama. Saya akan menjadi guru mengaji Al-Quran kepada keluarga. Maka, bermula sekarang, saya bersedia mendalami ilmu tajwid dan Al-Quran sebaiknya.


Kedua. Saya akan menjadi guru fekah dalam keluarga. Maka, saya perlu memperkukuhkan ilmu fekah yang sedia ada terutamanya darihal solat, puasa, bersuci dan hadas, serta amalan-amalan yang biasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian.


Ketiga. Menghafal doa-doa harian. Lekatkan doa-doa tersebut di setiap sudut rumah agar tidak lupa mengamalkannya. Doa masuk tandas, lekatkan di tepi dinding luar tandas, doa masak lekatkan di dapur gas, doa mengadap cermin lekatkan di meja solek, doa keluar rumah lekatkan dipintu dan sebagainya. Saya berharap rumah saya dilimpahi nur dengan ucapan-ucapan pengharapan kepada Allah.


Keempat. Mewujudkan sistem pemfailan. Dokumentasikan bil air, bil elektrik, bil internet, bil telefon dan perbelanjaan rumah. Dengan itu, saya dapat mengawal wang keluar masuk agar tidak lari dari budget yang ditetapkan. Seorang isteri juga adalah perancang ekonomi keluarga.


Kelima. Mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Saya memiliki hampir 100 koleksi buku yang dibeli sendiri. Saya akan menambahkan koleksi buku dari pelbagai genre seperti buku agama, kaunseling, pengurusan, kepimpinan, psikologi, ekonomi dan pengurusan keluarga. Novel juga tidak ketinggalan. Kemungkinan jika perpustakaan mini saya sudah berkembang, saya berhasrat mahu menyewakan buku-buku tersebut di kalangan sahabat dan jiran. Sekurang-kurangnya ia dapat menampung perbelanjaan membeli buku baru.


Keenam. Mewujudkan budaya menghafaz di rumah. Surah hafazan adalah surah-surah penting yang menjadi amalan harian seperti surah al-Mulk, As-Sajadah, Al-Insaan, Al-Waqiah, Al-Kahfi, Ar-Rahman dan beberapa lagi. Di samping itu, mewujudkan jadual hafazan dan sesi tasmik sesama pasangan.


Ketujuh. Mengamalkan surah al-Waqiah selepas subuh dan surah Al-Mulk sebelum tidur. Surah Al-Waqiah memurahkan rezeki, surah Al-Mulk menolong dari azab kubur. Ia antara dua surah penting yang patut diamalkan oleh setiap muslim.


Kelapan. Menetapkan jadual ta’alim di rumah. Akan ada giliran antara pasangan mengikut tajuk dan buku rujukan. Ia sebagai medium membudayakan amalan membaca, berkomunikasi, dan memberi peringatan sesama pasangan atau ahli keluarga.


Kesembilan. Meluangkan masa untuk aktiviti santai dan anti bosan sekurang-kurangnya 2 minggu sekali. Antaranya, rehlah dihujung minggu, berjoging, bermain badmintan dan main bowling. Antara aktiviti yang saya gemari.


Kesepuluh. Rumah adalah pusat kesihatan. Jaga kebersihan dan kekemasan rumah. Setiap ahli rumah bertanggungjawab tidak kira suami atau isteri, sama-sama berkongsi penat. Saya juga sedang meninjau-ninjau apakah produk supplement yang akan diamalkan. Paling mudah, amalkan madu dan kismis setiap hari. Bukan sudah sakit, baru cari ubat…


Oh, banyak lagi impian.. cukuplah sekadar ini untuk ditulis. Yang lain... bak kata Siti Nurhaliza... 'Biarlah rahsia'...

4 Comentários:

joe penang said...

Petua kesihatan
Makanlah kopi radix setiap hari. Ianya adalah scanning. Jika ada penyakit maka akan timbul simptom2 selepas makannya. Jika ada ahli hpa(yg mahir) mintak dia check tapak tangan. dari tapak tangan boleh tahu samada anda mempunyai masalah buah pinggang, jantung dsbnya

Untuk anak berilah makan kapsul ohmega tiga untuk kecerdasan minda.

http://jawimedherb.blogspot.com/

fahmi said...

salam, akak
mohon copy paste dlm blog fahmi yg terbaru

http://diari-hamba.blogspot.com

lelucon said...

'Keempat. Mewujudkan sistem pemfailan. Dokumentasikan bil air, bil elektrik, bil internet, bil telefon dan perbelanjaan rumah. Dengan itu, saya dapat mengawal wang keluar masuk agar tidak lari dari budget yang ditetapkan. Seorang isteri juga adalah perancang ekonomi keluarga.'

utk sapa yg nak 'kenen' ustazah tu, baca ye... FAIL PENTING. Jgn lupa bawa 'resume' dan fail2 yg diperlukan masa merisik :)

AKU DAN PERJUANGANKU said...

birlah rahsia...yang soleh pasti mendapat yang soleha, ada beza impian dan anggan2...kadang2 aku risau umur aku ini, rata2 kawan2 semunya dan kahwin dan dah punyai anak. smpai aku terlupa aku tak pernh risau adakah cinta kepada Allah telah berjaya aku miliki...hanya Allah yang maha kuasa dan maha tahu.

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO