Monday, May 4, 2009

REPOST: BIJAK DENGAN BERFIKIR MUDAH

Benda dicipta sebagai 'Mudah, kemudahan dan mudah-mudahan'.


Sebahagian orang berfikir, orang-orang yang cerdas adalah mereka yang dapat membentangkan sesuatu hal secara kompleks dan susah difahami oleh orang lain. Pada pandangan saya perkara ini tidak benar. Apabila pemahaman seperti ini dibiarkan berada dalam sebuah organisasi, ia tentu bergerak dengan lambat dan menjadi kompleks. Ahli takut membuat keputusan, sukar melihat sesuatu dengan jelas dan kerumitan-kerumitan dalam pekerjaan sehari-hari semakin banyak.


Dalam dunia ini, kita dapat membezakan dua jenis orang yang bijak, yang pertama adalah mereka yang sekadar bijak sahaja. Kedua, adalah mereka yang bijak dan mewujudkan kesan yang luar biasa. Contoh orang seperti ini ialah Albert Einstein yang bukan sekadar pintar, malahan menciptakan sesuatu yang luar biasa iaitu teori relativitinya. Einstein mampu membawa kesan yang besar melalui rumusan yang mudah dan dapat difahami orang ramai iaitu E = mc2.


Begitu juga tokoh-tokoh besar yang lain. Adam Smith menjelaskan mekanisme pasaran dengan konsep invisible hands, Sigmund Freud menerangkan tentang konsep diri manusia dengan id, ego, dan super ego. Mereka berupaya menjelaskan pemikiran secara fokus dan mengabaikan hal-hal lain yang menjadikan sesuatu itu kompleks.


Kita juga mengenal pemimpin-pemimpin negara yang berfikir secara mudah. Bill Clinton mengajukan konsep Reinventing the Government atau mencipta semula pemerintahan. Pemimpin Costa Rica iaitu Jose Maria Figueres memperkenalkan IT Cluster. Margaret Thatcher melaksanakan program penswastaan dan Mikhail Gorbachev pula popular dengan konsep Glasnost dan Perestroika. Semua pemimpin besar ini menghadapi situasi yang kompleks sewaktu zaman pemerintahan mereka tetapi mereka mampu mengambil langkah-langkah yang kreatif dengan cara-cara yang mudah. Dengan tindakan itulah, para pengikut memahami dan menyokong mereka.


"Mempermudahkan itu sentiasa dapat membantu manusia bekerja dengan lebih cepat"


Kita mampu melakukan kawalan dengan lebih mudah apabila bertemu dengan sesuatu yang jelas. Apabila semua orang jelas dengan apa yang mereka perlu dilakukan, maka setiap kerja menjadi mudah dan mampu dilakukan dengan lebih cepat dan cekap.


Dalam kerja berkumpulan, kejelasan itu begitu penting supaya setiap orang dalam kumpulan tugas mereka saling melengkapi serta membantu satu sama lain. Apabila tidak ada kejelasan dan ahli-ahli kumpulan tidak tahu apa yang dilakukan sesama mereka, mungkin ada yang membuat kerja yang sama, membuat kerja berulang kali dan melakukan kesalahan yang sama berulang kali tanpa menyedarinya. Waktu habis begitu sahaja dan kerja tidak juga selesai. Maka, semua orang dalam organisasi mesti jelas dengan fungsi, bidang kerja dan tanggungjawab masing-masing.


"Memudahkan sesuatu yang kompleks membantu orang bekerja dengan lebih bijak. Dengan memudahkan perkara yang rumit, kita lebih mudah dapat melihat mana yang penting dan mana yang tidak penting."


3 Comentários:

lelucon said...

"Dalam dunia ini, kita dapat membezakan dua jenis orang yang bijak, yang pertama adalah mereka yang sekadar bijak sahaja. Kedua, adalah mereka yang bijak dan mewujudkan kesan yang luar biasa."

kalau yg 1 itu bijak saja tetapi tidak bijak mewujudkan kesan luar biasa, maknanya dia belum bijak (tapi bukan bodoh juga!) :)

bodoh --> tidak bodoh --> tidak bijak --> bijak

pd saya kompleks juga bagus, kompleks berlaku kerana terlalu byk maklumat, dan susah difahami sebab susunannya tidak elok. Jd makna tidak jelas. Dan saya setuju penjelasan perlu dengan memudahkan yg kompleks itu.

Tapi 'mudah' itu maksudnya bukan mengambil yg difahami saja, sementara yg tidak difahami dibuang. Bila kata 'dipermudahkan' itu lebih kepada menyusun maklumat yg kompleks tadi kepada bentuk yg mudah difahami (bukan mengurangkan maklumat itu). Satu kaedahnya menyusun ikut konteks, iaitu memberi maklumat yg diperlukan pd konteks itu saja (maklumat lain disimpan). Ataupun menyatakan maklumat tambahan sebagai penjelasan. Atau mengaplikasi maklumat yg kompleks tadi (iaitu beri contoh).

ustazah-engineer said...

Betul pandangan lelucon. Itulah yg saya maksudkan.

mempermudahkan bukan membuang perkara kompleks itu utk dipraktikkan, tetapi mempermudahkan ialah dengan memberi penjelasan melalui penyusunan maklumat yang berkesan. dalam hal ini, komunikasi sgt penting. Dokumentasi yg kemas dan mudah difahami semua juga amat penting.

sebagai contoh, sistem Key Performance Indicator (KPI) atau balance scorecard (BS) bukan suatu yang rumit asalnya. Namun, ramai yang menanggapi ia remeh dan leceh, susah dan terlalu idealistik. Sebenarnya, KPI dan BS sangat praktikal jika organisasi bijak menyusun bagaimana maklumat itu boleh dijelaskan dlm bentuk yang lebih mudah. Tanpa terikat dengan format2 yang sedia ada.

Sebagai contoh format KPI yang dibuat oleh syarikat TNB, Petronas dan organisasi besar yang lain tidak semestinya diambil bulat2 oleh sebuah organisasi kecil. Ia boleh disusun lagi mengikut kesesuaian dan kefahaman ahli dlm organisasi kecil itu.

Itu cth dlm konteks pengurusan. Namun, ia boleh diunjurkan dlm mana-mana sistem kehidupan jika setiap orang bijak mengimplementasikannya dlm bentuk yang mudah, efisyen, dan efektif.

Farid Rashidi said...

Salam,

Berbeza dengan Ulama' Islam, walaupun pada permulaannya mengarang kitab menggunakan matan. Misalnya Matan kitab Minhaj Usul ila ilmu usul oleh Qadi Nasirruddin Al-Baidhawi kemudian dikembangkan ilmu itu dan disyarah pula dengan panjang lebar oleh Syeikh Jamaluddin Abd Rahim bin Hasan Al-Asnawi melalui kitabnya Nihayatul Sul.

Begitu juga matan kitab Minhaju Tallibin oleh Imam Nawawi As-Syafie' kemudian disyarahkan pula oleh Imam Hilaluddin Muhammad bin Ahmad Al-Mahalli dalam kitabnya Kanzul Raghibin, kemudian syarah itu dijelaskan lagi secara terperinci oleh Syeikh Shihabuddin Ahmad bin Ahmad dalam kitab Qalyubi dan Syeikh Shihabuddin Ahmad Al-Burlasi dalam kitab Umairah dengan landasan Hasyiah.

Matan>Syarah>Hasyiah.

Maka, tidak semua 'bijak' itu dengan berfikir mudah.

Wallahua'lam.

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO