ISTIGHFAR BANYAK-BANYAK
Bulan ini, amat jarang sekali saya mengupdate blog. Kesibukan pada urusan peribadi dan jemaah seakan mengekang untuk idea menulis datang mencurah-curah seperti kebiasaan. Begitulah, salah satu kekangan ilham menulis ialah apabila seseorang penulis itu dilambak kesibukan dalam urusan mentadbir.
Seusai urusan walimah bermula dari hujung Mei hingga pertengahan Jun ini, saya mempunyai tuntutan kerja luar bersama krew Muslimah. Kami outsation ke Kelantan. Selasa & Rabu kelmarin saya diserang demam mengada-ngada. Antara demam dan tidak demam. Terlalu penat barangkali, tetapi ia tetap menjadi nikmat dan hikmah buat diri yang selalu lalai dengan nikmat kesihatan.
Teringat sewaktu menemubual Dr. Johari Mat semasa di Kelantan. Beliau bercerita tentang peranan istighfar terhadap kehidupan manusia.
“
Suatu hari, si suami mendengar satu kuliah melalui corong radio kereta. Ustaz dalam kuliah tersebut menyampaikan, “Dalam kehidupan ini, kita kena selalu beristighfar. Istighfar akan membuka jalan bagi manusia dalam setiap urusan-uusan hidup. Dalam susah atau senang perlu selalu istighfar. Kalau ada masalah banyakkan istighfar. Buntu dan tidak menjumpai jalan penyelesaian,
Pulang ke rumah, si suami menyampaikan pesanan ustaz tersebut kepada isterinya. Diminta kepada si isteri untuk mengamalkan istighfar dan memohon pada Allah agar dikurniakan anak dengan keberkatan istighfar tersebut.
Tidak lama kemudian isterinya mengandung dan melahirkan anak perempuan. Mereka menyambung lagi amalan istighfar. Tidak lama selepas itu isterinya mengandung dan dikurniakan anak perempuan lagi. Suami tetap dengan pesannya, “mari kita teruskan dengan amalan kita”. Mereka beristighfar, terus beristighfar. Akhirnya dikurniakan anak perempuan juga sebagai anak ketiga mereka.
Lalu si suami berkata kepada isterinya, “Kita sudah dikurniakan tiga anak perempuan. Apa kata, selepas ini kita beristighfar dan berdoa moga dikurniakan anak lelaki pula. Alhamdulillah, dengan amalan itu mereka dikurniakan anak lelaki seperti yang diimpikan.
Berkatalah suami kepada isteri, “Kita sudah ada 4 orang anak, sudah ada anak lelaki dan perempuan. Rasanya cukup sudah 4 orang ini. Kalau macam itu, kita berhentilah beristighfar”
Cerita dihujung ini membuatkan saya tertawa. Barangkali betul, barangkali sekadar gurauan cerita. Sebenarnya, yang ingin dititikberatkan dalam kisah ini ialah amalan istighfar yang mempunyai banyak fadilat seperti yang dikisahkan dalam al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W.
Dalam sebuah hadis, Ibnu Abbas Radhiallahu anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Bersabda Nabi S.A.W: Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya. (Hadis riwayat Abu Daud)
Manusia itu lalai. Manusia juga lalai bahawa dia dalam kelalaian. Lalai manusia adalah sia-sia, tanpa sedar mengundang dosa.
Dalam masa yang sama, manusia mempunyai impian, hasrat, keperluan dan kehendak hidup. Namun, manusia lupa bahawa impian, hasrat, keperluan mahupun kehendak hidup itu hanya boleh diberi oleh Dia yang sering dilalaikan manusia.
Apabila kita mengharapkan sesuatu dari manusia, manusia itu sering diingati, dihargai dan dipuji. Tetapi apabila mengharap banyak dari Allah, Allah dilupai dan dipandang sepi. Maka, jadilah kita seorang yang ‘dauble standard’ dalam pengharapan.
Allah S.W.T. ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Quran.
Tafsirnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu. (Surah Hud: 3)
Begitulah, banyak masalah, kekurangan, kesusahan, kemurungan, kesedihan berlaku dalam kehidupan insan disebabkan dosa dan kesilapan kita sendiri. Kita tidak menyangkal itu adalah ujian. Tetapi yang harus difikirkan, sama ada ujian itu penguat iman atau sebagai kafarah terhadap timbunan dosa sama ada secara sedar atau tidak sedar. Tidak mustahil semua itu menjadi hijab atau penghalang terhadap keinginan yang sangat diharapkan.
Ada masalah, ingatlah dosa..
Ada kesusahan, ingatlah dosa..
Ada kesedihan, ingatlah dosa..
Ada orang yang membenci, ingatlah dosa..
Mahal rezeki, ingatlah dosa…
Tidak naik gaji, ingatlah dosa..
Barang hilang, ingatlah dosa…
Putus cinta, ingatlah dosa...
Kemalangan, ingatlah dosa...
Tidak dapat anak, ingatlah dosa…
Susah belajar, ingatlah dosa…
Demam, batuk, selesema, ingatlah dosa…
Barangkali segala kesusahan yang berlaku disebabkan dosa kita atau dosa anak isteri yang turut dipikul dibahu sendiri.
Barangkali idea saya untuk menulis ini hilang juga kerana dosa saya…
Dosa tidak ikhlas, bangga dengan kelebihan menulis, muamalat yang tidak perlu, riya’, lalai dengan blog, menunda ibadah kerana menulis dan macam-macam lagi…
Terlalu ‘mengupdate blog’ tetapi tidak mahu ‘mengupdate iman’ .Pandai menulis, buat tidak mahu…
Sama-samalah kita muhasabah dengan kehadiran tiga bulan yang mulia ini Jadikan Rejab, Sya’ban & Ramadhan sebagai PROGRAM TAKWA TAHUNAN seorang individu Muslim, seorang da’ei dan seorang murabbi.
2 Comentários:
cerita yang menarik...
syukron. semoga berkongsi manfaat
Post a Comment