Tuesday, August 18, 2009

Kematian di Pentas Dakwah

Diri saya diselubungi misteri hingga ke hari ini. Ada sesuatu sedang mengintai-intai saya dari pintu dan tingkap halimunan dengan wajah gerun dan menakutkan.


Misteri itu mempunyai dua bau, bau wangi dan bau busuk. Ada juga terbau dua bau yang berlainan iaitu bau syurga dan bau neraka. Ia akan datang kepada saya dengan dua wajah, wajah cantik atau buruk. Seterusnya menjemput saya dengan cara baik atau kasar sekali.


Siapa misteri itu? Misteri itu bukan dilalui saya seorang. Diri anda juga diselubungi misteri itu. Misteri itu bernama kematian.


Minggu lepas, seluruh negara dikejutkan dengan pemergian ke rahmatullah pahlawan nasyid tanahair, Ustaz Asri Rabbani. Ternyata benar bait-bait dua lagunya, “Pergi Tak Kembali” dan “Subuh Yang Terakhir” buat arwah.


Berita kematiannya membuat jiwa saya sangat tersentuh sehingga ke hari ini. Ingatan kepada alam barzakh dan alam akhirat sangat memberi kesan ke ruang hati yang paling dalam. Tiada siri kematian sebelum ini yang benar-benar menginsafkan saya dalam jangka masa yang lama.


Namun, lain benar dengan kesan pemergian Ust. Asri. Sekali saya mendengar lagu beliau, saya ingat kepada mati. Apabila ada yang menyebut nama beliau, mereka seolah-olah membisikkan gelombang kematian di telinga saya. Begitu juga di saat membaca tazkirah mati, terus saya teringat kepada beliau. Seolah-olah allahyarham ialah ikon kematian bagi saya.


Semalam, ketika bermesyuarat program Lajnah Tarbiyah Muslimat Kawasan, Kakbi menceritakan saat-saat arwah menemui ajal. Kata Kakbi, arwah sempat bertakbir “Allahu Akbar” ketika jatuh membuat persembahan. Peristiwa ini diakui sendiri oleh ahli kumpulan Rabbani yang berada sama di siaran itu.


Siapakah tidak mahu akhir hidupnya menyebut nama Allah...?


Itulah penamat sebuah episod kehidupan yang didambakan oleh hamba-Nya yang soleh.


Muhasabah buat pendakwah

Ust Asri amat mencintai nasyid sebagai medan dakwahnya, lalu beliau meninggalkan dunia ini dalam keadaan bersama nasyid yang dicintainya itu. Setiap kali lagunya berbicara nasihat dan pedoman, setiap itulah pahala dititipkan pada buku amalan kebaikannya.


Tambahan, lantunan-lantunan lirik jihad bersama Nada Murni amat menuntun jiwa dan memanah semangat sehingga membakar. Saya sangat menyukai sebuah lagu Nada Murni ketika dahulu, “Nun Di Sana Ada Cita-cita”.


Nun di sana cita-cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal
Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugikan
Quran dan sunnah jadikan panduan
Agar besok kita tidak kesesalan


Biar susah sedikit kerana Tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah iktibar kalau mahu sedar.


Di sana tiada kawan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegeralah membuat kebajikan
Usah dilalaikan oleh nafsu dan syaitan


Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah bekalan untuk ke sana.


Ayuh bersegeralah menuju Allah
Taatilah Ia minta ampun pada-Nya
Mati bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia.

(kredit buat Kak Nik untuk lirik ini)



Wahai diriku dan dirimu bergelar pendakwah...


Apalah yang diharapkan dengan amal yang sedikit. Hendak diharapkan pada solat, solat tidak khusyu’. Hendak diharapkan pada puasa, puasa pada zahir sahaja. Hendak diharapkan pada bicara, bicara banyak yang sia-sia. Hendak diharapkan pada kerja, kerja sekadar untuk dunia.


Berdoalah kepada Allah, agar ditetapkan telapak kaki kita atas perjuangan Islam. Setiap langkah kita ke tempat program, menjadi pahala. Setiap ucapan nasihat, beroleh ganjaran. Setiap perahan keringat, menjadi sandaran. Setiap buah fikiran, beroleh syafaat. Semuanya menampung kekurangan pada amal yang sedikit itu.


Apa yang kita usahakan untuk membangun yang runtuh di sekitar kita menjadi saksi bahawa kita bersama-sama Rasulullah. Apa lagi yang diharap kelak pada amal yang sedikit melainkan syafaat Rasulullah. Kita berusaha mengekor baginda dalam perjuangan, insya-Allah..syafaat baginda akan mengekor kita di kala Allah tidak lagi melihat amalan kita yang sepicing itu.


Jangan biarkan masa kita dibiar kosong tanpa gerak kerja dakwah. Setiap inci masa adalah masa dakwah. Setiap lantunan suara adalah suara dakwah. Setiap buah fikir adalah buah dakwah yang segar bugar. Malah lebih dari itu, generasi akan datang juga lahir dari rahim seorang pendakwah.


Semoga kita menyusul nanti bersama Ustaz Asri..

…Kematian di pentas dakwah!


Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO