Wednesday, August 5, 2009

MEMBINA JIWA-JIWA...

Saat ini, saya sedang mengurus dan menyelaras penganjuran program Tadarus al-Quran Nisa’ 3D dengan temanya Quran: ‘Develop, Determine & Devotion’. Program ini merupakan salah satu projek Teen Circle atau usrah remaja yang perlu digalas dibahu Nisa’ di setiap kawasan seluruh Malaysia. Terpulang kepada Nisa’ kawasan masing-masing menjalankannya mengikut kreativiti dan alternatif masing-masing.


Di peringkat Nisa’ Gombak, kami merancang untuk melaksanakan Tadarus Nisa’ 3D sempena Ramadhan selepas pelancaran Teen Circle di Tasik Layang-layang bulan Julai lalu. Sekalipun pelancaran itu disertai tidak sampai 15 orang peserta, saya percaya setiap yang besar bermula dari yang kecil. Sebuah bangunan tinggi juga bermula dari sekecil bata. Malah, kecil itu juga comel dan cantik. “Small is beautiful”.


Adik-adik peserta pelancaran Teen Circle bergambar di tepi Tasik Layang-layang


As-Syahid Hasan al-Banna ada berkata:


"Andai Islam itu seperti bangunan usang yang hampir roboh, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah".

"Small is beautiful"

Saya akui, jika diberi pilihan untuk memilih jawatan atau taklifan tertentu, pilihan saya adalah pada gerak kerja membentuk jiwa-jiwa muda. Melalui proses kenal diri, saya tahu potensi dan kekuatan saya ialah pada usaha membentuk jiwa-jiwa ini.


Paling utama dalam setiap pilihan, keputusan dan tindakan adalah hasrat, matlamat, azam, kehendak dan cita-cita yang disimpulkan dalam satu perkataan iaitu KEMAHUAN. Berdakwah kerana mahu, mahu menuju mampu.


Meraikan ragam dan rencam


Kerana minat yang didorong kemahuan ini, saya menerima taklifan sebagai Ketua Unit Pembangunan Insan Nisa’ Gombak dan Setiausaha Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan Dewan Muslimat Pas Gombak. Meskipun dibangun atas potensi dan kekuatan, ia bukan tugas yang mudah dan memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Dalam Nisa' saya berhadapan dengan golongan muda, dalam Dewan Muslimat saya bekerja dengan yang lebih tua.


Perlu sabar dalam bersabar, beriltizam dalam berazam, kreatif dalam bertindak di samping meraikan kepelbagaian ragam dan rencam kesulitan. Ia perlu dilorongi dengan cahaya hikmah atau kebijaksanaan.


Dalam konteks ini, sirah nabi menjadi sumber pedoman tentang pendekatan tarbiyyah dan pendidikan yang bukan sahaja hidup, tetapi segar, berkesan dan releven di semua peringkat manusia.


Para sahabat pernah mengemukakan soalan yang sama kepada Rasulullah. Antaranya, beberapa sahabat pernah bertanya tentang ‘apakah amalan yang paling utama.’ Rasulullah menjawab dengan pelbagai jawapan.


Antara jawapan Rasulullah ialah “mendirikan solat pada awal waktunya.” Menjawab soalan yang serupa daripada sahabat yang lain dengan sabdanya pula: “jihad fi sabilillah.” Datang pula dengan pertanyaan yang serupa lalu di jawab Rasulullah: “berbuat baik terhadap kedua ibu bapa”.


Rasulullah mempelbagaikan jawapan kepada soalan yang serupa kerana baginda amat berminat untuk mendidik manusia. Jawapan diberi berbeza, sesuai dengan keadaan orang yang bertanya dan kemampuan mereka untuk menerima. Baginda berupaya menggarap dakwah dengan hikmah dan menjelmakan Islam sebagai agama yang mudah.


Kasut saya dan shitah tidak sama. Begitu juga kasut saya dan anda, kasut anda dengan orang lain. Itu sebagai analogi ragam manusia.


Tarbiyyah tidak semudah Ta’alim


Meskipun begitu, tidak semua idea saya dapat diterjemahkan dalam bentuk usaha di dalam Dewan Muslimat berbanding Nisa’. Nisa’ menyasarkan golongan remaja dan belia. Golongan ini lebih mudah dibentuk, ditunjuk ajar dan dinasihati. Mereka juga sangat sukakan kakak-kakak yang mengambil berat dan bermanja-manja dengan mereka. Sekaligus, proses pentarbiyyahan atau pendidikan berlangsung dengan berjaya selagi mana kita mempunyai kemahuan dakwah yang kuat. Kemampuan dan kekuatan pula adalah perkara yang kedua.


Senario ini berbeza dalam Dewan Muslimat. Ia berurusan dengan golongan ibu-ibu, makcik-makcik dan nenek-nenek atau orang lama dalam parti. Golongan berusia ini lebih berminat kepada berta’alim atau menerima ilmu. Hatta, usrah dan tamrin sekalipun sudah menjadi medium ta’alim iaitu mengajar dan menerima ilmu melalui tadahan buku dan ustaz jemputan.


Kesyumulan tarbiyyah sudah semakin menipis apabila kebanyakan program tarbiyyah banyak diwarnai oleh aktiviti ta’alim. Sebab itu, kita melihat golongan ini boleh meramaikan program ceramah, kuliah, dan belajar kitab berbanding program tarbiyyah berbentuk disiplin dan praktikal. Justeru, terlihatlah peranan tarbiyyah hanya pada proses penyampaian ilmu, mengajar dan menerima ilmu.


Ta’alim atau mengajar manusia ilmu, sama ada di masjid, usrah, seminar, pembentangan kertas kerja atau kuliah atau sebagainya adalah kerja mudah. Kegiatan ta’alim atau penyampaian ilmu tersebut dianggap berjaya apabila ilmu telah disampaikan, sama ada dalam bentuk ucapan atau tulisan, tanpa mengira sama ada orang yang diajar akan menerima atau mengamalkan ilmu itu.


Saya mengambil satu petikan perenggan dari blog Ahmad Fathi bahawa konsep mendidik (tarbiyyah) tidak sama dengan konsep mengajar (ta'alim). Lalu mendidik itu merupakan proses mengajar dan mendidik ilmu, mengajar dan mendidik adab, kemahiran, ketrampilan dan segalanya menerusi bahasa percakapan dan lisanul-hal (contoh perbuatan).

Begitu juga, sirah baginda ada mengajar bahawa tugas Muslim khususnya pendakwah bukan sekadar mengajar, tetapi paling penting ialah mentarbiyyah atau mendidik, mengasuh dan membimbing. Hakikatnya, orang yang dididik itu mempunyai pelbagai ragam, sifat dan perangai, lantas menjadikan tugas tarbiyyah itu amat berat. Dalam hal ini, ta’alim belum cukup menampung tarbiyyah untuk melahirkan kader-kader dakwah yang cekal dan kental.


Sehingga saat ini, saya seronok melaksanakan program-program membina jiwa-jiwa muda. Namun satu kesulitan saya, bagaimana mendampingi jiwa-jiwa tua, lalu membawa mereka merasai muda dalam perjuangan sekalipun tua dalam berusia.


Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO