Thursday, December 24, 2009

Konvensyen Blogger: Roh Baru di Media Baru


Zaman ini, manusia dikuasai oleh satu roh baru selepas agama iaitu informasi. Internet muncul sebagai “kepercayaan baru” dengan setiap orang mempercayai pengaruh dan kuasa yang ada padanya dalam membentuk dan memutuskan rasional masa hadapan.


Kenyataan ini dibuat oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof. Madya Abu Hasan Hasbullah ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Menguruskan Potensi Media Baru Dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi Menurut Perspektif Future Studies.’


(sumber gambar: harakahdaily)

Pembentangan tersebut dibuat dalam Konvensyen Blogger PAS 2009 yang diadakan di Dewan Fadzil Noor, Taman Melewar pada 20 Disember lalu. Setahu saya, ini ialah jemputan ketiga dari PAS kepada beliau selepas Seminar Memperkasa Parti peringkat Pusat dan Seminar Memperkasa Parti Memperkukuh Pakatan Peringkat Selangor. Alhamdulillah, saya berpeluang mengikuti ketiga-tiganya.


Kehadiran blogger di kalangan wanita dalam konvensyen tersebut agak sedikit. Barangkali jurus penulisan blog dalam kalangan kaum wanita agak kurang menyentuh aspek politik secara aktif atau agresif.


(sumber gambar: harakahdaily)


Seperti juga saya, meskipun terlibat dengan parti sebagai aktivis tegar, perbincangan politik tidak mendominasi ragam tulisan dalam blog saya. Sekali sekala saya akan menulis tetapi bukan secara analitikal atau provokasi.


Barangkali menulis politik bukan haluan kaum perempuan. Namun demikian, sebagai aktivis, memandang politik sebagai isu runcitan dalam penulisan blog adalah suatu yang merugikan. Dekad ini, blog wujud sebagai kepercayaan baru setelah media konvensional iaitu berita dan akhbar menjadi kepercayaan kuno, konservatif dan primitif.


PM. Abu Hassan yang juga Pengasas Zentrum Future Study Malaysia memberitahu, kajian yang dibuat mendapati blog menjadi pilihan dan rujukan paling utama generasi muda dalam lingkungan usia 21 hingga 41 tahun berbanding media konvensional yang lain.


Dalam kajian dari Februari hingga Mac 2008 itu mendapati, blog berada ditangga teratas dengan 39.2 peratus berbanding akhbar 14.8 peratus, televisyen 23.5 peratus dan media baru lain 26.2 peratus.


Malaysia menggunakan kemudahan internet hampir 92 peratus dalam pelbagai aspek kehidupan berbanding United Kingdom 66 peratus dan Amerika Syarikat 60 peratus.


Ketika ditanya kenapa berlaku perbezaan ketara penggunaan internet Malaysia dengan UK dan USA, Abu Hassan memberitahu ia bergantung kepada amalan demokrasi negara masing-masing.


Jika sesebuah negara itu mendokong kebebasan bersuara, maka penggunaan internet mungkin tidak begitu tinggi berbanding negara yang mengokong kebebasan bersuara.


Ini kerana, rakyat yang terkongkong akan mencari dan menggunakan alternatif lain untuk menyalur dan mendapat maklumat khususnya saluran internet.


"Kerana lebuh raya yang ada di Malaysia ini satu arah sahaja, dan banyak tol, maka orang akan mencari jalan yang lain, yang ada ini primitif, konservatif dan kuno," kiasnya ketika menjawab soalan mengapa penggunaan internet di Malaysia tinggi.

dipetik dari harakahdaily



Apa yang menarik, beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia sedang melalui fasa ketiga gelombang internet. Fasa pertama ialah web, fasa kedua ialah blog (blogspot, wordpress dan lain-lain) dan bersedia melalui fasa ketiga iaitu laman sosial (Facebook, My Space, Twitter, Flick dan lain-lain). Facebook menduduki tangga kedua tertinggi selepas blog.


Dalam dua seminar sebelum ini dan konvensyen tersebut, beliau acapkali mengulang kenyataan bahawa potensi paling kuat yang ada pada media baru ialah persepsi. Persepsi yang dibentuk paling pantas akan mencipta ‘attention’ dan seterusnya mencipta ‘reputation’. ‘Reputation’ akan menempatkan persepsi-persepsi yang tercipta sebagai sumber dalam mereka strategi politik.


Lihat sahaja betapa isu-isu yang berlegar di sekitar massa telah membentuk persepsi rakyat terhadap apa yang dibaca dan didengar. Siapa paling cepat menghantar berita, dia akan memperoleh reputasi. Siapa paling cepat mencipta informasi, dia adalah pihak yang akan menguasai kepercayaan. Dan kita selalu lambat untuk menjawab informasi yang dihantar kepada pemikiran mereka.


Jaringan Sosial semakin mendapat tempat dan menjadi energi baru dalam pengurusan politik. Facebook dan Myspace misalnya, dianggarkan hampir 42% mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun mengikuti kempen dan perkembangan politik melalui saluran Internet.


Analisis ini dibandingkan dengan media tradisi iaitu Utusan Malaysia (6%), Berita Harian (9%), The Star (12%), RTM (2%), TV3 (5%), Awani (10%) dan Blog dan Jaringan Sosial (42%) dan selebihnya media lain.


…with blogging, ‘communications over the Internet have greatly multiplied and amplified the voices, information, exhortations, and diatribes passing through the world news prism’ (Hachten and Scotton 2007, 58)


Menguasai media baru adalah menguasai pengaruh di masa hadapan!.

1 Comentário:

Unknown said...

sayangnya kakchik terlepas peluang untuk menyertainya.

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO