Wednesday, December 2, 2009

Siri 1 Baitul Dakwah: "Buku yang Bergerak"

Aku kembali menyelak helaian buku ‘Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul.’ Penulisnya, Fatimah Syarha sangat lembut mendidik dengan bahasa kejiwaan. Beliau berkongsi cinta dan cita-cita dengan bingkisan yang sungguh istimewa.


Sentuhannya begitu mengujakan, begitu dekat dengan jiwa seorang isteri yang bernama aku. Aku bertekad mahu menghabiskan pembacaannya. Sementelah, suamiku terlebih awal menekuninya walhal karya Fatimah Syarha begitu hebat bahasa ‘bunga-bunganya’. Tidak tersangka seorang lelaki boleh membaca karya yang mencabar jiwa kelakian. Bila kutanya, jawapannya mudah.


“Abang sanggup menurunkan ego seorang lelaki demi memenangi hati seorang isteri”


Aku ingin berkongsi harapan dengannya, membina mahligai kasih idaman melalui motivasi dan inspirasi. Ia tidak semudah membaca buku. Namun dari buku yang bersifat kaku itu, bisa membentuk diri kami menjadi ‘buku yang bergerak’.


“Sedikit sekali orang yang membaca buku di perpustakaan, tetapi seorang muslim sejati adalah ‘kitab terbuka’ di mana semua orang membacanya. Ke mana sahaja dia pergi, dia adalah ‘dakwah yang bergerak’.”


Kata Hasan al-Banna yang menjentik hatiku agar aku menjiwai buku.


“Kenapa lambat betul picture banner ni nak loading?,” keluhku ketika membuka salah satu file dalam laptop kami.


“Sebab dalam banner tu ada gambar sayang. Gambar sayang menyebabkan file itu jadi berat,” jawab suamiku dengan lembut, sedikit tidak terasa bahawa aku seakan menyalahkannya.


“Kenapa?”. Aku kembali melanjutkan pertanyaan.


“Gambar banner tu jadi berat sebab sayang ada dalam banner tu. Berat sebab tanggungjawab sayang besar, seberat impian, matlamat dan wawasan sayang.”


Kata suamiku. Aku diam seribu bahasa. Hati kecilku sangat senang dengan guraunya kali ini. Setelah berkahwin, baru kutahu suamiku gemar bergurau. Malah, insan yang amat kuhormati itu makin kelakar dari ke hari.


Sebelum berkahwin, ramai yang kata dia seorang yang pemalu dan pendiam. Entahlah, orang yang kata. Kerana cinta halal tidak memberi izin kepada kami untuk saling lebih berkenalan.


Gurau senda, itulah seni bercinta Rasulullah dan Humaira. Kami ingin tebarkan haruman sunnah baginda, biar mahligai berbau dengan aroma sakinah-Nya. Hadith Rasulullah kejap kusemat dalam jiwa yang mendamba syafaatnya.


“Saya menikahi wanita. Maka barangsiapa yang tidak suka dengan sunnahku, maka bukanlah dia daripada golonganku.” (Riwayat al-Bukhari).


Pedoman baginda tidak perlu diragui, tetapi dijiwai dalam meranduk bah yang bakal melimpah dalam asam garam baitul dakwah.


Cuti Eidul Adha yang baru berlalu kelmarin, aku mengajak suamiku bermain bowling. Penat berehat di rumah, ajakanku disambut dengan senyuman tanpa sedikit alasan sekalipun. Biarlah rumahtangga kami berseni dengan gaya hidup yang tidak kaku sepanjang masa.


“Kali pertama main dulu, sayang telah kalahkan abang. Kali kedua main, abang pula kalahkan sayang,” ulahku setelah kami hampir pulang dari pusat bowling Selayang Mall.


“Abang sengaja buat-buat kalah dulu, saje nak bagi sayang menang,” ujarnya sengaja menggoyahkan pendirianku.


“Kenapa?,” tanyaku untuk kenapa yang kedua.


“Sebab abang sayang sayang lebih, jadi abang kena bagi sayang menang,” jawab suamiku.


“Mana boleh, kita kena sayangkan Allah lebih dari sayangnya kita kepada hamba-Nya. Kita perlu terlebih dahulu memenangkan Allah dari mememangkan hamba-Nya.”


Biarpun cinta dan rindu kami semakin erat, masakan kami melupai Allah pemilik sebenar cinta itu. Dialah yang memberi cinta, dan Dia berhak menarik cinta itu bila-bila.


Kekuatan kami ialah doa kepada-Nya, amanah kami ialah membahagikan rumahtangga dan membezakan apa yang patut dan apa yang tidak patut. Ia terlalu berat dan semakin menjadi berat dan besar. Berat kerana kami ialah ‘buku yang bergerak’. Besar sebesar ummah yang perlu diselamatkan. Segalanya kembali kepada akad kami, “Kerana Dakwah Kami Bernikah”.


1 Comentário:

MS Rizal said...

Buku Fatimah Syarha itu membuatkan saya malu sendiri, saya jauh ke belakang dari segi akhlak dan amalan berbanding suaminya-pandangan ikhlas seorang suami dari mata hati seorang isteri... Lelaki hebat memiliki isteri yang hebat..Semoga lahir zuriat yang membangunkan ummah dari baitul muslim ini..

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO