Thursday, November 26, 2009

Berjiwa Besar

“Pada saya mahasiswi sekarang tidak berjiwa besar, cukup menjaga kebajikan sesama mereka sahaja.”


Satu lontaran energetik dari Adik Rafidah, mantan Timbalan Gamis merangkap penasihat Sigma sesi lalu. Ketika itu, saya menemubual beliau bagi menghiasi kolum dakwah kampus majalah Muslimah. Kata orang, kecil-kecil cili api. Begitulah tamsilan saya terhadap adik yang seorang ini.


Beserta Sigma, slogan ‘Muslimat Power’ dipadu kemas dalam tumbukan yang ditujah ke langit. Harapan Sigma mahu melihat mahasiswi tidak lagi melatah manja. Sebaliknya menjawab isu masyarakat dengan hujah bernas dan jiwa besar.


Dalam Nisa’ Gombak, selain dari Rafidah, saya juga kagum dengan Nahwan, Nida, Ummu, Ain, Ayu, Tengku, Dekma, E, Kak Long, Su dan semua sahabat Nisa’ yang lain. Saya bukan seorang jiwa-jiwa yang suka membaca jiwa setiap sahabat saya. Namun saya yakin, kami sedang berdiri di atas landasan yang kukuh dan tidak akan goyah.


Apakah landasan itu? Ia landasan perjuangan yang berdiri di atasnya jiwa-jiwa yang besar. Jiwa-jiwa ini bertekad satu mahu membina persekitaran Islam yang kembali membugar dengan sentuhan aroma rabbaniyyah.


Islam yang kini dipandang kecil harus ada di sisinya pembela yang berjiwa besar. Dan kami akan saling berkasih-sayang dan bertemu bukan kerana cintakan perjuangan semata-mata, tetapi terlalu cinta kepada Tuhan perjuangan itu.


Memenangkan Allah.


Dalam usrah Nisa’ Selasa lalu, saya mengingatkan diri saya dan sahabat akan skala pengorbanan. Saya mahu menjemput sahabat Nisa’ masuk ke pintu pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail serta kebesaran Eidul Adha yang bakal disambut nanti.


Ungkapan indah dari Syeikhul Islam Abdul Qadir al-Jailani menyinggung jiwa besar kami malam itu.


Kata Syeikhul Islam, “Seorang hamba berada di tengah-tengah, iaitu antara Allah dan nafsunya sendiri. Seandainya dia memenangkan nafsunya, maka jadilah dia hamba kepada nafsu. Seandainya dia memenangkan Allah, maka jadilah dia hamba kepada Allah.”


Tanpa jiwa yang besar, Ibrahim tidak akan memenangkan Allah ketika terhimpit dengan perintah Allah untuk menjadikan anak kesayangannya sebagai korban. Jikalau jiwa Ismail kecil, sudah tentu Ismail memenangkan nafsunya untuk meraih keseronakan lebih lama di dunia. Akhirnya kerana memenangkan Dia, Allah menggantikan sesuatu yang bernilai dari arah yang tidak disangka-sangka.


Sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail boleh menjadi kayu ukur skala pengorbanan dalam perjuangan kita. Jika diberi skala yang lurus, di hujung ini Allah, di hujung itu nafsu, di manakah kedudukan kita?


Kita berada di tengah-tengah dan ketika itu kita berhak memilih dengan pertimbangan yang wajar. Mahu menjadi hamba Allah atau hamba nafsu. Meskipun begitu, ramai yang berada di skala yang tidak tepat termasuk saya dan anda.


Kita marah apabila dituduh menjadi ‘pak turut’ kepada orang lain. Tanpa sedar, kita selalu menjadi ‘pak turut’ kepada sesuatu yang tidak terlihat oleh kita sendiri iaitu nafsu.


Begitulah, Allah menuntut hambaNya terlebih dahulu memenangkan Dia dari diri-diri atau nafsu-nafsi sendiri. Memenangkan Allah. Itulah pra-syarat kemenangan dalam perjuangan kita untuk layak diberikan kemenangan pada musuh-musuh kita.


“…Kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad: 7)


Bertempur dengan musuh yang ada dalam diri, hakikatnya perit, mahu atau tidak, harus didepani. Hati bersifat maknawi, tidak nampak. Hati tempat letaknya iman. Iman juga maknawi, nafsu juga maknawi. Kita melihat dunia dengan mata. Untuk melihat hati, iman dan nafsu, mata kedua harus berperanan. Mata hati.


Semangat Berkorban


Seseorang menjadi besar kerana jiwanya besar. Semasa saya masih sekolah, saya teruja dengan kata-kata ini hingga saya menjadikannya sebagai falsafah hidup ketika itu. Sememangnya saya berbadan kecil. Namun ukuran itu bukan ukuran seseorang. Ukuran besar atau kecil seseorang ialah jiwanya.


“Biar kita berbadan kecil tetapi berjiwa besar daripada berbadan besar tetapi berjiwa kecil. ”


Hikmah tersebut acapkali saya tuturkan pada setiap orang yang bertanya, “Hidayah, kenapa kau ni kurus sangat?.”

Persoalan yang dijawab dengan tamparan tetapi baik untuk direnungkan.


Tidak ada jiwa besar tanpa jiwa yang punya semangat berkorban. Berkat semangat memberi, berkorban dan berjuang, umat ini telah menjadi umat yang besar dan disegani dunia dalam sejarahnya.


Menyoroti sirah Rasulullah, kita akan meneguk suatu mujahadah yang bernilai dalam kalangan sahabat. Mujahadah untuk menyerah segala yang dimiliki dengan sifat tajarud yang tidak berbelah bagi. Maka, keluarlah dari mulut Abu Bakr, “Cukuplah aku tinggalkan Allah dan Rasul untuk ahli keluargaku”


Andai kita beriman dan ingin tetap telapak kaki kita di atas landasan iman ini, marilah kita renung kembali bai’ah (janji setia) kita kepada Allah. Sahabat, suatu ketika dulu kita pernah berjanji dan ungkapan janji itu sentiasa dituturkan hampir setiap pertemuan.


Bahawa kita tidak akan bersifat bakhil terhadap masa, usaha, harta mahupun nyawa sendiri untuk dikorbankan di jalan Allah demi menyahut firmanNya: “...Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh SYURGA... ”


Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO