Monday, May 10, 2010

Menulis Dengan Konsep 3i



Alhamdulillah, tiada kalimah yang lebih indah diungkapkan pada kali pertama meletakkan jari di papan kekunci notebook ini, melainkan kalimah syukur kepadaNya. Allah masih memberi nikmat ilmu dan ilham untuk menulis. Meskipun minda seakan buntu dek banyaknya tanggungan di kepala, akhirnya laman blog berjaya dikemaskini dengan 'paksaan' dalam rela.


Apabila mengungkit keadaan di atas, saya teringat akan satu kata-kata motivasi yang pernah dituturkan dalam sebuah program. Dalam program tersebut, saya menyedarkan sahabat-sahabat peserta betapa pentingnya mengurus fikiran untuk mengurus ucapan. Maksudnya, ucapan yang terurus, tersusun, berkesan dan tidak dipengaruhi emosi adalah implikasi dari fikiran yang turut diurus dengan baik.


Tidak salah jika saya kaitkan ucapan sama dengan penulisan. Bahawa salah satu hambatan yang mengekang saya mengemaskini blog kerana fikiran saya turut dikekang dengan timbunan tugas yang berat dan semakin banyak. Ia membantutkan motivasi saya untuk menulis. Kadang-kadang keinginan itu datang, idea sudah tergolek di depan mata tetapi apabila teringat kerja yang lain, keinginan terhenti di tengah jalan.


Apa yang menarik, saya termotivasi dengan konsep 3i yang diperturunkan oleh Ust. Nasarudin Isa dalam satu ucapannya. Ujar beliau, teguhkanlah hati untuk berdiri dengan konsep 3i dalam setiap kerja buat kita iaitu Ikhlas, Itqan dan Istiqamah.


Ya, 3 amal yang amat payah diperteguhkan, namun apabila ia semakin sebati dan selalu diingati, setiap yang berat akan menjadi ringan, yang sukar menjadi mudah. Tidak ada yang senang dalam beramal, segala perlu mujahadah. Menulis juga begitu walau sekadar menaip apa yang kita fikir. Tanpa ketiga-tiganya, usaha menjadi sia-sia.


Adakah kita benar-benar ikhlas menulis? Adakah kita sudah itqan dalam menulis? Adakah kita istiqamah dalam amalan menulis?


Saya akui belum cukup sempurna pada ketiga-tiganya, tetapi setiap kali saya ingat 3i di atas, saya akur bahawa bakat dan kelebihan menulis perlu digunakan seoptimanya. Peluang dakwah sudah terbuka dengan mata pena. Apa yang penting, istiqamah dengan usaha yang sedikit, biar lama-lama menjadi bukit.


Saya akan mulakan sekarang! Langkahnya? Dengan mengurus fikiran seiring dengan mengurus masa dan kerja. Urus fikiran untuk mengurus tulisan!

1 Comentário:

Heri Fauzan Suheri said...

Mohon penjelasan lebih lanjut tentang makna itqan. Ane kurang fahim? Terima kasih atas jawabannya...

Salam kenal...

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO