Thursday, May 29, 2008

ILMU BUKAN DI KEPALA LUTUT

Arkitek dan senibina,
Jurutera dan bangunan,
Jurubina dan pembinaan,
Interior design dan layoutnya...


Saya masuk ke dalam rumah. Rumah tetap kukuh berpasak di bumi. Meja teratur bilik tersusun, makanan terhidang, tempat tidur bersih, ada ruang makan, ruang tamu, bilik air dan tandas. Saya memetik suis lampu dan kipas, ada cahaya ada udara. Lalu pandangan beralih ke luar, pandangan pada alam dan melihat benda dengan ketentuan masing-masing. Saya melihat pada buah manggis tumbuh berdekatan dengan durian. Durian dan manggis tumbuh pada tanah yang sama tapi rasa manggis tetap manggis, rasa durian tetap durian. Dilihat dari sudut manapun insan menghadapkan mukanya, kelihatan pada setiap sesuatu itu, pada setiap saat, ada yang memeliharanya.


Takjubnya saya merenung semua itu, adanya aturan memastikan manusia berfikir adanya Pengatur, Pemelihara dan Penjaga. Malam itu saya memandang ke langit. Cakerawala yang luas dihiasi dengan bintang-bintang yang berkelip-kelip. Matahari terbit setiap pagi dan terbenam setiap petang. Bulan sejak 1 haribulan, lalu menjadi purnama ke hari 15 dan bulan mengecil lagi menjadi bulan sabit. Peraturan yang tertentu ini menjadi asas untuk ilmu pasti. Ya, ilmu Matematik.


7.00 pagi
Selesai solat subuh, baca al-Quran dan Mathurat.
Rutin harian tarbiyyah pejuang muda.
Ya, Allah, istiqamahkan diriku menunaikan tuntutanMu...


Saya dalamkan renungan sedikit lagi atas gerak alam ini. Ilmu fizik yang saya belajar di sekolah. Juga konsep kinematik yang dipelajari di universiti. Mengapa matahari ini tidak pernah terjatuh padahal ia sangat besar dan berat? Mengapa bintang-bintang ini tidak pernah berkisar, kacau bilau?


Bola disepak oleh budak-budak di depan rumah. Melambung tinggi ke udara, akhirnya kembali juga ke tanah. Sebab ringan ia terapung ke atas dan sebab berat dia turun ke bawah. Mengapa matahari, bulan dan bintang tetap begitu, tidak pernah jatuh ke bawah padahal ia berat? Banyaknya bintang dilangit tidak terhitung, tidak sekali pun berlaga, tidak sekali pun berlanggar antara satu sama lain. Padahal beribu-ribu kenderaan di Kuala Lumpur mahupun kota-kota besar walaupun ada peraturan menggunakan lalu-lintas, sehinggakan berpeluh keringat abang polis trafik menjaga, pelanggaran terjadi juga.


Memang pasti teori fizik, yang berat turun, yang ringan terapung. Padahal yang lebih besar dan lebih berat iaitu bumi sendiri, matahari, bulan dan bintang-bintang menjadi bukti yang nyata, ke mana semua teori-teori itu. Mahu ataupun tidak, ilmu atau bukan ilmu, semua itu seakan-akan bersorak menyerukan nama : ALLAH, ALLAH!.


Ilmu Geologi...ilmu kajibumi, antara subjek kejuruteraan mencabar mindaku,
Ilmu alam ini berjuta-juta tahun!
Batu ditaksir sekian tahun!
Tanah ini sekian abad!
Himalaya yang sekarang, bukan Himalaya yang dulu
Bukan juga Himalaya yang esok!


Peraturan alam ini ialah alam akan berubah. Bumi sendiri pun, melalui perubahan-perubahan dalam jangkamasa beribu-ribu tahun, bahkan berjuta tahun, baru menjadi bentuk seperti sekarang. Kesan air, dari hujan ke sungai, dari sungai ke laut. Air disejat ke udara semula, gegaran hebat gempa bumi kerana runtuhan tanah pada perut bumi atau kerana letusan gunung berapi.


Kita berdiri ditepi laut. Kita lihat ombak menggulung.
Lalu kita bertanya: Kenapa ombak ini menggulung? Kerana udara!
Mengapa udara bergerak?
Kerana hawa panas!
Dari mana datangnya panas itu?
Dari matahari!


Siapa yang letakkan haba pada matahari? Bagaimana haba matahari itu dapat bertahan sekian lama? Apakah bahan yang memanaskan itu? Dari mana pula ia datang? Siapakah yang membuatnya?


......Athies terdiam. Nak kata jadi dengan diri sendiri, maka itu jelas menipu. Karl Marx sendiri, ketika hampir ajalnya, menyeru dan memanggil: God, oh god!


Akhirnya,
Allah... jawab orang beragama.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO