Wednesday, June 4, 2008

BERSYUKUR AND LET'S GO!

Minggu ini jadual saya agak padat. Orientasi kerja saya juga sudah berubah. Dari komitmen kerja (praktikal) di office, kini saya berpeluang untuk turun ke site project di Bangi. Hampir sebulan duduk terkurung di office menjadikan minda saya buntu. Biasalah, kadang-kadang kita akan bosan bila berada pada rutin kehidupan yang sama setiap hari. Diri mula rasa malas, jemu dan macam-macam perasaan yang melemahkan dan melemaskan.

Redha Allah..ya, bila teringat hidup ini hanya untuk mencapai keredhaan Allah, mula diri rasa kembali bermotivasi. “Mungkin ada perkara yang aku tidak sukai tetapi itulah yang baik untuk aku...astaghfirullah. Jadikanlah aku tergolong dalam golongan orang-orang yang sedikit”. Lantas saya betulkan niat ini kembali. Kenapa saya berdoa agar digolongkan di kalangan orang yang sedikit? Memang terlalu sedikit orang-orang yang bersyukur, itulah yang Allah telah nyatakan dalam firmannya: “Sesungguhnya orang-orang bersyukur itu terlalu sedikit”.

Minggu ini, Biro Remaja dan Belia juga sedang all out untuk pecutan akhir sebelum berlangsungnya Hari Cakna Belia anjuran Pusat Khidmat Komuniti Adun hujung minggu ini. Nampaknya saya terpaksa mencuri-curi masa ‘self management’ sepanjang minggu ini. Belajar berlawan dengan kepenatan setelah seharian bekerja. Maklumlah, duduk di ’site’ memang memenatkan kecuali kalau berpeluang duduk saje..

Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan ketenangan kepada saya, hati tidak begitu tertekan dengan kesibukan dan kepenatan. Walaupun sesekali, ada juga rasa tewas dan sedikit konflik, bila baju masih belum berbasuh, baju juga tidak di iron siap untuk seminggu, menyelesaikan kerja-kerja rumah sebelum ke tempat kerja dan tuntutan ‘self management’ yang lain.Saya memang tidak betah untuk membiarkan rumah dan juga keperluan diri dalam keadaan tidak terurus. Mungkin terikut-ikut perangai mak yang sudah menjadi kebiasaannya sebelum keluar ke mana-mana, rumah mesti dalam keadaan bersih dan semua kerja ‘kesurirumahtanggaan’ selesai. Mungkin ada sesetengah individu boleh ‘pejam mata’ melihat keadaan rumah yang tidak terurus, tapi tidak family saya.

Bergerak kerja di luar memberikan saya gambaran baru tentang perjuangan. Bekerja sesama team muslimat membuatkan kami jadi diri sendiri. Tidak ada apa yang perlu di cover atau pretend ataupun segan untuk menonjolkan kemampuan diri, seperti mana kebiasaan yang berlaku apabila bekerja dengan muslimin. Teringat ketika zaman kampus dulu, malam-malam yang tidak pernah sunyi dari meeting dan program. Orientasi bekerja sebegini menjadikan hubungan kami lebih akrab, daya pemikiran yang lebih kreatif, lebih berdikari melakukan sesuatu, tidak berkira atau memilih kerja dan semangat perjuangan yang sentiasa di top-up antara satu sama lain.

‘Kerjaya’ dakwah ini memang tidak bergaji. Ada orang yang bekerja full time dan ada juga part-time. Mengikut kondisi masing-masing. Namun, Allah tidak akan sesekali mengira part-time atau pun full-time nya kita, namun apa yang dikira adalah sejauhmana komitmen dan keikhlasan kita sepanjang melakukan gerak kerja Islam ini.Walaupun tidak dinafikan, sesekali hati terasa berat, dan acapkali diri tertewas dengan cabaran penat. Namun, bila melihat komitmen sahabat-sahabat lain yang lebih hebat dugaannya pun masih mampu untuk terus komited, hati kembali bertenaga, dan semangat kembali membugar. Benarlah, muhasabah diperlukan sentiasa. Dan muhasabah yang mendorong hati kita semakin sihat dan bersemangat ialah cuba untuk memahami orang lain yang lebih sibuk, lebih penat, lebih banyak cabaran, dugaan, masalah tetapi masih terus komited dengan aktiviti dakwahnya.

Sebagai contoh, saya cukup kagum dengan Kak Wani. Memang status kami tidak sama, kerana dia telah pun berumahtangga. Seharian penat bekerja, malam dan hujung minggu ke sana-sini bermesyuarat sampai lewat malam, buat gerak kerja Islam, tak sesekali terdengar dia mengeluh penat mahupun ‘surrender’ walaupun terpaksa berhadapan dengan karenah anak buah yang berbagai-bagai ragamnya dalam perjuangan. Tarbiyyah menjadikan seseorang itu kuat, dan juga mungkin dorongan dari suaminya yang sangat memahami dan turut sama dalam perjuangan.

Inilah motivasi yang cukup hebat untuk membakar semangat saya meneruskan gerak kerja dakwah ini. Tanpa dorongan-dorongan seperti ini, sebagai manusia saya akui kita pun akan kalah, walaupun persekitaran akan sentiasa berubah, namun semangat untuk terus istiqamah janganlah goyah.

Memikirkan jalan perjuangan di hadapan, terasa ada kebimbangan yang mencengkam.“Mampukah aku istiqamah atas jalan ini Tuhan? Aku belum dicuba, aku belum diuji. Aku masih di peringkat membawa diri sendiri, belum di uji dengan komitmen pada rumahtangga, pada harta yang melimpah ruah, juga pada kesenangan yang membahagiakan..”

Hebat ketika zaman kampus bukanlah penentu istiqamahnya seseorang di jalan perjuangan ini. Selagi mana ada keimanan dan kefahaman yang mendalam, amalan yang berterusan, tarbiyyah bukan terbiar, ukhuwwah bukannya kuah dan intima’ diri dalam organisasi yang tersusun, InsyaAllah…kita mampu untuk terus bersama di jalan ini.

Sehingga saat ini, saya merasa begitu bersyukur atas nikmat dan anugerah Allah kepada saya, mak dan ayah yang sangat memahami, keluarga yang harmoni, adik-adik yang turut membantu, rakan-rakan yang mesra dan juga ‘environment’ yang baik.

Dan doa yang makin kejap dalam hati, semoga Allah makbulkan dengan mengurniakan saya ‘teman’ yang soleh untuk kehidupan di dunia dan akhirat.

Thank you Allah, for always giving me a wing to fly…
...saya perlu bersyukur dan let’s go!

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO