Sunday, August 3, 2008

PENYAKIT ROHANI YANG MENIMBULKAN MALAPETAKA

Rawatan terhadap berbagai-bagai penyakit termasuk penyakit moden yang muncul di abad ini menjadi agenda utama dalam dunia perubatan, seluruh dunia berganding bahu mewujudkan institusi kesihatan bagi memerangi penyakit berkenaan, terutama bagi mengatasi kemunculan penyakit AIDS yang belum ditemui ubatnya.


Sebaliknya dunia belum membuka mata untuk membuka institusi rawatan bagi penyakit yang lebih dahsyat, iaitu penyakit rohani yang mencetuskan sifat-sifat mazmumah. Pesakit rohani mungkin jumlahnya lebih besar, jika dibanding dengan pesakit-pesakit yang sedang terlantar di wad-wad rumah sakit di seluruh dunia.


Derita yang ditanggung oleh para pesakit jasmani sekalipun berbahaya, namun kemuncaknya sama ada sembuh ataupun kematian. Sedangkan risiko yang ditanggung oleh pesakit rohani adalah lebih dahsyat, kuman ataupun virus itu akan merosakkan keimanan dan ketakwaan, memusnahkan keikhlasan beramal, kurang berminat melakukan kebajikan sebaliknya lazat melakukan kejahatan dan kemaksiatan, akibatnya dia akan menanggung derita azab yang berpanjangan di dalam neraka.


Nama-nama bagi penyakit rohani tidaklah sebanyak nama-nama penyakit jasmani, namun ia lebih sukar diubati. Jika ada jenis penyakit jasmani yang boleh menular seperti menularnya virus HIV dan lain-lain penyakit yang berbahaya, penyakit rohani bukan sahaja menular malah boleh menghancurkan kerukunan rumah tangga, mengkocak kedamaian masyarakat serta menghuru-harakan negara jika ia dihadapi oleh ketua keluarga, pemimpin masyarakat, terutamanya pemimpin negara.


Pemimpin negara yang jiwanya dihinggapi penyakit 'keras hati', tidak akan menerima nasihat agama. Sekalipun pemimpin negara itu seorang muslim, tetapi tetap memandang serong terhadap undang-undang Islam. Bukan sekadar dia tidak yakin dengan hukum dan peraturan Islam, malah menganggap undang-undang Allah sebagai punca kemunduran.


Jika seorang pemimpin, rohaninya dijangkiti virus 'tamak', maka dia tidak akan menganggap kuasa yang ada ditangannya sebagai amanah yang besar dari Allah, sebaliknya menjadikan kekuasaan itu sebagai alat untuk mengaut kekayaan negara, menyelewengkan harta rakyat untuk kepentingan peribadi dan kaum kerabat mereka.


Demikian juga apabila pemimpin negara itu rohaninya mengidap kanser 'hasad dan dengki', dia tidak sekadar berusaha untuk mengekalkan kedudukannya dengan apa cara sekalipun termasuk meminda undang-undang yang menguntungkan kedudukannya sebagai orang terpenting malah berusaha menjatuhkan orang lain dengan cara yang terkutuk sekiranya orang itu dianggap menggugat kedudukannya. Diri mereka bukan berperanan sebagai khalifah Allah di bumi tetapi sebagai khalifah iblis di dunia.


Andainya seseorang itu sedar bahawa hatinya sudah berpenyakit, maka lebih mudah dia mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakitnya itu. Tetapi, jika dia tidak menyedari atau sengaja tidak mahu sedar sekalipun penyakit itu sudah menunjukkan tandanya, maka apabila dia mati, matinya sebagai seorang yang membawa penyakit. Penyakit rohani tidak tamat dengan matinya seseorang, tetapi kelak akan lebih parah dan dirasai deritanya apabila berada di alam barzah dan seterusnya apabila dia dibangkitkan oleh Allah S.W.T dengan keadaan hatinya yang berpenyakit.


Justeru itu, orang yang hatinya berpenyakit hendaklah berusaha mengubati penyakitnya, agar mereka menghadap Allah S.W.T dengan hati yang bersih dan tidak berpenyakit. Kerana segala sifat mahmudah iaitu sifat yang terpuji hanya akan tersimpan di dalam hati yang sejahtera.

1 Comentário:

suara said...

Salam.

Semoga Allah membantu usaha kak su untuk membersihkan diri dari segala keburukan akibat dari kelemahan iman. Kak su percaya antara ubat yg paling baik ialah asma ul husna. Sekarang ni pun masih berusaha mendalaminya...

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO