Wednesday, August 6, 2008

ZON SELESA, SAMPAI BILA?


Sejak kebelakangan ini, saya sering bermonolog dengan diri sendiri. Apa perlunya saya membina kejayaan? Untuk apa saya bersusah payah dan berhempas pulas? Bukankah hidup tidak mensyaratkan kejayaan sebagai tiket kebahagiaan? Mengapa perlu bersusah payah mengejar kecemerlangan sedangkan kecemerlangan itu sendiri menjanjikan cabaran-cabaran tanpa penyudah?


Soalan-soalan begini selalu ditanyakan oleh mereka yang percaya hidup perlu dilalui seadanya. Bagi golongan ini, memburu kejayaan hanya menyukarkan hidup. Selama tidak menyusahkan orang, laluilah hidup mengikut kebiasaan-kebiasaannya sahaja. Yang penting bahagia.


Semasa di universiti dulu pun begitu, melihat rakan-rakan mahasiswa yang lain tidak perlu sibuk berkejar ke sana ke mari menguruskan persatuan, tidak rungsing memikirkan assignment yang membukit kerana mempunyai banyak masa untuk belajar sedangkan kita berkira-kira membahagikan masa untuk program dakwah dan gerak-kerja organisasi. Cemburu juga melihat kehidupan mereka yang penuh kerehatan dan kegembiraan berbentuk peribadi. Ah, buat apa perlu cemburu! Saya memikirkan hidup, bukan hidup-hidupan.


Kalau kita melihat kehidupan itu sendiri sebagai suatu perlumbaan, sudah tentu kita tidak mahu ketinggalan paling belakang. Berada pada kedudukan tercorot dalam apa-apa pertandingan memang memalukan. Apakah anda rela berada di tempat paling belakang?


Lalang, tumbuhan yang sering dikatakan tidak berguna kepada manusia sentiasa bersaing untuk tumbuh lebih tinggi, lebih subur dan lebih menonjol. Haiwan liar di hutan sering berjuang untuk hidup, ayam peliharaan juga sanggup berkelahi untuk mendapat lebih makanan malah siang dan malam saling kejar mengejar sebagai tamsilan kehidupan itu adalah persaingan dan pertandingan, mengapa tidak kita, insan yang dikurniai akal, kebolehan dan keinginan-keinginan tertentu?


Hidup perlu diisi dengan matlamat. Matlamat perlu dikejar. Mengejar matlamat perlu berlari. Berlari perlu bersungguh-sungguh supaya benar-benar sampai kepada matlamat. Mencapai matlamat itu adalah kejayaan. Kejayaan lambang keunggulan, mungkin diri sendiri, bangsa yang diwakilinya, agama yang dianutinya malah negara mana dia berada. Bangsa yang belum pernah menempah kejayaan akan sentiasa dipandang rendah dan bakal menjadi permainan bangsa-bangsa yang lebih menonjol. Apakah kita rela melihat keadaan ini berlaku?


Ramai orang terperangkap dalam zon selesa. Zon ini membuatkan orang berasa selesa dalam tempurung yang diserkupkan ke atas kepala mereka. Orang yang dipeluk zon selesa lebih rela berkata, “Tak apa” daripada “Kita perlu bersaing”.


Zon selesa membuatkan orang ramai tidak sedar pinggir sungai di mana dia berada sedang terhakis. Jika dia terus lalai, dia akan jatuh apabila tanah tempat dia berpijak itu dimakan hakisan. Tapi dengan selesa dia berkata. “Tak apa, kalau tempat aku berpijak ini terhakis, aku akan naik lagi ke atas.” Walhal semakin terhakis bermakna dia semakin hilang tempat berpijak. Orang yang tidak terperangkap dalam zon selesa nampak betapa dia patut bertindak membina benteng agar tebing tidak terus terhakis. Menyelamatkan tebing lebih utama daripada berlari menjauhi tebing.

1 Comentário:

Kalam Bicara said...

Salam alaik..
Berkaitan zon selesa... kita dlm pendakwah pun mempunyai pemilihan yg berbeza dlm memilh lapangan utk berdakwah... ramai pendakwah cenderung memilih zon selesa.... maklum la senang cari makan, sambil boleh berdakwah. Ana ligat memikrkan perkara ni..

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO