Friday, October 24, 2008

HUMAN INTEREST. I'M NOT INTEREST?

Human Interest. Baru semalam saya mengenal istilah ini. Satu teknik penulisan selain teknik ‘feature writing’ yang baru saya kenali namanya. Sebelum ini menulis saja berdasarkan minat. Orang kata, bakat boleh dipupuk, minat paling utama. Masakan pisau yang tumpul boleh diasah, tetapi adakah saya mahu jadi pisau yang tumpul sedangkan pisau yang tajam lebih banyak menyumbang. Kita tinggalkan cerita pisau…


Saya bukan mahu bercerita tentang pisau atau apa itu teknik ‘human interest’. Saya mahu cerita tentang siapa itu human interest. Mereka adalah individu-individu yang indah, romantik, hebat, unik dan tersendiri dalam sketsa kehidupan saya.


Teringin benar saya untuk bercerita tentang ibu. Kenapa tidak bercerita tentang ayah dahulu? Kerana saya amat beringat dengan pesan Rasulullah bila ditanya sahabat siapakah orang yang paling utama ditaati selepasmu ya Rasulullah, jawab Rasulullah, ibumu..ibumu…ibumu…kemudian baru jawab Rasulullah, ayahmu.


Saya tidak malu bercerita tentang ibu saya. Ibu saya bukan doktor, bukan peguam, bukan peragawati malah bukan juga seorang menteri. Ibu saya seorang operator kilang dulunya. Walaupun bukan pramugari, namun ibu saya cukup indah dan sangat cantik. Apabila melihat ibu, saya mendapat pahala, apabila merenung mata ibu, seluruh kebahagiaan dirasa. Sangat indah dan cantik bukan? Lihat ibu sahaja sudah dapat pahala.


Dulu ibu sakit, saya hampir kehilangan ibu. Namun Allah masih sayangkan saya, sayangkan ibu, sayangkan ayah dan adik-adik. Allah masih beri saya rasa beribu sehingga kini. Setelah ibu sembuh daripada barah otak, ibu hanya duduk di rumah, menjadi pendidik dan pentarbiyyah anak-anak. Bukan anak-anaknya sahaja dididik dan diasuh, malah anak-anak yatim yang ditinggalkan oleh ayahnya selama-lamanya dan ditinggalkan ibunya buat sementara untuk pergi bekerja. Besarnya pahala ibu.


Oh, ibu saya juga romantik. Suatu kecil dahulu, ibu sanggup berjaga malam menemani saya merengek minta disusukan. Romantik bukan? Ibu merenung mata dan memeluk erat jasad saya sambil tersenyum ketika menyusukan saya. Semakin romantik ibu malam itu. Setelah saya kekenyangan, ibu menyelimuti saya, memasang kelambu rungsing jika saya diganggu nyamuk. Sekejap ibu bangun melihat saya. Sekejap lagi ibu bangun semula melihat nyamuk. Berkejap-kejap kali ibu bangun setiap malam. Saya seolah-olah mendengar bisikan ibu, ‘biar ibu tidak lena tidur anakku asalkan dirimu terasa selamat’. Romantik bukan? Dan sehingga kini usia saya 25 tahun, ibu masih memeluk saya jika saya tidur di sebelah ibu. Alangkah romantiknya ibu.


Sebelum terlupa, ibu saya bernama Fatimah. Jika Rasulullah sering memuji anakanda baginda yang bernama Fatimah, maka selayaknya juga saya memuji ibu saya seorang Fatimah. Saya sangat cintakan ibu.


Ayah saya bernama Jaafar, sama namanya dengan bapa saudara Rasulullah yang mati syahid di medan perang. Ayah saya unik dan hebat sekali. Saya juga tidak malu bercerita tentang ayah saya. Ayah saya hanya peniaga kecil-kecilan bukan bisnesman yang kaya raya, berkereta mewah dan berbanglo besar. Ayah saya tiada syarikat, yang hanya ada cuma tulang 4 kerat yang semakin lemah minta direhat. Setiap hari ayah bekerja menaiki motor Yamaha, kadang-kadang kereta Toyota. Bila agaknya saya boleh belikan motor yang baru untuk ayah, kereta ayah juga sudah uzur, maklumlah kereta tradisional…kereta lama. Berjalan-jalan di Kuala Lumpur bersama ayah cukup membuatkan ayah sangat unik dan tersendiri. Tiada siapapun yang berkereta seperti kereta ayah. Unik bukan? Sebilangan orang mendabik dada dengan berkereta baru dan mewah tetapi tidak ayah. Saya tidak malu bercerita tentang kereta ayah kerana kereta itulah yang membawa saya pergi dan pulang sekolah sehingga saya berjaya masuk universiti.


Tangan ayah kasar kerana bekerja kuat, namun saya tidak pernah rasai kekasaran dari tangan ayah. Percaya ataupun tidak, ayah tidak pernah menengking saya, meninggikan suara, memarahi saya, mencubit saya, memukul saya seumur hidup saya di dunia ini. Apa sahaja yang saya minta daripada ayah pasti dipenuhi walaupun ayah terpaksa bangun dari tidur pukul 12.00 malam untuk membeli ubat nyamuk kerana tidak mahu anaknya diganggu nyamuk. Unikkan ayah saya?


Salahkah saya memuji ayah saya Jaafar yang berkorban untuk anaknya sepertimana Rasulullah memuji bapa saudaranya Jaafar yang sanggup berkorban untuk Islam?


Ayah saya juga hebat. Keluar sahaja saya dari rahim ibu, saya tidak dapat nafikan kehebatan ayah. Ayah paling hebat kerana suaranya. Suara ayah adalah suara yang pertama saya dengari ketika lahir ke dunia. Suara ayah adalah suara pertama yang memperkenalkan saya dengan Allah. Alangkah merdunya suara ayah menitipkan kalimah itu..Allahuakbar..Allahuakbar. sehingga selesai sayup-sayup ayah bisikkan di telinga ini.


Ayah membisikkan dengan lembut kalimah itu tetapi kenapa saya tidak berlembut ketika bercakap dengan ayah? Suara ayah suara pertama yang saya dengar di telinga semasa kecil tetapi kenapa bila sudah besar saya sukar mendengar kata ayah?


Saya tidak malu bercerita tentang ibu seorang operator kilang Saya tidak malu bercerita tentang ayah seorang peniaga kecil-kecilan. Namun saya sangat malu bercerita tentang diri sendiri. Ibu saya indah dan romantik. Ayah saya unik dan hebat. Kedua-duanya sangat istimewa buat saya. Adakah saya sangat istimewa buat mereka?


Saya hendak ceritakan bahawa saya ini anak yang soleh, saya tidak cukup soleh. Saya hendak ceritakan saya ini anak yang menabur budi, semua pengorbanan ibu dan ayah belum lagi diganti. Saya tidak pasti adakah saya seorang anak yang bertakwa jika saya tidak dapat selamatkan ibu, selamatkan ayah daripada api neraka. Saya yakin doa ibu untuk saya sudah makbul, doa ayah pada saya juga makbul, tetapi doa saya untuk mereka? Apabila ibu dan ayah tiada, adakah doa saya akan diterima oleh Allah jika saya bukan anak yang soleh? Tidak malu bercerita tentang ibu dan ayah tetapi cukup malu dengan diri sendiri.


Saya cintakan ayah. Saya cintakan ibu. Siapa yang memberikan rasa cinta saya pada ayah dan ibu? Ibu cintakan saya. Ayah juga cintakan saya. Siapa yang memberikan rasa cinta ibu dan ayah pada saya? ALLAH! Maka, saya juga perlu cintakan ALLAH.


Saya malu untuk terus bercerita. Saya malu untuk terus menulis. Kerana saya tidak pasti adakah saya benar-benar cintakan Allah, Tuhan yang memberikan perasaan cinta pada ibu dan ayah.

3 Comentários:

Srikandi Zinnirah Wafaa' said...

Hargailah mereka yg kita kasihi ketika mereka masih bernyawa. Setelaha mereka tiada, hanya kenangan yg mampu menemani kita. Pastinya realiti & kenangan adalah 2 perkara yg berbeza. Semoga cinta kita kepada Allah menyuburkan rasa cinta kita kepada mereka yg kita kasihi.

Anonymous said...

jazakallah.sebuah tazkirah yang baik.

Unknown said...

Aku tak tau nak cakap ape, melainkan gembirakanlah mereka sementara masih ada waktu........heh,

bukan semua orang yang masih punya ibu dan ayah........

mardhotillah

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO