Thursday, October 23, 2008

MEMBELI EMAS DENGAN MASA



“Satu inci masa sama harganya dengan satu inci emas, tapi satu inci emas tak boleh beli satu inci masa.”


Pepatah Melayu ada mengatakan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Itu menunjukkan mulut amat perlu diberikan kawalan supaya tidak dengan onarnya badan menanggung akibat. Kalau tidak mahu memang lidah dapat dikawal sesuka hati. Tetapi kalau mahu, memang menuturkan kata-kata menjadi agenda yang paling seronok dilakukan. Ibarat masa, kalau hendak digunakan sebaik-baiknya, ia akan terguna sepenuhnya, tetapi kalau hendak dibuang-buang, tidak susah hendak melakukannya.


Kebanyakan manusia tidak sedar dia telah ditinggalkan masa, jauh di belakang. Dia menyangka selari dengan masa, padahal masa untuknya semakin pendek dan kesempatan untuk dia menikmati kehidupannya semakin tiada.


Rugilah orang-orang yang bermain dengan masa sebab masa tidak pernah menanti sesiapa yang lambat apalagi orang yang tidak mempedulikannya. Masa akan terus pergi. Sesiapa yang gagal mempergunakan masa dengan sebaik-baiknya ibarat kehilangan harta yang amat bernilai iaitu emas.


Islam meletakkan masa pada kedudukan yang cukup tinggi
. Antara buktinya, waktu-waktu sembahyang itu diberikan tempoh-tempoh tertentu untuk melaksanakannya, sesiapa yang dapat melaksanakannya dalam tempoh-tempoh tertentu akan mendapat kelebihan-kelebihan tertentu. Mereka yang mengejar ganjaran pahala berganda pasti tidak menunda-nunda untuk solat diawal waktu sedangkan mereka yang alpa mudah melewat-lewatkan solat. Mereka belajar membentuk disiplin diri untuk menghargai masa dengan membentuk disiplin untuk solat di awal waktu. Sesiapa yang gagal bermakna tewas dan menjadi mereka yang rugi. Kerugian yang tak dapat ditebus lagi.


Demikian juga kita disunatkan berbuka awal sebaik sahaja masuk waktu berbuka dengan keistimewaan-keistimewaan tertentu. Mereka yang bermain-main dengan masa bererti bermain-main dengan sunnah. Bukan sahaja mengalami tempoh berpuasa yang lebih panjang malah mengurangkan pahala ibadah.


Masa amat dipentingkan dalam Islam tetapi ramai yang mengambil sikap tidak peduli lantaran gagal mengibaratkan masa dengan sesuatu yang paling berharga –emas. Sebagaimana kita tidak ingin kehilangan emas, kita juga tidak patut kehilangan masa. Masa lebih mahal daripada emas, sebeb emas kalau hilang boleh dicari ganti, sedangkan masa tidak mungkin akan kembali.


Rugilah orang yang telah gagal mempergunakan masa dengan sebaik-baiknya. Kita mungkin mendapat usia yang sama, tetapi orang yang lebih prihatin terhadap masa akan lebih beruntung. Orang yang hidup dengan bermalas-malas akan mendapati setiap orang lebih berjaya dan lebih beruntung daripada dirinya dalam semua hal.


Masa bukan sekadar emas tetapi jauh lebih berharga daripada itu, sebab seketul emas tidak mungkin boleh membeli seminit masa yang terlepas. Bagi orang yang mahu berfikir dan yang mahu merenung tempoh yang diperuntukkan kepadanya dalam dunia ini, pasti dia akan melihat masa adalah segala-galanya.

1 Comentário:

Unknown said...

aku menagih masa yang boleh dijadikan emas.....

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO