Thursday, October 30, 2008

RE-ENGINEERING ORGANISASI (2) : 6 MITOS PENGGUNAAN MASA


“Jika saya seorang yang efisyen, secara automatik saya akan menjadi seorang yang efektif”


Pandangan ini SALAH!.
Tidak semestinya kecekapan dapat melahirkan keberkesanan. Kecekapan atau efisyen ialah kemampuan melakukan banyak perkara dalam masa yang sedikit. Sedangkan keberkesanan atau efektif pula ialah kemampuan melakukan sesuatu sehingga mencapai matlamat yang ditetapkan. Mungkin anda boleh membuat tiga empat kerja dalam masa satu jam, tetapi adakah anda dapati kesemua kerja itu mencapai matlamat yang diinginkan?. Biarlah kita menjadi orang yang cekap melakukan kerja dan melakukannya sehingga mencapai matlamat yang ditentukan.


“Kalau hendak kerja itu dibuat dengan sempurna, buatlah sendiri!”


Ini juga SALAH. Kebiasaannya seorang yang mementingkan kesempurnaan mempunyai pandangan sebegini. Mereka inginkan semuanya sempurna pada pandangannya. Orang sebegini hanya menyibukkan diri mereka dengan kerja-kerja sampingan yang sepatutnya dibuat oleh orang lain. Akhirnya, dia mengabaikan tugasan utamanya. Apabila ini berlaku, pincanglah pengurusan organisasi dan ini turut menggugat pengurusan masa anda. Belajarlah mengagihkan tugas & mempercayai orang lain melakukan sesuatu tugasan. Bimbing mereka melakukan kerja itu. Jika mereka tidak dapat melakukan sebagaimana yang anda lakukan, sekurang-kurangnya mereka juga telah cuba yang terbaik!.


“Hanya ada satu cara sahaja melakukan sesuatu kerja”.


Tidak benar!. Orang sebegini selalunya tidak kreatif. Mereka hanya mengikut rutin & amalan sebelum ini. Apabila anda berada dalam situasi sebegini, berubahlah sekarang. Berundurlah seketika & berfikirlah sejenak, adakah cara lain yang lebih baik bagi melakukan semua ini? Apakah matlamat yang hendak dicapai? Adakah proses ini diperlukan? Adakah mesti orang yang sama melakukannya? Bagaimana cara yang lain? Gunakan fikiran anda secara kreatif bagi mempelbagaikan cara kerja anda.


“Hasil yang baik tidak akan diperoleh kecuali dengan kerja-kerja yang banyak”.

Salah. Pandangan ini berlaku apabila seseorang itu terlalu menumpukan kepada proses, bukan matlamat. Biasanya, cara berfikir mereka terkeluar daripada ‘landasan’ berfikir yang sepatutnya. Maka mereka pun mencipta pelbagai kerja & proses bagi mencapai matlamat yang sudah dilupakan. Sebenarnya, pencapaian matlamat bergantung pada kualiti perancangan & kerja, bukan jumlah kerja yang ditentukan.


“Saya tidak akan produktif sehinggalah saya sibuk sepanjang masa”.


Tidak benar!. Orang yang berjaya masih ada masa untuk berfikir, bersantai, berjumpa rakan, berziarah, berkumpul bersama keluarga dan banyak lagi. Anda hanya menjadi sibuk apabila anda tidak berfikir dan merancang kerja & masa anda. Anda hanya membiarkan diri anda ‘hanyut’ dibawa oleh gelombang kerja & rutin yang tidak mendatangkan hasil pun. Jika anda termasuk dalam golongan ini, anda dapati setiap masa anda sibuk & banyak kerja, ke sana ke mari serta tidak habis-habis dengan pelbagai tugasan. Duduk & rancanglah kehidupan anda setiap hari, supaya anda tidak lagi tergolong dalam kelompok ini.


“Jika terlalu berhati-hati menguruskan masa, kehidupan saya tidak mencabar & tidak menyeronokkan lagi”.


Ini adalah alasan dangkal bagi mereka yang malas merancang masa. Apabila anda menguruskan masa anda, semakin banyak keseronokan yang anda alami. Tidak bermakna dengan menguruskan masa, tiada cabaran dalam bekerja. Cabaran bekerja sentiasa ada. Keputusan genting pasti akan dibuat. Tindakan spontan juga diperlukan apabila perlu. Risiko ada pada bila2 masa. Namun perkara yang paling utama untuk anda lakukan adalah merancang masa anda terlebih dahulu.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO