Wednesday, November 5, 2008

BUTA SEJARAH ATAU BUTA AGAMA?

Kita semakin kusut dan serabut. Apa sudah jadi dengan sistem pendidikan negara sekarang? Jika ada dua perkataan yang dapat menggambarkan situasi sistem pendidikan negara dalam dunia dewasa ini adalah ‘kekeliruan’ dan ‘kecelaruan’. Saya keliru. Sejauh manakah rasional dan dasar logiknya sistem pendidikan yang telah dirangka sejak tahun 80-an lagi mampu membentuk generasi pewaris yang mempunyai nilai-nilai kehormatan dan kemanusiaan yang tinggi.


Sistem pendidikan negara bukan sahaja melahirkan generasi pewaris dengan isu-isu sosial yang tidak pernah disaksikan oleh peradaban Melayu sebelum ini, malah berkiblatkan kepada sistem orientalis dan barat yang rosak dan mabuk dengan kehancuran perilaku mereka. Kita sepatutnya menggaru dagu yang tidak gatal. Kita menyaksikan dengan mata yang tahu melihat dan akal yang menuntun berfikir tentang kehidupan remaja dan belia barat yang hanyut dengan tabiat tanpa peradaban, namun masih ada pihak yang mengungguli pendidikan yang dicanang barat ini. Mudah sahaja, pendidikan sekular semakin menempelak pendidikan dan penerapan nilai-nilai agama Islam dalam institusi peradaban melayu.


Sebelum ini, KBSR dan KBSM diperkenalkan pada tahun 80-an. Saya juga berada di bawah program ini. KBSR dan KBSM ternyata tidak berupaya memperkenalkan apa itu moral dan sahsiah yang lurus untuk dipraktikkan dalam kehidupan beragama. Hasilnya amat mengejutkan. Masyarakat semakin pening kepala dengan isu-isu sosial yang busuk dan rosak seperti bohsia, rempit, black metal, murtad, sumbang mahram, dadah, gangsterisme, vendalisme dan macam-macam isme lagi.


Keadaan bertambah parah. Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pula diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Program ini semakin menjadikan orang melayu ketinggalan dan terkebelakang daripada bangsa-bangsa yang lain. Puncanya cuma satu, orang Melayu tidak menguasai Bahasa Inggeris. Pelajar garu-garu kepala di kelas kerana tidak faham, guru-guru pun turut garu-garu, manakala ibu bapa hanya tahu angguk-angguk apabila guru memaklumkan prestasi anak-anak kian merosot. Angguk-angguk sahaja namun tiada tindakan yang dibuat memprotes program ini terhadap anak-anak mereka.


Semasa saya belajar, saya tahu saya adalah bangsa yang ada bahasa. Saya belajar Bahasa Melayu, maka saya tahu Bahasa Melayu adalah bahasa bangsa Melayu. Kawan saya Lim, bangsa Cina ada Bahasa Cina, Ravita berbangsa India ada Bahasa Hindi. Namun sekarang, Bahasa Melayu iaitu bahasa ibunda bumiputera terbesar semenanjung tidak lagi dinamakan Bahasa Melayu sebaliknya ditukarkan menjadi Bahasa Malaysia. Melayu yang tiada bahasanya. Adakah kerana ketinggalan anak Melayu dalam pendidikan dan kerjaya kerana bahasanya sehingga bahasa ini telah dikambing hitamkan? Atau kelemahan pemimpin mentadbir negara? Korea, Russia dan Jepun maju dengan bahasanya sendiri, pelajar kita pula semakin mundur dengan bahasa orang lain.


Ada lagi. Menjelang 2010 nanti negara bakal menyaksikan pertambahan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib diambil oleh murid-murid bersekolah rendah. Maka, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi enam kertas soalan semuanya termasuk Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia 1 dan 2.


Apa relevennya subjek Sejarah yang ilmunya sudah dimanipulasikan fakta-faktanya oleh penjajah orientalis? Apa relevennya diajar kepada peringkat rendah, sedangkan di peringkat menengah, Sejarah bukan satu penyelesaian mengubati penyakit-penyakit sosial pelajar? Adakah kerana penyakit-penyakit sosial yang meresapi golongan muda hari ini kerana buta sejarah? Atau mereka sendiri yang buta agama? Pendidikan diperingkat rendah tidak perlu dicemar dengan sebarang agenda dan masalah negara atau fahaman-fahaman falsafah. Sepatutnya, pendidikan yang menerapkan nilai-nilai asas kehidupan seperti Sains, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang akan membantu mereka memahami sekeliling dan menjadi persediaan ke peringkat menengah nanti.


Kita meraikan subjek Sejarah diajar di peringkat rendah dan menengah jika ia merupakan pokok penyelesaian kepada permasalahan sosial yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Bukan cendawan yang baik untuk dimakan tetapi cendawan yang boleh ‘membunuh’. Kerajaan perlu cakna merancang silibus Sejarah ini agar bersesuaian dan berkesan, bukan Sejarah yang mengandungi fakta-fakta yang telah dimanupulasikan oleh barat dan agen-agennya seperti sebelum ini. Suatu yang mengecewakan jika Sejarah dimanupulasikan dengan virus-virus politik dan hanya mengambil ketokohan pemimpin-pemimpin tertentu.


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:


“Dan (Katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu); apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaannya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”


Surah Ash-Syura: ayat 10)


Renungkanlah…


Apakah segala permasalahan sosial hari ini, jawapannya kita benar-benar buta sejarah atau kita sebenarnya lebih memerlukan agama. Jari-jari hanya mampu bersatu apabila kita mempunyai tapak tangan yang kuat.



Jangan Salahkan Kegelapan, Carilah Cahaya

2 Comentários:

Unknown said...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته]

Sememangnya perlu dilakukan sesuatu pada dasar pendidikan kita, terutamanya terhadap kefahaman Al-quran. bukan sekadar celik Al-Quran akan tetapi perlu pelajar memahami Al-Quran. kerana hari ini generasi kita seakan terpaksa berlakon untuk menjadi Islam.

Ibnurashidi said...

Apakah relevennya sains dan mate dalam bahasa inggeris?sudah berkesankah?sudah ramaikah pakar bahasa inggeris wujud skrg?

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO