Thursday, November 13, 2008

RE-ENGINEERING DAKWAH METHOD (1)


Bismillah saya bermula di hujung


Usai balik dari Midvalley, saya ‘all out’ ke usrah cawangan. Setiap kali ke usrah cawangan, saya pasti akan terkena syndrome ‘cakap tak serupa kena’ memandangkan ahli usrah adalah di kalangan makcik-makcik yang berumur 20 hingga 30 tahun lebih tua daripada saya. Tetapi seronok juga sebab rasa diri sentiasa muda.


“Ok, saya rasa sebelum kita pergi lebih jauh lagi untuk berbincang hari ini, cuba kita perhatikan tentang isu-isu yang berlaku sama ada di peringkat global, negara dan tempatan iaitu di cawangan kita sendiri.” selesai saya memulakan usrah petang itu.


“Ha, apa dia, Global. Global tu ape?”, terpancul soalan daripada mulut makcik Aishah.


Ah, sudah. Inilah dia syndrome ‘cakap tak serupa kena’. Saya terlupa bahawa saya berusrah dengan makcik-makcik yang kurang biasa dengan istilah-istilah sebegitu. Memang teragak-agak hendak menutur percakapan, semuanya perlu dikawal baik dari segi cara percakapan, cara penyampaian, perkataan yang digunakan dan topik perbincangan. Environment bekerja dengan nisa’ kadang-kadang terbawa-bawa apabila berurusan dengan orang berusia. Nasib baiklah tiada antara makcik-makcik ini bakal mentua saya. Kalau ada, pasti saya akan menjadi ‘perempuan melayu terakhir’.


“Oh, global ke?
Ha, selalu jugak tengok kat Astro Oasis tu rancangan Arena Global, global-global jugakla dia sebut. Makcik Minah menyampuk. Arena Global hanya sebuah rancangan temubual artis nasyid dan bukannya global yang dimaksudkan oleh saya.


“Takpelah, kita tinggalkan cerita tentang global, kita bincang apakah isu-isu masyarakat di cawangan ini dan cara-cara untuk kita menyampaikan dakwah kepada mereka”. Idea saya untuk tidak memanjangkan usrah kerana ‘Global’.


Sepanjang usrah, kami mencari pelbagai alternatif untuk melakukan perubahan terhadap metodologi dakwah kepada masyarakat setempat. Fokus utama kami adalah kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang fardu ain dan fardu kifayah.
Kami mula mengakui sikap kebanyakan masyarakat yang beribadah ikut-ikutan dan tanpa ilmu. Ibadat yang sudah menjadi adat, ‘cukup sekadar buat’ dan ‘buat cukup-cukup’ sahaja.


Apakah re-engineering cara penyampaian dakwah yang efektif dan efisyen kepada masyarakat yang jahil tamadun dan sikap? Bagaimana metodologi kita menghadapi masyarakat yang ‘mulut sahaja bergerak’ tapi ‘telinga tidak mahu mendengar’? Doktor sudah berikan ubat, mereka yang sakit buat-buat terima, bila sampai dirumah ubat tidak ditelan. Hasilnya, penyakit masyarakat bertambah kronik.


Umat Islam masa kini sebenarnya tidak memerlukan pembaharuan dari segi prinsip (akidah), hukum hakam (kecuali dalam perkara-perkara baru) dan sistem nilai (akhlak). Sebahagiannya sudah mutlak dan mantap. Apa yang diperlukan ialah ‘pembaharuan’ dalam kaedah penyampaian dakwah agar lebih menarik, interaktif, kreatif untuk mudah difahami, dihayati dan ditegakkan dalam hidup sehari-hari. Kita tidak menghadapi banyak masalah dalam soal ‘content’ tetapi cabaran sebenar ialah soal ‘container’. Islam adalah ‘content’ dan kita sebagai pendakwah adalah ‘container’.
Soalan saya, siapakah yang anda akan lihat di cermin?


Saya tidak berminat menulis panjang tetapi banyak yang ingin dikongsi. Jumpa lagi saya, ustazah-engineer pada sambungan entri ini akan datang.
Dengan ucapan ‘BISMILLAH’ saya mulakan pencarian idea dan menulis untuk ‘RE-ENGINEERING DAKWAH METHOD (2)’.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO