Monday, December 15, 2008

CGPA BUKAN PENENTU KEJAYAAN

”Ish, takutnya nak tunggu result minggu depan”, kata adik saya menyatakan kerisauannya terhadap keputusan final exam semester lepas. Sekarang memang masanya, kebanyakan student U menanti-nanti keputusan exam dengan harapan yang menggunung tinggi.


Kegundahan menanti keputusan peperiksaan sememangnya dirasai oleh semua mahasiswa. Kadang-kadang yang lebih cemerlang akademiknya lebih rungsing daripada yang kurang cemerlang. Yang bijak rungsing takut-takut keputusan tidak memenuhi harapan, yang kurang cerdik ’cool’ sahaja, mungkin beranggapan cukuplah sekadar cukup-cukup makan. Dulunya semasa bergelar mahasiswa, saya juga rungsing cuma belajar berlagak tenang.


Mentaliti kebanyakan mahasiswa telah dikemuncupkan dengan ’mind setting’ yang pesimis tentang kecemerlangan. Bagi mereka kecemerlangan itu ialah duduk terperap di dalam bilik, belajar dan belajar, jawab peperiksaan, dapat CGPA sekurang-kurangnya 3.5 dan tamat pengajian dengan Ijazah kelas pertama. Mereka adalah golongan yang hanya mengangkat topi kepada mahasiswa yang berjaya menggapai kejayaan seperti itu. Tabiat pemikiran mereka bukan berada pada litar ’single track mind’- menjangkaui disiplin ilmu yang lain.


Sebaliknya, bagi pelajar yang tidak memenuhi sasaran kecemerlangan berdasarkan CGPA yang tinggi tetapi memiliki kemahiran dan kecenderungan tertentu telah dikesampingkan. Golongan ini bukannya kurang cerdik cuma kurang CGPA. Ketika ini timbul pandangan serong, ”itulah, aktif sangat berpersatuan sehingga akademik terabai”. Malah, aktivis persatuan ini dikatakan telah melakukan ’jenayah akademik’di mana penglibatan dalam organisasi sudah menjadi fitnah kerana akademik yang merudum.


Bukan mereka tidak berusaha tetapi sudah usaha, cuma keterbatasan dan kemampuan tertentu untuk meletakkan akademik sebagai subjek utama dalam kehidupan kemahasiswaan. Saya tabik golongan sebegini. Agenda hidupnya bukan setakat belajar tetapi cuba mencapai disiplin ilmu yang lain. Dengan pengalaman dan gerak kerja organisasi, golongan ini lahir dengan kecerdasan yang sangat seimbang. Baik dari segi Kecerdasan Intelektual (Intelectual Quotient - IQ), Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient - EQ) dan Kecerdasan Spiritual (Spiritual Quotient - SQ) . Lebih-lebih lagi mereka yang menyatukan diri dengan sebuah organisasi Islam yang sudah tentu menerapkan elemen-elemen ‘multidisciplinary’ dalam setiap kegiatannya.


Adakah anda ingin menjadi golongan dengan kerjaya bergaji besar, setelah penat bekerja lalu tidur, lapar cari makan, balik kampung bila rindu mak ayah, kahwin beranak pinak, sakit masuk hospital dan bila tua menunggu ajal? Atau menjadi golongan yang seimbang IQ, EQ dan SQ dan dengan keseimbangan itu, anda menyumbang sesuatu buat pembangunan masyarakat sekitar?


Mahasiswa atau penuntut yang pintar di sekolah (yang mempunyai keputusan peperiksaan dan CGPA yang bagus) belum tentu menjadi orang yang berjaya di dalam masyarakat. Dalam erti kata yang lain, kejayaan dalam hidup tidak hanya ditentukan oleh keputusan peperiksaan atau CGPA seseorang. CGPA hanya satu format penilaian kepada pelajar terhadap markah peperiksaan dan kerja kursus yang tidak mengambil kira sama ada pelajar itu betul-betul belajar, terpaksa belajar atau belajar untuk ambil peperiksaan semata-mata. Maka tidak mustahil, ada di kalangan mereka yang membawa ‘toyol’ ke medan peperiksaan, menyalin assingment teman sekuliah, belajar bersama kekasih di kafeteria dan meninggalkan solat Subuh kerana tidak cukup tidur, turut mendapat CGPA yang tinggi. Adakah mereka di kalangan yang berjaya dalam hidup?


Ketulusan, integriti, tanpa maksud atau tujuan tertentu, rendah hati, rasa hidup bertuhan dan kecenderungan dalam kebajikan sosial adalah beberapa perkara penting dalam kehidupan spiritual yang memberi kepuasan menyeluruh apabila seseorang itu menemui kejayaan, malah kebahagiaan.


Namun jangan salah anggap. Saya tidak bermaksud anda tidak perlu berusaha untuk mendapat CGPA yang baik. Cuma jika anda berjaya mengejar banyak tuntutan dalam hidup terutama aktiviti spiritual, anda akan temui suatu cahaya yang menerangi lorong-lorong hidup anda yang semakin gelap.


Menurut Daniel Goleman iaitu seorang ahli psikologi, Kecerdasan Intelektual (IQ) hanya menyumbang lebih kurang 5 hingga 10 peratus kejayaan hidup. Selebihnya adalah gabungan beberapa faktor lain, yang salah satunya adalah kecerdasan emosi. Menurut Paul Stoltz pula, IQ adalah sebahagian kecil daripada pohon kejayaan dalam segala hal. Stoltz yang menulis buku terkenal, Adversity Quotient (Gramedia, 2000), mengatakan, usaha, bakat dan kemahuan, sifat, kesihatan kecerdasan, faktor genetik, pendidikan, dan keyakinan adalah kunci kejayaan manusia.


Kecerdasan boleh bersifat kontekstual. Masalah yang dihadapi ataupun keadaan, menjadi faktor penting ketika kecerdasan ditentukan atau dikenal pasti. Sebagai contoh, ketika seorang mengalami kerosakan kereta, siapakah yang lebih diperlukan? Seorang profesor ekonomi berkelulusan PhD luar negara atau seorang mekanik lulusan politeknik? Saya yakin, semuanya akan menjawab mekanik, walaupun dia hanya berkelulusan sijil politeknik. Maka, siapakah yang lebih bijak antara keduanya dalam hal ini? Kenyataan ini sekaligus menunjukkan kecerdasan bersifat konstektual.


Sebahagian yang lain lebih mengagumi Thomas Edison daripada peninju Muhammad Ali. Sebahagian yang lain pula mengagumi Albert Einstein daripada Mike Tyson. Ini tidak salah. Namun ia membuktikan kurangnya penghargaan kepada kemampuan lain yang dimiliki oleh setiap orang yang berlainan. Jika dinilai dari sudut IQnya, mungkin Thomas Edison dan Albert Einstein lebih pintar, tetapi dari sudut kecerdasan kinestatik Muhammad Ali dan Mike Tyson lebih hebat.


Anda juga punyai kelebihan dan kecenderungan tertentu. Cari, gali dan bangunkan keistimewaan yang anda miliki walaupun setakat mahir menggubah bunga atau melukis kartun. Tidak mustahil bunga yang anda gubah memikat hati manusia lantas mengagungkan kebesaran Allah dan kartun yang anda lakar berguna sebagai medium dakwah menyedarkan manusia.


Kekuatan terbesar bukan terletak pada bahagian luar tubuh badan manusia, tetapi ada pada diri manusia itu sendiri. Masalahnya, manusia kurang mengenal dirinya. Betul apa yang dikatakan oleh Socrates apabila dia mengatakan masalah utama manusia adalah pengenalan diri. ”Gnothi Teauton,” kata Scorates yang bermaksud ”Kenalilah diri anda sendiri!”.


Alangkah ruginya mereka yang merendah diri kerana tidak berpelajaran tinggi, rugi lagi yang meninggi diri dengan kerjaya dan jawatan tetapi tidak memahami tujuan sebenar kehidupan. Anda beruntung jika berada dalam kelompok ketiga ini. Iaitu mengenalpasti kemahiran dan kecenderungan diri lalu bangunkan ia atas nama Islam. Kenal diri, anda akan temui sesuatu yang membanggakan!


Anda pandai melukis? Apa kata anda bangunkan kemahiran itu atas nama Islam. Lihat seperti lukisan di atas.


7 Comentários:

Unknown said...

Salam ustazah,
KakChik setuju CGPA bukan penentu kejayaan bagi seorang yang Muslim. Tetapi sebagai seorang Islam yang bekerja untuk gerakan Islam, adalah sangat baik kalau kita mendapat CGPA melebihi 3.5 dan seimbang IQ, EQ dan SQ kita.

Ramai antara kita yang aktif dalam gerakan, lemah akademik. Mungkin kita merasa seronok melaksanakan kerja gerakan yang menepati kehendak hati dan kefahaman kita, maka kerja gerakan kita bagus, tapi susah dalam akademik kerana kadang-kadang kita tak 'enjoy' dalam apa yang kita pelajari.

Pengalaman KakChik sendiri, semasa di USM dulu, pencapaian akademik sekadar purata 2.6 sahaja sedangkan tumpuan kepada akademik & aktiviti persatuan kampus & jemaah adalah sama naik. Sekarang KakChik belajar lagi di OUM (sambil bekerja)dan CGPA boleh dikekalkan dari sem 1 hingga sem 6 lebih 3.8 (untuk contoh ya).

Bila KakChik fikirkan kenapa dulu tak blh setinggi ini, KakChik nampak perbezaannya. Dulu emosi byk lagi tak stabil, skrg rasanya sangat stabil, w/pn sibuk, otak & hati lebih mudah menyerap & memahami apa yg dipelajari @ dibaca. Dulu, buat kerja jemaah @ persatuan byk tekanan & kebimbangan, kadang-kadang tidak mahir merancang, menyebabkan mesyuarat terbawa-bawa ke pukul 1-2 pagi (lebih canggih berbanding di alam masyarakat kini). Sekarang, walaupun jadual harian padat, KakChik lebih pandai menyusun dan merancang pelan kerja & belajar kerana sedar diri ada banyak tanggungjawab dan kita pun sudah banyak lalui kursus pengurusan masa, wang dll, buku pun dah byk baca, fikiran pun lebih matang.

Insya-Allah kestabilan 3 perkara Q yang ustazah sebut tu akan membolehkan otak kita lebih mudah menerima ilmu terutama jika kita pun aktif di dalam kelas @ kuliah.

Semoga para mahasiswa tidak mengambil mudah perkara ini dan cabarlah diri sendiri. Katakan, "aku ni faham Islam, faham keperluan bekerja untuk Islam dan aku jugak belajar, aku kena pastikan pelajaran aku lebih baik dari orang lain barulah bekerja untuk Islam itu dilihat tidak sia-sia & bagus."

Wallahua'lam.

Anonymous said...

pandangan kakchik sangat bagus dan tepat sekali!

walaubgmanapun, kita tidak boleh menjadikan satu kemestian setiap yang berada dlm gerakan dakwah mesti mendapat CGPA yang baik. kemungkinan ada ahli yang akan ada kelemahan dlm akademik dan kelemahan yang lainnya. dan ketika ini kita akn meyakini bahawa peranan jemaah adalah ibarat bangunan. Masing2 menguatkan antara satu sama lain. Ada yang jadi asas, ada yg jd tiang, ada yg jd bumbung.

Sememangnya kita mengharapkan kecemerlangan akademik pada setiap ahli gerakan dakwah, namun kita perlu juga terima bila harapan itu tidak tercapai dan tidak menyalahkan atau memandang negatif kepada mereka. Menerima mereka bermakna kita menerima manusia itu pasti ada kelebihan dan kelemahan tertentu. Ada yang baik IQnya, ada yg sederhana dan ada yang memang lembap.

Kadang2 yang malas belajar itulah yang paling rajin membuat gerak kerja dan tinggi pengorbanannya kepada jemaah. Manakala yang rajin belajar, mungkin itulah yang kena ditekan atau dipush untuk menyumbang sesuatu buat jemaah. Kita menerimanya...kerana dari situlah kita menampung kekurangan antara satu sama lain. Cantik bukan jemaah itu?

Walau apapun, seperti yg kakchik katakan - setiap orang semampu yang boleh cuba mencapai kejayaan dlm banyak perkara.

yang penting USAHA! hasilnya Tawakkal kepada Allah.

Allah menjadikan manusia ini pelbagai. Yang pandai membantu yang jahil. Yang kaya membantu yang miskin, yang gemuk membantu yang kurus, yang tua mendidik yang muda dan banyak lagi tamsilan yang lain.

Maka, haruslah kita berlapang dada bahawa tidak semua akan berjaya mencapai keputusan akademik yang baik. Namun, Allah telah menjanjikan setiap maklukNya ada bahagian rezeki tertentu. Yg penting USAHA.

Anonymous said...

CGPA itu adalah tiket untuk memenangi persepsi pelanggan. Pelanggan yang saya maksudkan di sini adalah majikan-majikan yang mengambil pelajar-pelajar Universiti/Kolej/Politeknik untuk bekerja.

Tetapi ada satu lagi yang perlu dihadirkan untuk memenangi pelanggan. Karisma! Karisma diri itu penting bagi menonjolkan siapa kita dibelakang CGPA kita.

Saya setuju dengan golongan yang terdesak untuk mengekalkan CGPA sehingga sanggup menggunakan cara menipu. Sifat inilah yang merosakkan diri mereka sendiri. Apakah yang menahan seseorang untuk jujur semasa kerjanya sedangkan semasa di Univ dahulu dia selalu tidak berlaku jujur.

Kecemerlangan di dalam akademik tidak menjamin kebahagian. Ada yang punya keluarga yang rosak, ada yang ditangkap kerana rasuah,jenayah dan macam-macam lagi...
Inilah sebahagian contoh orang pandai yang gagal.

Kesimpulannya tidak kisahlah kita mendapat CGPA bernombor apa. Kerana ianya cuma nombor. Asalkan kita tahu yang kita sudah kuat dan jujur dalam berusaha. Inilah yang kita akan bawa dalam membentuk karisma sebagai seorang pelajar.

Nurul Sharina said...

yg penting keberkatan.. well, syrkt oil & gas tmpt akak kerje pun tak pandang CGPA. CGPA tak penting, tinggi CGPA xbermakna boleh add value pada kerje (apatah lg utk Islam)

bayugunung said...

Slm..

saya juga, merasa begitu rugi yang teramat mengenangkan teman-teman yang mahu meniggalkan kampus hanya dengan satu matlamat iaitu CGPA semata-mata...

sentuhan yg baik ustzh..

Anonymous said...

Salam Ustazah,

Keseimbangan CGPA dan aktif dalam perjuangan itu penting, agar kita mampu menjadi insan contoh. Namun tidak ramai yang mampu memenuhi ciri-ciri tersebut.

Semasa menjadi pemimpin pelajar dulu saya selalu mengingatkan kawan-kawan agar kita sentiasa berada dalam kelompok terbaik dalam pelajaran, dan dalam masa yang sama aktif dalam perjuangan.

Alhamdulillah kami mampu mencapainya, di antara insan berjaya antara kami ialah Senator Mumtaz Mat Nawi dan beberapa orang lagi.Jadi jangan jadikan perjuangan sebagai alasan untuk lebih cemerlang. wassalam.

ahbodolahman said...

Wah, sangat baik sekali komen ustazah. Bagus sekali. Cuma sebagai seorang Islam, saya berharap kita lebih realistik dan tidak bersikap "houlier than thou". (Kita kena faham apa HTT ini dahulu.) Dan saya amat suka cara Islam menangani sesuatu dengan cara yang wajar dan amat realistik dari segi tangible dan intangible sesuatu.

Mencapai CGPA yang bagus bukannya satu kepuasan mutlak bagi saya. Terus terang saya akui, walaupun CGPA saya dahulu 3.76, bukannya angka CGPA melebihi 3.67 yang dikejar untuk menggapai Ijazah Kepujian Kelas Pertama. Paling merunsingkan, saya kurang berpuas hati dengan hasil-hasil kerja saya terutama dari segi tugasan yang kerap banyak kehilangan markah. Ini kerana, tugasan banyaknya di luar scope module yang dipelajari dan agak sukar saya menguasainya. Hanya kuiz dan final exam banyak membantu kerana banyak mengikut module pengajian. Bayangkan nanti bagaimana nak masuk alam pekerjaan pula yang mana saya menginginkan orang sekeliling saya dapat merasakan kepuasan hasil kerja saya terutama majikan.

Pada pengamatan saya, 98% pelajar yang tidak dapat CGPA yang tinggi ialah mereka cuma tidak mengendahkan dan tidak mengambil berat tentang pelajaran yang dipelajari sahaja. Sekiranya module atau buku pelajaran dibaca, dibuat latihan dan ditelaah, bukannya module tu tebal sangat. Setiap module juga hanya dapat dihabiskan dalam masa tidak sampai 2 minggu pun jika ada target dan jadual. Jangan kita hairan yer yang student kita, 98% tidak mempunyai jadual untuk belajar. Inilah antara sebab utama tidak dapat CGPA yang tinggi selain dari cukup malas bilamana diberikan tugasan. CGPA pada saya, bukannya ukuran kepandaian seseorang pelajar, ia cuma satu indikator biasa seperti SPM, STPM yang bertindak sebagi tiket untuk memasuki alam seterusnya. Sekiranya kita biasa sentiasa menerapkan kualiti (walaupun adakalanya turun naik) dan mempunyai jadual harian, sudah tentu anda akan bersetuju dengan pandangan saya terhadap CGPA.

Saya masih ingat lagi pesanan aruah ibu, yang banyak mengulang2 dan mengingatkan saya masa belajar dahulu. Antaranya:

1. Sembahyang jangan tinggal dan hormati guru. Malas atau rajin, ikhlas atau tidak, kena paksa diri sembahyang dan beribadat. Kalau nak tunggu keikhlasan dalam beribadah, susah nak dapat. Sbb syaitan tak pernah lekang dengan diri kita. Hatta esok nak kiamat sekalipun, keikhlasan sukar diperolehi. Nak beribadat, kenelah latih dan paksa diri untuk itu. Lagipun Allah tak inginkan sedikitpun ibadat dari kita, sbb ianya tidak memberi apa2 keuntungan kepada Dia.

2. Pergi sana (U) dan belajar. Bukannya kami suruh pergi kerja angkat batu-bata atau suruh buat bangunan, cuma suruh pergi baca buku dan belajar sahaja, buat jadual. Tanpa perancang jadual, buat jadual dan ikut jadual, memang kita merancang untuk menyusahkan masa depan kita.

3. Duit jangan risau, walaupun kita tak kaya, kami (ibu bapa) akan usahakan.

4. Ko-kurikulum pun, ikut yang mana perlu. Ini tidak akan membantu langsung untuk kekal cemerlang dalam pelajaran. Lebihkan pelajaran, kita tak mampu buat kerja multi-tasking untuk jangkamasa yang lama. (Jangan ikut kata Menteri..bla..bla..)

5. Sijil-sijil ko-kurikulum dan berpesatuan tidak mampu menaikkan taraf dan harga diri kita. Ini adalah Malaysia, masih negara dunia ketiga lagi. Lambat lagi nak capai status negara maju. Mentaliti 2020 itu adalah metos. Bagilah apa 3-4 juta tahun pun...Tiada gunanya membuang masa untuk itu.

6. Usahalah 3-7 tahun (merujuk tahun2 genting pembelajaran SPM hingga tamat Universiti), senang 30-50 tahun. Malas 3-7 tahun, sengsara 30-50 tahun. Pilih mana satu.

7. Mahirkan semua apa yang dipelajari. Jika tak mampu, hafal sajalah. Jangan berlagak macam orang pandai.

8. Daftarkan subjek2 yang diambil untuk keseluruhan pengajian atas kertas, Ini kena rujuk senior dan PA (Academic Advisor). Jadualkan setiap score exam dan potential aggregate. Baru boleh dapat target CGPA. Otak kita tak mampu ingat apa yang kita target untuk tempoh masa yang lama.
9. Rajin tangga kejayaan. Rata2 pelajar Cina bukannya pandai sangat. Tapi mereka tersangat rajin belajar. Kalau pandai tapi tak rajin, takkan kemana jugak. Kalau tak pandai, tapi rajin, insyaAlah Allah akan bantu. (Jangan tanya saya, rajin tu macam mana yer.)

Memang ada kelemahan dalam nasihat tersebut. Sbb ianya nasihat dari seorang manusia yang lemah. Namun ianya realistik kan?

YOUMUSTTHINK? Yes we must think well about it. Surefire, that's that.

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO