NGOMEL TIRAI 2008
Tahun 2008 bakal melabuh tirai. Tirai baru berganti setiap tahun, tetapi kita tetap kusut dan serabut.
Pemimpin negara kusut dan serabut dengan permasalahan politik tidak sudah-sudah.
Rakyat turut bergeleng kepala melihat pemerintah. Mereka berkuasa dengan nafsu, bukan dengan jiwa. Masakan rakyat tidak naik berang. Minyak turun lagi sepuluh sen, namun itu bukan penawarnya yang dapat mengubati hati rakyat. Hati rakyat sudah terkena bisa dari patukan pemimpin, patukan seekor ‘ular di dalam semak’!. Ah, pemimpinku ular? Tidak!! Tapi yang pastinya, mereka ibarat ‘anjing menyalak bukit’.
Graduan menyatakan gundah, “Sampai bila kami harus menjadi penganggur?” Adakah salah kerajaan yang gagal memberi peluang pekerjaan? Atau graduan kita yang semakin malas. Gaji nak tinggi, kerja berkira. Persaingan kerjaya semakin tinggi, mereka juga hendak jawatan yang tinggi. Sehingga mereka lupa, hidup ini ibarat jongkang-jongket.
Kasihan pelajar kita. Pengajaran & Pembelajaran Sains & Math dalam BI (PPSMI) ternyata gagal. Tahun 2008 adalah tahun kelima pelaksanaan PPSMI, tahun penentu sama ada ia harus diteruskan atau tidak. Keputusan tidak akan berpihak kepada rakyat, jika kementerian membuat rundingan meja bulat, tetapi tidak bulat. PPSMI menyesakkan dada para pecinta bahasa. Guru-guru terbeban di kepala. Ibu bapa mengangkat bahu tak kata apa. Murid-murid semakin terpinga-pinga. Di manakah bahasa kita? Dalam keranda!.
Saya kasihan juga dengan ibu saya. Semuanya serba tidak cukup. Ibu membeli barang rumah, perlu berpada-pada. Ayah pula berhempas pulas bekerja, adik mengeluh sewa rumah mahal sekali. Saya pula bersungut tambang bas naik lagi. Nak beli kereta, minyak tinggi. Nak beli itu dan ini, menggaru dahi. Oh, ekonomi….
Ekonomi runtuh. Tanah runtuh. Manusia juga mengalami keruntuhan. Runtuh sosial dan budaya. Runtuh agama. Segalanya yang di atas asalnya, sudah jatuh ke bawah. Segalanya yang tinggi asalnya, mula mengakui kekerdilan diri. Manusia yang masih ego.Tanah yang tinggi sudah menyembah bumi, tetapi manusia masih ingkar untuk menyembah Allah dengan sebenar-benarnya. Malulah dengan tanah yang runtuh…ia patuh.
2 Comentários:
PPSMI seolah-olah memperjudikan nasib bangsa malaysia. Bukan sahaja melayu, tetapi bangsa cina kampung, india estet, orang asli mahupun bangsa di sabah dan sarawak.
Tetapi kalau kita berada di pihak yang bersabar. Mungkin Allah akan menukarkan kerugian menjadi keuntungan. Allah lebih hebat dalam mengalahkan makar manusia.
Kita perlu bersabar...MS Rizal benar.
Jika pemansuhan PPSMI itu merupakan siasah yang lebih mempercepatkan kemenangan Islam itu..itu lebih benar.
Namun, apa jua perancangan manusia,
Allah lebih benar.
Post a Comment