Tuesday, January 6, 2009

REZEKI PENDAKWAH: MEMBERI BUKAN SAHAJA MENERIMA

Keluangan masa mengejar deadline yang ditujah tekanan minda dan emosi mendorong saya kembali menulis diblog ni. Hendak diikutkan kekangan, sememangnya tiada masa percuma untuk menyuguhkan seni menulis blog buat masa ini. Saya kelusuh apabila bahan untuk ruangan topik masih di awangan email yang belum dibalas. Namun, ada yang kata blog tempat meluah rasa, saya percaya dan kerana itu saya menulis.






Selepas melabuhkan punggung di tempat duduk bas tempoh hari, saya mahu belajar menjadi orang Jepun yang rajin membaca. Walau di mana sahaja, mereka pasti membaca. Saya kepingin menjadi orang Jepun sekejap, lantas saya membuka majalah Solusi – membaca. Tertarik pada ruangan kata dua – Rezeki yang Cukup vs Rezeki yang Tidak Cukup-cukup.


“Katalah, kita memiliki wang lima puluh ringgit. Tiba-tiba seorang yang sangat memerlukan pertolongan datang memohon bantuan. Terkesan dengan kesusahannya, kita menghulurkan bantuan. Kita hulurkan separuh wang yang ada kepadanya – dua puluh lima ringgit.”


“Maka yang tinggal buat kita ialah bakinya dua puluh lima ringgit. Dengan itu, apakah wang kita bertambah atau berkurang?. Tentu sahaja jawapan kita ialah berkurang. Jumlah wang kita telah susut dua puluh lima ringgit.”


“Itulah jawapan kita. Tetapi bukan itu ‘jawapan’ Allah. Bagi Allah, sekiranya hati kita ikhlas membantu, wang kita tidak akan berkurang, malah semakin bertambah.”


“Dilihat dengan pandangan biasa, memang wang kita menyusut, tetapi pada pendangan mata hati, wang kita sebenarnya telah bertambah. Bertambah bukan setakat sekali, dua kali atau tiga kali ganda, bahkan tujuh ratus kali ganda. Jika dinisbahkan secara matematik wang RM 25 kita telah ‘bertambah’ menjadi RM 17,500!”


Saya menoktahkan seketika bacaan saya selesai perenggan ini. Hanya kerana RM 25, kita menjadi kaya serta merta!. Alangkah ruginya mereka yang lokek menyumbang kerana kedekut perilaku. Inikan pula menyumbang untuk membangunkan masyarakat Islam yang kian jengkel tamadun sikap tanpa peradaban. Dalam erti kata lain – menyumbang sebagai pembantu jamaah Islam dan gerakan dakwah, menyelamatkan seantero dunia Islam yang semakin tersepit ini.


Serasa rusuh hati kita. Porak peranda sudah dunia, entah bila Tuhan akan mendatangkan kita cahaya itu, sedangkan kita kikir memberi apa yang kita ada.


Perhatikan benar-benar maksud firman Allah ini:

“Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya.” (Surah Al-Baqarah: 261).”


Rezeki pendakwah ialah apa yang diberi.

Jika anda rasakan dibahu anda tersemat sayap pejuang agama-Nya, maka tiada kekhuatiran anda terhadap peribahasa ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan.


Sayidina Ali pernah mengungkapkan: “Harta yang menjadi milik kamu yang sebenar ialah harta yang kamu belanjakan ke jalan Allah.”


Saya menyambung menjadi orang Jepun kembali. Meneruskan pembacaan artikel itu sehingga pada satu perenggan yang melatari keterujaan saya terhadap sifat pendakwah yang sentiasa memberi.


“Justeru, boleh dikatakan bahawa rezeki itu bukanlah sesuatu yang kita terima, sebaliknya apa yang kita berikan. Semakin kita berikan, rezeki (boleh jadi dalam bentuk harta, ilmu, masa, tenaga) akan semakin ‘bertambah’ apabila dibelanjakan di jalan Allah. Rezeki yang kita simpan hakikatnya belum tentu kepunyaan kita. Mati boleh datang tiba-tiba. Sebaik kematian datang, rezeki kita sudah bertukar tangan – menjadi pusaka, warisan setelah difaraidkan.”


Alhamdulillah, hati saya semakin lapang setelah membacanya. Saya bukanlah pekerja yang bergaji besar. Pada pandangan setengah orang, pendapatan yang diterima tidak setimpal dengan kelulusan Ijazah yang dimiliki. Saya boleh memohon pekerjaan lain jika saya mahukan wang setebal buku di dalam dompet. Apa yang menggugahkan saya untuk terus diposisi biasa-biasa saja, tanpa jawatan yang diidam-idamkan, tanpa pendapatan yang lumayan, berkhidmat di sebuah syarikat besar, bekerja siang malam dan hujung bulan mengeluarkan wang di bank untuk pergi bercuti?


Minda saya kembali mengingati suatu memori berjuang saya semasa tamat diploma sedikit masa dulu. Sewaktu itu, saya begitu betah menganjurkan program remaja di kawasan saya. Hati kecil saya cukup terasing tanpa melakukan apa-apa. Hanya melihat anak dara sekampung bertelanjang tidak cukup kain, berasmara di tepian jalan, ada yang jadi ‘monyet’ bergayut menelefon teman lelakinya, merempit barangkali juga ada. Ada yang tanpa segan silu merapatkan buah dadanya di belakang ‘boyfriend’ sewaktu bermotor. Rambut mereka juga cantik, tiada yang bewarna hitam. Malah, dikhabarkan anak jiran terdekat menjadi pembunuh!.


Bak kata pepatah melayu lama; ‘Dari jauh orang angkat telunjuk, bila dekat orang angkat mata’.


Pendapatan kerja yang saya terima, saya asingkan sedikit sebagai peruntukan program. Secara sukarela dengan sokongan sahabat, saya memulakan langkah merencana sesuatu buat mereka. Penat dan payah. Namun, gusar hati lebih menebal tanpa melakukan apa-apa. Pernah suatu ketika, gaji saya yang baru diperolehi dibelanjakan keseluruhannya kerana lewat menerima peruntukan program. Ketetapan hati dan keyakinan kepada Allah, cukup sekadar peninggalan harta yang paling mahal dengan wang kosong di bank.


Adakah pengorbanan ini boleh disama tarakan dengan ucapan Abu Bakar ‘cukuplah aku meninggalkan Allah dan Rasul’ bila ditanya Rasulullah ‘apakah yang kamu tinggalkan buat keluargamu setelah semua harta kamu diinfakkan ke jalan jihad?’. Sungguh kita tidak mampu mencapai iman setinggi Abu Bakar. Hendak mengeluarkan wang RM 25 pun sudah keluh-kesah.


Saya yakin dengan keberkatan rezeki dengan sifat sentiasa memberi. Alhamdulillah, dengan rezeki yang cukup-cukup itu, saya boleh membiyai wang pengajian sewaktu menyambung Ijazah. Saya pun tidak tahu mana datangnya rezeki itu. Gaji banyak dibelanjakan untuk melaksanakan program, tetapi jalannya terasa mudah, terasa rezeki datang mencurah-curah. Mana datangnya rezeki itu?


Sedikit yang mengingatkan lebih baik daripada banyak yang melalaikan. Mensyukuri sedikit nikmat mengundang limpahan berkat. Besar kemungkinan keberkatan rezeki yang sedikit itu, menjadikan rezeki itu cukup bukan rezeki tidak cukup-cukup.


Rezeki orang mukmin yang menyerahkan harta, masa & tenaganya untuk Islam sentiasa cukup. Tengok, pergi usrah pun dapat makan. Yang banyak diberi, yang sedikit dikongsi.


Yakinlah dengan Berkat Dhuha dan Al-Waqiah.

Bicara YM bersama seorang sahabat tempoh hari ditundakan sebentar.


“Maaf, ana mohon berundur sekejap. Ana belum solat dhuha”, lebih kurang bicara sahabat itu.


Saya amat mengkagumi mereka yang boleh istiqamah dengan Solat Dhuha. Disitulah pintu rezeki yang berkat dibuka seluas-luasnya oleh Al-Razzak (Maha Pemberi Rezeki) dan Al-Wahhab (Maha Pemberi). Yakinilah Dhuha dan Al-Waqiah sebagai duta penyelamat kemiskinan dan kepapaan seperti yang disabdakan Rasulullah.


“Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah, tidak akan menjadi miskin selama-lamanya.”


Ingat lagi ketika saya bekerja selesai tamat degree. Suatu yang membetahkan saya bekerja apabila majikan kami telah mewajibkan kakitangan melakukan Solat Dhuha dan Al-Waqiah yang dijadikan salah satu peraturan syarikat. Ternyata, rezeki syarikat mencurah-curah dan projek yang tidak putus-putus. Walau dihambat nuansa ekonomi yang menjuman, kami masih lapang dada dan mudah urusannya.


Tiada kata lain melainkan ucapan syukur saya kepada Allah yang sentiasa memelihara kerja buat saya sehingga hari ini. Allah pengatur hidup saya walau adakalanya sesuatu itu berlaku di luar jangkaan dan tidak disukai.


Allah ‘planner’ terbaik kita agar setiap yang lahir dari tingkah laku menjadi kebaikan yang mengundang takwa. Bukan baik pada lahirnya sahaja tetapi tidak ada nilaian takwa di sisi Allah. Maka, untuk mengharapkan yang baik-baik, kita perlu menjadi baik!.


Semoga yang dinukilkan kali ini bukan berniat untuk mendabik dada dengan setiap kelebihan. Saya menceritakan perihal diri saya, sama seperti saya menceritakan nikmat yang diganjari Allah kepada saya. Harapnya Allah menetapkan telapak kaki kita di landasan mendaulatkan agama-Nya untuk melihat Islam kembali di pandang tinggi. Yakinilah dengan Allah, Pemberi Rezeki.


5 Comentários:

Nur said...

Benar sekali ya ukhti,

Pernah saya di Makkah, suatu malam satu keluarga pakistan dtg merayu2 memohon wang, menjual cerita tentang dirinya yang terstrandad di makkah, ayahnya akan menghantar wang 2-3 hari lagi, tetapi untuk malam tersebut, tiada tempat tinggal dan baby menangis. Dan sahabat2 lain meninggalkan rayuan tersebut, malah mencegah saya dari memberi, ditakuti mereka itu menipu. Tapi saya, saya tidak pernah berfikir orang yang meminta2 itu menipu, kerana bagi saya, cukup sukar mahu mengemis, menjual muka, benarkah yang meminta itu mahu merendah kan ego dan menipu?

dan segala wang yang saya ada, saya berikan pada mereka.

sama jua disini, sahabat2 saya memang melarang saya memberi uwang kepada wanita2 bosnia/gypsy yang meminta2 sedekah, kerana mereka berpendapat sebenarnya mereka lebih kaya dari kami! MasyaAllah, saya cukup benci dengan pendapat sebegini.

Well done ya ukhti, doakan saya disini istiqamah, musim sejuk ini benar2 mencabar iman saya.

lelucon said...

hmmm... (merenung diri sendiri pula) ... terima kasih kerana mengingatkan :)

Anonymous said...

Betul tu sahabat

Kita lebih suka meminta daripada memberi.

kenapa kita perlu meminta? sebab kita ada keperluan dan kehendak tetapi kita tidak mampu memenuhinya. Maka kita pun mengharapkan bantuan orang lain.

begitulah org lain. Mereka juga meminta kerana mereka perlu meminta. Tetapi kenapa ya, kita jarang2 meletakkan diri org lain yg meminta itu seperti diri kita juga yg perlu meminta?

Skrg adlh masanya untuk kita jadi golongan yg memberi. Rakyat Palestin memerlukannya, mari kita sama membantu mereka semampu yg boleh.

Ustaz Hanafi said...

komentar yang diberi sungguh bagus dan bernas...namun jangan kita lupa,tugas sebagai seorang pendakwah tak terhenti dari hanya menyampaikan mesej semata2 kepada pendengar dan pembaca,namun juga dengan mendoakan kepada mereka semoga kita semua mendapat taufiq dan hidayah dari ALLAH..itu yang menjadi kesilapan besar kepada kebanyakkan pendakwah hari ini...hanya tahu memberitahu kepada orang,tapi dalam masa yang sama lupa utk mendoakan kepada orang yang mereka dakwahkan itu dengan taufiq dan hidayah...lupakah kita kerana hidayah dari ALLAH lah maka orang2 yang mendengar dakwah itu mendapat petunjuk...lupakah kita kerana taufiq dari ALLAH lah maka orang2 yang menerima dakwah itu dapat melakukan amal kebaikan....tapi sayang kita selalu menyatakan kepada orang2 ttg keburukan diri mereka dan bermacam2 lagi kerendahan pada mereka....tapi kita.....????? bagaimana....????

Anonymous said...

Benar Ustaz Hanafi

Hati itu milik Allah. Setiap perubahan yg diharapkan tidak terkesan tanpa hidayah dan taufik daripada Allah. Hidayah perlu ada bersamanya Taufik. Ada yg diberi hidayah utk berubah, tapi tanpa taufik kemungkinan perubahan hanya dipertengahan jalan.

Waallahu 'alam.

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO