Friday, January 23, 2009

MEMUNTAHKAN MASALAH YANG MENGOTORKAN PERSEPSI...SAYA STRESS

Hari ini hari terakhir untuk melangsaikan gerak kerja program Klinik Solat Remaja. Esok program bermula dan saya bakal bergelar doktor. Saya hampir hendak pitam ketika keluar ke Pertama Kompleks tengah hari tadi. Tiada apa yang ingin dicari, sekadar mencari ketenangan diri di sebalik minda yang kusut dan kabut ini. Sebenarnya saya mahu rehat daripada berfikir masalah kerja dan program. Kemungkinan itu bukan cara terbaik mengurangkan stress, tapi saya sedikit lega sejak pulang dari keluar tadi.


Kenapa saya harus memilih sibuk, sekiranya sibuk itu menjadikan saya semakin berat kepala?. Sepanjang minggu ini selera makan saya berkurang. Mandi tak basah, tidur pun tak lena. Kerunsingan menjemput satu-satu perkara menjadi masalah. Asalnya bukan masalah, tetapi menjadi masalah kerana tiada jalan penyelesaian dengan ketenangan.


Ketenangan bisa menarik apa jua perkara yang susah menjadi senang. Namun sebaliknya, kerunsingan menarik apa jua yang senang menjadi susah. Susah, senang, susah, senang, susah, senang. Itulah perkataan yang saya zikirkan hampir setiap hari. Akhirnya zikir menjadi fikir. Manusia bertindak mengikut apa yang difikir. Saya turut tidak terkecuali.


Sepanjang 6 tahun berjuang di alam kampus, saya tidak pernah merasai stress seperti ini. Sekalipun jadual harian saya padat dengan program, usrah dan meeting, saya hadapinya sebagai cabaran bukan masalah. Kesibukan itu menjadi perkara yang paling disukai dalam hidup. Terasa hidup sarat dengan makna apabila sibuk itu berkunjung tiba. Memaknakan setiap inci masa yang ada demi memaknakan hidup.


Sebaliknya saya rasai kini. Saya mencari di mana kesilapan saya hingga stress itu kadangkala gagal dengan kawalan iman. Keletihan fizikal dan kelesuan minda turut membawa kelesuan spiritual itu sekali.


Emosi. Ya, emosi. Streng emosi saya gagal dikawal dalam pemanduan kali ini. Seolah memandu dengan pecutan laju tapi peraturan jalan raya tidak dipatuhi semata-mata ingin sampai cepat ke destinasi. Maaf, andai saya tidak mampu memberi ‘sentuhan’ jujur kepada kalian di sekeliling saya. Maaf sekali lagi jika saya menjadi pemandu kehidupan yang kurang bersopan hanya kerana sebuah emosi yang berkehendakkan perhatian.


Saya menjumpai sesuatu di fikiran setelah menghitung-hitung diri semenjak semalam. Kemungkinan stress itu berpunca daripada tuntutan tanggungjawab apabila tinggal bersama keluarga. Di kampus membujang, hidup seperti orang bujang. Hanya fikirkan diri sendiri dan tuntutan tanggungjawab ‘saya’ dan ‘ini’. Apabila sudah mula tinggal bersama ibu dan ayah, keperluan dan hati nurani mereka juga perlu dilayan. Tanggungjawab ‘saya’ dan ‘ini’ bertukar menjadi tanggungjawab ‘kita’ dan ‘kami’.


Tanggungjawab terhadap keluarga bukan suatu masalah sebenarnya. Ia tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua. Meskipun begitu, jika tanggungjawab itu ditambah dengan taklifan sebagai ‘aktivis masyarakat’, ia bukan tanggungjawab mudah. Perlu fikir layanan kepada diri, ‘sentuhan’ jujur pada ibu bapa, kemesraan pada ahli keluarga, perhatian pada kerjaya dan sebahagian masa lagi untuk kehendak kemasyarakatan. Semua kehendak itu menjadikan saya tersedak-sedak dan memuntahkan setiap perkara sebagai masalah yang mengotorkan persepsi diri.


Saya ingin mencari makna dalam hidup. Sesungguhnya hidup saya bukan ada saya seorang. Bukan ‘saya’ dan ‘ini’ tetapi ‘kita’ dan ‘kami’. Dalam memurnikan kehidupan ‘kita’ dan ‘kami’, pengorbanan dan mujahadah perlu tinggi. Lupakan segalanya sebagai masalah tetapi kembali menanggapinya sebagai cabaran dan peluang. Cabaran mencorak kematangan fikiran, peluang menggarap revolusi diri. Dengan ada kedua-duanya, kita bakal menjadi manusia unggul yang sentiasa dibicarakan Tuhan kepada dewan Malaikat.


“Lihat hambaku ini, tuliskanlah pahala baginya”. Saya rindukan ‘bicara’ Tuhan di kalangan Malaikat Rakib-Nya, bukan Atidnya. Sehingga hari ini, garapan syukur saya tidak akan kering demi meraih sebuah cinta dari empunya cinta. Cinta yang membebaskan saya melakukan apa saya untuk memperoleh kehidupan dengan penuh Redha. Cinta yang mengikat saya dengan tali-tali agamaNya. Ya Tuhan, jangan biarkan tali itu putus selagi tidak putus nyawa hambaMu ini….

Ah, stressku semakin berkurang...


3 Comentários:

lelucon said...

stress ya? kena rileks.mungkin di mlm yg hening, di saat semua orang sedang lena bermimpi... kita sujud (solat), mengadu pd tuhan.menangis puas2. takde siapa nak gelak. tiada siapa nak pressure.Lupakan segala-galanya kecuali tuhan. Ingatlah (1)'mungkin 'ustazah' dijadikan utk berbakti pd saudara' dan (2)'tiada 1 benda pun di dunia ni dijadikan sia2'. insya'allah.

proaktif, bukan reaktif (sentiasa positif). katakan pd diri 'saya boleh!'.

apapun semoga berjaya melaksanakan 'klinik' dan projek2 seterusnya. :)

lelucon said...

http://zakaria-sungib.blogspot.com/2009/01/secret-dan-kebolehan-menyaring-sumber.html

azlanlin said...

Luahan sebegini mampu menyingkirkan persepsi awal tentang sesuatu isu. Stress berpunca daripada 'sesuatu' yang terbungkam dalam jiwa, gagal diluahkan... Cara dan kaedah memuntahkannya sahaja mampu meredakan keadaan buat sementara waktu.. Rempuh dan tempuh berkaitan perspsi itu lebih mampu meredakan stress.. AYUH REMPUHHH!!!!

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO