Thursday, January 22, 2009

UKHUWWAH TEMPOYAK


"Tempoyak mak memang sedap", kata adik saya.

“Tempoyak mak engkau memang sedap”, kata jiran saya.

Saya mengakuinya.


Saya tidak sukakan durian, maka tempoyak tidak sama sekali berada dalam senarai makanan yang saya idam-idamkan selalu. Ketika belajar membuat sambal tempoyak tempoh hari, saya tercari-cari di manakah keistimewaan tempoyak. Campur bawang, kunyit, cili api, ikan bilis dan durian yang diperap lalu masukkan ke dalam kuali berminyak, goreng, dah siap!. Lah, ini saja rupanya.


Apa yang membuatkan sambal tempoyak emak sedap? Bukan masakan ini sahaja, bahkan masakan emak yang lain juga tidak dinafikan kehebatannya oleh ahli keluarga dan jiran tertangga. Saya rela menahan lapar ketika seharian bekerja, mengosongkan perut yang kecil ini demi merasai masakan ibu sendiri ketika pulang bekerja nanti.


Seringkali apabila menyebut tentang masakan ibu, ia akan dikaitkan dengan ‘air tangan’ ibu. Jika menjamu selera di sebuah hotel terkenal yang dimasak oleh seorang chef yang hebat sekalipun, menunya tentu sama sekali tidak dapat menyayingi hasil masakan dari ‘air tangan’ seorang ibu. Biarpun ibu kita bukan seorang pakar memasak.

Ah, tentu kalian akan merindui ibu kalian yang berjauhan kini.


Apa yang kalian faham tentang ‘air tangan’ ibu? Kemungkinan ada yang berfikir bahawa ‘air tangan’ itu ialah sentuhan tangan ibu kepada bahan masakan lalu sentuhan itu menghasilkan ‘air tangan’. Makanan dipotong, dibersihkan, dibasuh dan dipegang oleh ibu, jadilah ‘air tangan’ ibu. Oh, jika begitu, tanggapan kalian sungguh cetek sekali.


‘Air tangan’ ibu adalah ibarat aliran kasih sayang seorang ibu. Bahkan ketika ibu melakukan apa sahaja demi anaknya termasuk membasuh pakaian, mengemas baju anak-anaknya, mengurut kepala anaknya yang sakit dan segala perlakuan berbentuk pengorbanan seorang ibu kepada anak, itu tetap dikira ‘air tangan’ ibu. Bukan sekadar proses menyediakan makanan. ‘Air tangan’ itu adalah aliran kasih-sayang.


Seorang chef memasak untuk memenuhi tuntutan kerjayanya sahaja. Namun, seorang ibu melakukan tanggungjawab yang sama demi sebuah kasih sayang, pengorbanan dan keikhlasan yang sangat luar biasa terhadap anak-anaknya. Dari situlah, terhasil ‘air tangan’ yang sentiasa dikenang-kenang. ‘Air tangan’ yang sarat dengan kasih sayang lebih-lebih lagi dari seorang ibu yang tidak dapat dinafikan keunggulan sifat penyayangnya.


Sekalipun saya berjaya sebagai seorang chef kelas pertama, belum tentu adik saya akan memuji masakan saya seperti mereka memuji masakan ibu saya.

Lantas, kerana itulah tempoyak emak sedap!


Tempoyak Saya Untuk Nahwan

Selasa tempoh hari, saya ke UIA atas tugasan majalah. Isnin malam sebelum itu, entah kenapa saya begitu bersungguh-sungguh belajar masak tempoyak daripada emak. Sebagaimana yang saya maklumkan pada kalian, saya tidak sukakan tempoyak, maka buat apa saya begitu kepingin belajar, menjamahnya pun jauh sama sekali.


Segalanya untuk adik nahwan yang amat saya sayangi. Dia permata hati saya. Saya sangat sayangkannya. Tapi tidak pastilah jika saya sudah berkahwin nanti…huhu…


Nahwan sangat sukakan tempoyak. Kesempatan ke UIA tempoh hari diambil untuk bersua dengan Nahwan. Saya masakkan sambal tempoyak untuknya. Segalanya, demi sebuah kasih sayang sekalipun bukan dari seorang ibu, tetapi daripada seorang kakak kepada adiknya. Sungguh indah bukan harga sebuah kasih sayang. Sanggup berbuat apa saja demi orang yang tersayang.

Harapnya, Nahwan juga akan merasai ‘air tangan’ saya.


Izinkan Saya Bercerita

Seorang wanita sedang keluar dari rumahnya, apabila dia terlihat tiga orang lelaki tua berjanggut panjang yang berwarna putih sedang duduk dihalaman rumahnya. Dia tidak kenal akan mereka.


Wanita itu bertanya, "Saya tidak fikir saya mengenali awak semua, tetapi saya pasti awak semua mesti sedang lapar.. Silalah masuk ke rumah saya dan makan sesuatu”.


"Kami tidak akan masuk ke dalam rumah bersama-sama."


"Mengapa begitu?", wanita itu ingin tahu.


Salah seorang daripada lelaki tua itu pun menerangkan:

"Namanya ialah Kekayaan", dia berkata sambil menunjuk ke arah salah seorang kawannya, dan beralih menunjuk ke arah kawan yang seorang lagi, “Dia adalah Kejayaan dan saya adalah Kasih Sayang.."


Dia menyambung lagi, "Sekarang masuklah semula ke dalam rumah dan berbincanglah dengan suami awak, siapakah di antara kami bertiga yang kamu ingin jemput ke dalam rumah.”


Wanita itu masuk semula ke dalam dan memberitahu suaminya perkara tersebut.


Suaminya berasa sungguh gembira. "Bagusnya!!", dia berkata.


"Kalau macam tu jemputlah Kekayaan masuk. Biar dia masuk dan mengisi rumah kita ini dengan Kekayaan!".


Isterinya tidak bersetuju.

"Abang, kenapa pula kita tidak menjemput Kejayaan?".


Kebetulan, anak perempuan mereka juga sedang mendengar perbualan itu dari satu sudut rumah yang lain. Dia lalu menyampuk dan memberikan pandangannya:

"Bukankah lebih baik sekiranya kita menjemput Kasih Sayang?. Rumah kita ini pasti akan diselubungi dengan Kasih Sayang!".


”Biarlah kita mengikut nasihat anak kita itu, keluar dan jemputlah Kasih Sayang sebagai tetamu kita”, kata suami itu kepada isterinya.


"Yang mana satu di antara kamu adalah Kasih Sayang? Silalah masuk dan jadi tetamu kami”.


Kasih Sayang bangun dan mula berjalan ke arah rumah tetapi kedua-dua lelaki yang lain juga bangun dan mengikutinya. Terperanjat, wanita itu pun bertanya kepada Kekayaan dan Kejayaan:


"Saya cuma menjemput Kasih Sayang, mengapa kamu juga ikut sekali?"


Mereka semua menjawab: "Jika awak menjemput samada Kekayaan atau Kejayaan, yang lain akan tunggu diluar, tetapi oleh kerana awak telah menjemput Kasih Sayang, ke mana-mana sahaja dia pergi, kami akan pergi bersamanya..


Di mana ada Kasih Sayang, di situ juga ada Kekayaan dan Kejayaan - itu asas kepada segalanya. Selagi ada Kasih Sayang!.


Berprogramlah Dengan ‘Air Tangan’

Pagi tadi, Kak Peah datang membawa artikel untuk program Klinik Solat Remaja pada Sabtu ini. Katanya, Makcik Aishah yang berpangkat ibu dan salah seorang AJK program begitu bersungguh-sungguh meminta artikel itu dijadikan sebagai modul PDK program.


Saya menerima pandangan itu. Sekalipun artikel itu nampak seperti remeh dan sedikit menganggu perancangan pengisian program yang sudah dirangka, saya akan menerimanya.


Saya bukan meraikan pandangan AJK lain, atau sekadar mengambil hati makchik Aishah tetapi penerimaan itu adalah lahir dari sebuah kasih sayang. Saya percaya kobaran semangat makchik Aishah yang meminta artikel itu disuguhkan dalam modul program adalah datang dari sebuah nilai kasih sayang seorang ibu kepada peserta yang dianggap seperti anak-anaknya.


Ya, ‘air tangan’ seperti ibu itu lebih bermakna dalam hati anak-anak peserta program ini. Malah lebih tinggi nilainya dari idea skrip modul yang saya siapkan hampir 1 minggu.


Semoga, kandungan artikel itu bakal terkesan dalam jiwa para peserta kerana ia lahir daripada sebuah kasih sayang yang ikhlas dan jujur dari seorang ibu tua.


Berprogramlah kalian dengan kasih sayang. Saya yakin biarpun kemampuan kalian terhad, namun kasih sayang itu akan menjadikan program kalian ‘Kaya’ dan ‘Berjaya’.


Kasih Sayang akan menjemput Kekayaan dan Kejayaan itu bersama-sama.


p/s: Kerana itu saya rasa sungguh bertuah, kerana ibu-ibu yang akan memasak untuk menu makanan program nanti, tanpa tempahan, tanpa sebarang bayaran untuk suatu keuntungan. Alahai, ‘air tangan’ ibu…moga ia lebih berbekas di dalam hati anak-anak peserta nanti.



3 Comentários:

MS Rizal said...

Air tangan bukanlah bererti mengalirnya air ditangan, tetapi lebih kepada makna sebenar sebuah pemberian. Apatah lagi datangnya dari individu yang benar kita cintai, seperti ibu, ayah dan adik beradik sendiri.

Saya suka masakan ibu saya, saya juga sukakan masakan kakak saya. Tidak pelik, kerana perwatakan dan ilmu masakan yang turun kepadanya. Jika inilah faktanya, bukankah ikatan 'darah yang mengalir di tangan' lebih besar maknanya daripada 'air dalam tangan'.

lelucon said...

nak kongsi 'kesilapan' saya:
ada 1 masa dulu, saya terlantar di wad. ibu saya bawakan bubur (yg paling sedap tentunya). Tapi saya tak berselera. Saya serba salah. Jd saya kata pd ibu saya -'mak bawaklah balik, saya tak lalu, syg bubur tu saya tak makan nanti' sbb saya rasa sayang bubur tu akan terbazir sbb saya tak lalu makan (sbb sakit). Tapi saya dpt rasa ibu saya kecil hati (rasa nak menitis air mata bila teringat). Sampai skrg saya sedih bila ingat saat tu. wlupun bukan niat saya nak tolak, takut membazir,tp tak tahu nak cakap macam mana.

dan bagi saya, masakan ibu ni adalah satu 'tonik minda' yg paling berkesan mendidik akhlak anak2. insya'allah.

saya pun suka masakan ibu saya :)

fahana_ann said...

sukenyer entri ni..selama ni ingat air tangan tu masakan mak je..rupanya segalanye pun air tangan kasih sayang..suka bila mak urut kepala...hehehe...

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO