Wednesday, February 11, 2009

50 setiap hari, 18,250 setahun


Gejala pelajar merokok serius – tajuk satu laporan khas Utusan Malaysia bertarikh 9 Feb 2009, kelmarin. Laporan memperlihatkan gambar pelajar dengan uniform sekolah, mengeluarkan kotak rokok dari kocek seluar lalu menyalakan puntung rokok dengan muka selamba, seolah-olah perbuatan itu tidak salah. Sungguh, rokok ibarat ‘pencuci mulut’ sebelum masuk ke kelas atau ‘penawar’ menghilangkan stress dan kebosanan belajar.


Mengulum gula-gula getah atau mengunyah keropok menjadi rutin harian zaman saya bersekolah dahulu. Walau guru melarang kerana tiada kesan kebaikan dari aspek kesihatan, tetapi ia tidak sampai menjadi kebimbangan. Berbeza dengan zaman ini, tabiat merokok menjadi punca yang memberanakkan kebejatan sosial yang menakutkan. Antaranya dadah dan AIDS yang bermula dari ketagihan merokok. Namun amat menyedihkan, gejala membunuh ini tidak dianggap suatu barah sosial yang menggerunkan tetapi satu tabiat yang harus dibangga-banggakan.


“Memang dah biasa macam ni bang. Kalau hisap rokok baru orang nampak ’macho’. Orang nampak besar dan matang”, kata Bob selamba ketika ditanya oleh seorang wartawan utusan.


Kematangan. Sepatutnya istilah ini amat membuncah dalam benak kita. Di manakah kedudukan matang andaikata gejala ini menyebabkan pelajar tersangkak awal dan gagal mengenderai kehidupan? Matangkah dengan berani mencuba rokok, merasa diri seakan orang dewasa ketika asap berkepul-kepul keluar dari hidung? Macho atau matangkah seorang pelajar bila mana dia menjadi penyumbang utama kepada pembaziran lebih 8 juta sehari daripada tabiat merokok itu? Persepsi songsang yang harus diperbetulkan.


Menurut Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC, Kementerian Kesihatan, sebanyak RM 8.59 juta dihabiskan oleh kira-kira 2.73 juta rakyat negara setiap hari untuk membeli rokok dan angka itu bersamaan dengan kos untuk membina sebuah klinik kesihatan. Sekurang-kurangnya 50 pelajar baru merokok setiap hari dan angka itu bersamaan 18,250 setahun. Pembaziran yang sengaja dan sia-sia.


Perokok-perokok pelajar sudah mengenal pasti lokasi selamat di dalam kawasan sekolah untuk merokok. Biasanya di dalam stor atau belakang sekolah. Bagi perokok tegar, boleh menghisap rokok di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja asal dapat melepaskan gian.


“Kita memang kaki hisap rokok. Kalau kena tangkap, biasanya dirotan saja. Bagaimana nak suruh kita berhenti rokok kalau cikgu sendiri hisap rokok”, ujar seorang pelajar lagi.


Malah, ada pelajar perempuan yang mencuba menghisap rokok apabila melihat keasyikan bapanya seorang perokok tegar merokok dihadapannya. Katanya, jika rokok mahal, minta saja pada ayah dan katakan nak beli rokok.


Keadaan ini memperlihatkan tabiat merokok semakin merujai golongan wanita. Hasil tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan pada 2006 mencatatkan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus) dan 120,000 perokok wanita (4.4 peratus). Walaupun peratusan ini nampak kecil, namun tidak mustahil peningkatan angka akan terus berlaku. Taraf wanita yang mahu disamakan dengan lelaki turut terjejer pada perihal sosial dan akhlak. Mereka juga mahu merempit, merokok, menghisap dadah, dan menjadi gangster asal ‘menghiburkan’. Kerana ‘hiburan’ sebegini seakan pengubat lara hati terhadap leteran ibu, tengkingan ayah dan rotan guru di sekolah.


Hampir 20 juta dibelanjakan untuk kempen katakan ‘tak nak’ pada rokok. Namun perkataan ‘tak nak’ hanya terpapar pada bahan kempen tetapi gagal dijelmakan dengan tindakan perokok. Sebagai susulan, kerajaan akan memaparkan enam gambar paling menakutkan di kotak rokok akibat menghisap rokok tidak lama lagi. Adakah elemen menakutkan ini boleh menjadi instrumen mendidik yang paling berkesan? Pada saya, ia dinilai berkesan apabila ketakutan tersebut berjaya diterjemahkan pada dua bentuk iaitu ’takut sakit’ dan ’takut dosa’.


Kes-kes di atas menunjukkan rumah dan sekolah adalah lokasi paling awal untuk kempen anti-merokok. Kempen ini tidak perlukan modal berjuta-juta cuma mewujudkan satu kombinasi usaha ke arah pemugaran semula prinsip akhlak dan moral. Modalnya adalah moraliti, penggerak kempennya adalah ahli rumah dan guru-guru, silibusnya adalah Pendidikan Islam yang dikaji semula dan metodologi dakwahnya adalah uslub mauizah (nasihat dan peringatan). Usaha ini dimurnikan lagi apabila guru dan ibu bapa mampu menjadi instrumen pengawalan dan moraliti yang boleh dicontohi.


Menurut Malik Ben Nabi, saluran pendidikan sahaja yang dapat menyelamatkan masyarakat khususnya remaja terhadap fenomena ngeri ini. Unsur pendidikan yang paling penting untuk ditekankan ialah kembali kepada ‘akar’ Islam itu sendiri. Pastinya ’akar’ yang kukuh dipantakkan oleh benih-benih Islam yang disemai baik oleh ibu bapa dan guru-guru. Mereka bukan sahaja mualim yang berbicara ilmu tetapi berperanan sebagai murobbi yang mampan didikannya.


Menurut as-syahid Murthada Mutahhari, menghidupkan agama tidak lain tidak ialah dengan bekerja keras menghidupkan sunnah Rasulullah dan menghancurkan segala bentuk kekarutan. Umat Islam khususnya remaja yang bakal melangkah ke alam dewasa harus menyedari bahawa Islam tidak membenarkan kejahilan, kelemahan dan kelumpuhan budaya dan persekitaran.


Sesungguhnya jika kita memerhatikan sejarah umat terdahulu, kerosakan yang berlaku adalah dalam bentuk yang satu, iaitu pemutusan hubungan antara manusia dengan tuntutan wahyu atau pemungkiran manusia atas kekuasaan Allah S.W.T.


4 Comentários:

lelucon said...

utk pelajar sekolah, bukan dirotan 'ustazah', tp:

cara (1) denda. kantoi sebatang rokok, RM10 + kerja amal 2 hari. Resit kompaun terus pd mak bapak. Kalau tak bayar, masuk yuran sekolah. Tak bayar, masuk rekod sijil berhenti. Kalau setahun 5x kantoi pun, rasanya fikir juga mak bapak bebudak tu.

Cara (2) pelajar yg merokok diwajibkan ada insurans nyawa yg sah dan mahal! Sekurang2nya ada la 'tabiat' menabung.

cara (3) Pelajar yg kantoi merokok dihukum habiskan sekotak rokok dlm masa 15 minit. Tak habis, tambah lagi 1 kotak.

Teorinya, nafsu takkan puas selagi tidak dipenuhi. Tapi jika dipenuhi secara keterlaluan, lama2 jemu dan muak. baru sedar itu cuma nafsu! :)

tp yg 'menakutkan' skg knp pljr perempuan terikut2 merokok juga? ...

Unknown said...

salam ustazah,

tulisan yang sangat bagus. kalau diizinkan kakchik nak print dan tampal di perpustakaan kami. boleh ke?

iklan terbaru kerajaan tu dah keluar pun dalam suratkhabar harian, mmg menakutkan dan memualkan tapi si perokok di pejabat kata, "alah... saja nak takutkan kita."

Nurhidayah Jaafar said...

lelucon...marah nampak...harap2 ia mampu menjadi elemen mendidik, bukan menghukum

kadang2 menghukum menjadikan mereka semakin 'mengganas'.

kak chik..
oh, baru saya teringat, setiap kali saya baca paper, saya ada nampak iklan sebesar page tu..memang menakutkan sampai saya akn skip tengok page tu bila buka paper..

persoalannya...menakutkan VS ketagihan, agak2 mana yg menang?

Anonymous said...

Petua Tidak Merokok lagi :

1) Jangan beli rokok

2) Jangan hisap rokok

3) Jangan kawan dengan orang merokok


...gurau bah ustazah..

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO