Friday, February 13, 2009

MEREPEK PASAL MALAS...


Malas itu datang lagi. Kali ini dengan wajah yang paling hodoh. Makin hari makin mengerikan. Aku tak pernah melihat wajah malas, tapi aku yakin ia mengerikan. Kerana dengan datangnya malas, aku mengambil dua bantal. Satu aku letakkan di kepala, satu lagi menutup muka, pejamkan mata, tidur. Mataku sentiasa mengantuk dan terpejam bila malas datang menjelma. Seolah-olah malas itu suatu yang takut dilihat.


Jika wajah malas itu manis, pasti aku terus tersenyum. Liku-liku hariku dilalui penuh ceria. Bisikan-bisikan perangsang meronta-ronta. Melihat mak, aku tersenyum. Melihat ayah, aku tersengih memanjang. Melihat Angah dan Muni, aku tertawa riang. Belum lagi melihat adik nahwan yang memang murah dengan senyuman. Tapi wajah malas itu tidak segirang yang kusangka. Malas masam mencuka. Tak sama macam muka adik nahwan.


Malas membuatkan aku bermuram durja, buntu dan termanggu-manggu. Aku bertambah keliru semenjak kehadiran malas tempoh hari. Semangat menjadi cemburu melihat aku terlalu memanjakan malas. “Asik-asik nak berkepit dengan malas. Sikit-sikit sebut nama malas, malas saje la yang betul!”. Semangat memberontak, cemburu, lalu meninggalkanku.


Sejak hari itu, aku terlalu merindui semangat. Semangat selalu meniupkan kata-kata baik padaku, sebaik namanya...semangat. Tidak seperti malas. Yang dia tahu cuma menggedik-gedik. Sikit-sikit nak menempel kat badan aku ni. Tapi aku hairan, walaupun malas itu manja dan menggedik tapi dia kuat. Kata kawan malas yang bernama bosan tu, malas ada tuan. Nama tuannya Nafsu. Mungkin Nafsu tu yang memimpin malas menjadi kuat dan gagah perkasa. Kalau macam tu, aku perlu menjadi kuat!


Aku teringatkan cerita Adib tentang superman. Katanya superman kuat. Superman boleh terbang dan ketika terbang dia mencari kerja. Kerjanya ialah selamatkan orang. Menurut anak jiranku itu, superman hanya kerja part-time. Kejap-kejap jadi superman, kejap-kejap jadi manusia normal, lepas tu jadi superman balik, lepas tu balik jadi manusia normal. Dia bukan superman sepenuh masa. Kalau macam tu, superman pun malaslah. Sebab dia jadi superman bila mood superman tu datang. Macam aku, kerja ikut mood...malaslah katakan.


Arif menuturkan nama-nama ultraman pada Adib. Cerita Arif pula, ultraman mampu melawan raksasa. Rupa raksasa buruk macam rupa malas. Badan raksasa menggerutu, taringnya panjang. Eh, sama la macam ketua malas yang bernama syaitan tu. Syaitan pun buruk juga. Malas di ‘train’ oleh syaitan, syaitan pulak buruk macam raksasa. Buruk, gerun dan ngeri. Ermm, mungkin jadi sekuat ultraman aku boleh membunuh malas. Rupanya, aku terlupa. Ultraman ada lampu di dadanya. Bila lampu hijau tu berbunyi, tiit...tiit... tiiit...tiiit...tandanya ultraman semakin lemah. Kuasa ultraman akan hilang bila-bila masa sahaja. Ultraman juga melalui kegagalan berkali-kali...sama macam aku juga.


Ha, Bruce Lee. Tiba-tiba teringat nama lagenda kungfu tu. Yup, belanja kungfu. Boleh lawan malas. Dish dish!! Haiya, haiya, haiya!! Mesti macam tu aku kungfukan malas nanti. Patah riukkan tulang malas. Ayah aku yang minat kungfu kata, nak belajar kungfu susah. Kena ada semangat. Semangat pula dah hilang entah ke mana. Alahai semangat...


"Semangat oh semangat, semangat oh semangat...", ingin aku menjemput semangat kembali ke sisi. Masalahnya memanggil semangat tak sama macam Pak Belalang memanggil anaknya Belalang. "Belalang oh belalang, belalang oh belalang...", tak boleh panggil macam tu! Habis macam mana nak panggil semangat pulang ke pangkuan?


Ustazah kata, malas ni suka datang bila kita banyak dosa. Malas berfikir...sebab banyak dosa. Malas ibadat...sebab banyak dosa. Malas bekerja...sebab banyak dosa. Malas membaca...sebab banyak dosa. Malas ke program...sebab banyak dosa. Malas tahajud...lagilah banyak dosa. Sebab tu orang susah bangun tahajud, badannya berat dengan dosa. Nak bangun tak larat...berat dengan dosa.


Dosa membuatkan hati hitam berkarat. Hati yang bersih tidak diduduki malas kerana malas pengotor dan sukakan kekotoran. Malas seperti lalat, terbang mencari makanan dari tempat-tempat yang kotor. Sedangkan semangat seperti lebah. Lebah ada misi. Terbang mencari nektar, membuat madu dan kebaikannya dirasai manusia sejagat. Begitulah dengan semangat. Ia perlu dicari, diusahakan dan dikongsi bersama yang lain.


Lalat pengotor, lebah pembersih. Malas dari hati yang kotor, semangat dari hati yang bersih. Kata ustazah, "Bersihkan hati kamu dahulu, kamu pasti menjumpai semangat itu kembali".


8 Comentários:

lelucon said...

tgh malas pun pjg juga menulis ya?!
malas la nak komen hehehe

malas pun ada jenis dia, malas sbb takde mood, malas sbb taknak fokus, dll malas. Dlu, masa tgh malas (!), saya dpt kumpul cdgn2 'bernas' utk taknak jd malas (masa tu tulis guna 'aku'). Main2 je. Tp klu saya malas nk buat keja yg berfaedah, saya tgok tv je, cari channel ber'info', tengok je, takyah buat apa2. Jd la, belajar juga dlm malas hehehe

anumz sarah said...

Entry bagus ttg malas. Pandangan dr aspek yg simple ttp berkesan. Haiya!! Wacha!!-x nak malas lagi!!

kartini said...

tak apa. kadang2 saya juga ada perasaan seperti ini. bukan kadang2 malah selalu juga :D tak tahu cam mana nak atasi. tapi sekali sekala tidak apa. sibuk itu sangat berkesan untuk mengatasi sifat ini, saya rasa. mungkin, lepas ni, sibuk2kan lah lagi diri anda.. walau agak penat, tapi akan terasa nikmat.. ;)

Anonymous said...

Salam kak. Uhuk uhuk, tersedak saya.

Kak, senyum itu bukan bermakna kita tidak punya masalah. Senyum itu juga tidak bermakna manusia terlepas dari belenggu rasa. Namun, senyum itu penawar rasa. Memikirkan apakah hamba ini layak mengenepikan nikmat Pencipta yg lainnya? Yang terlalu banyak dan tiada terkira.

Oh kak, andai bisa kita benamkan hati di ruang rasa yang paling dalam, untuk membolehkan marah itu hanya wujud kerana ALLAH swt, rindu itu hanya bercambah kerana ALLAH swt, kasih itu terzahir hanya kerana ALLAH swt, lalu malas itu tidak timbul kerana adanya 'urusan' kt utk ALLAH swt, kecewa itu tidak timbul krn tahu itu aturanNya, dan sakit itu tidak ditangisi kerana tahu itu tarbiyyahNya. Itulah maksud saya.

Senyum wahai kakak kesayanganku, kerana ku tahu dirimu seribu kali lebih rajin dari diriku. Senyumlah kerana itu pengukir semangat jiwaku. Kerana saya suka melihat senyum kalian semua :)

MS Rizal said...

Ya, entri ini cukup merepek..haha..
Sampai macam tu sekali kesan malas, sentuhan penulis hebat(blog ini) pun boleh jadi caca merba...(",)

Anonymous said...

kepada semua 'pengkritik positif' di atas (",):

1) terima kasih
2) rajin2lah komen lagi
3) korang punya komen sedikit sebanyak memanggil semangat kembali ke pangkuanku
4) sbnrnya tak lah malas sangat,,ada keja yg dibuat cuma rasanya kerja yg dibuat tu taklah berada dlm raking kemanfaatan dan kefaedahan kelas pertama.
5) ermm,,mgkn tamrin sabtu ahad kelmarin telah berjaya membuang sifat kemalasanku itu..itulah, manusia perlu sentiasa diisi hatinya dgn sesuatu yg mengingatkan...

Anonymous said...

Salam,
sesekali malas tu perkara biasa...cuma jangan diamalkan selalu heheh. MMg gitula sifat manusia.
Sbb tu kita diajar untuk berdoa minta dijauhkan daripada lapan jenis penyakit ini:
runsing, dukacita, lemah, malas, kedekut, bakhil, bebanan hutang dan tekanan orang berkuasa.

صلح الدين ن said...

pengisian yang ber-manfaat, syukran ustazah-engineer.

Buat pembaca lain, ana nak kongsi sikit :

Kata Dr. Fadzilah Kamsah, "Perbandingan kena betul".

Bila tentang dunia, bandingkan diri dengan orang yang lebih kurang daripada kita. Tentang akhirat pula, bandingkan lah dengan orang yang lebih tinggi daripada kita.

insyaAllah akan lebih Ceria dan (kurang) malas.

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO