Tuesday, February 3, 2009

DAKWAH & KREATIVITI


Latihan - Kenal pasti corak pemikiran anda!

Pada zaman dahulu, seseorang yang gagal untuk membayar hutang boleh dimasukkan ke penjara. Seorang saudagar bernama Jamal telah meminjam wang daripada seorang tua yang bakhil. Apabila tiba masa untuk membayar hutang itu, Jamal tidak mempunyai wang. Orang tua itu pula menaruh hati terhadap anak perempuan Jamal. Lalu beliau mencadangkan supaya Jamal mengahwinkan anaknya dengan beliau.


Jamal menjadi risau memikirkan hal tersebut. Beliau merayu kepada orang tua itu. Akhirnya, orang tua itu mencadangkan supaya satu cabutan dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu. Beliau akan meletakkan sebutir batu putih dan sebutir batu hitam dalam sebuah uncang dan anak Jamal akan diminta untuk mencabut sebutir batu dari uncang berkenaan.


Sekiranya anak Jamal terpilih batu putih, maka dia akan bebas dan hutang Jamal dimansuhkan. Tetapi sekiranya terpilih batu hitam, maka ia terpaksa berkahwin dengan orang tua tadi. Jamal bersetuju dengan tawaran itu.


Pada hari yang telah ditetapkan, mereka bertemu untuk membuat cabutan sebagaimana yang dipersetujui. Anak perempuan Jamal terkejut apabila beliau ternampak kedua-dua batu yang dimasukkan oleh orang tua itu adalah batu hitam, bukan sebutir batu hitam dan sebutir batu putih sebagaimana yang telah dipersetujui.


Apakah yang patut anak Jamal lakukan? Beliau tidak boleh mendedahkan penyelewengan yang telah dilakukan oleh orang tua itu kerana ia mungkin merbahayakan ayahnya.


Seorang yang mempunyai cara pemikiran yang menegak akan melihat bahawa anak Jamal mempunyai hanya dua alternatif, iaitu:

1) Anak Jamal boleh tidak memilih batu daripada uncang itu dan akibatnya Jamal akan dipenjara.

2) Beliau boleh mengambil batu dari uncang itu dan terpaksa berkahwin dengan orang tua itu.

Kelemahan yang ketara ialah sikap yang terlalu bergantung kepada langkah mengambil batu dari uncang sebagai penyelesaian kepada masalah. Inilah dikatakan terlalu bersandar kepada penggunaan satu definisi dalam menyelesaikan masalah sahaja.


Mereka yang mempunyai pemikiran mendatar akan cuba melihat masalah ini dari pelbagai perspektif.

Dalam kisah di atas, anak Jamal boleh menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan mengambil sebutir batu dari uncang itu dan cepat-cepat menjatuhkannya ke tanah. Kemudian anak Jamal berkata kepada orang tua itu,

“Oh maaf di atas kecuaian saya. Encik tengoklah ke dalam uncang itu. Sekiranya yang tertinggal adalah batu hitam, maka batu yang saya ambil tadi ialah batu putih.”


Dengan pemikiran yang kreatif, anak Jamal telah berjaya menukar satu keadaan yang kemungkinan kejayaannya ialah 0 % kepada keadaan yang mempunyai 100 % kemungkinan kejayaan.


Pemikiran Kreatif Sahabat Rasulullah.

Satu peristiwa dalam sirah Rasulullah menunjukkan bahawa Ali r.a adalah seorang sahabat yang amat kreatif. Pada suatu hari, Rasulullah bertanya kepada para sahabat, siapakah di antara mereka boleh membaca seluruh Al-Quran dalam masa satu hari. Hanya Ali menjawab bahawa beliau mampu melakukannya.


Apabila ditanya bagaimana beliau mampu melakukannya, Ali menjawab beliau membaca Surah Al-Ikhlas tiga kali sehari, kerana pahala tiga bacaan Al-Ikhlas adalah bersamaan dengan seluruh Al-Quran.


Pendakwah Mencipta Perjalanan Sejarah

Pendakwah tidak seharusnya berfikir secara statik seperti kaedah menegak yang disebutkan tadi. Sebaliknya, mereka mestilah lebih kreatif dan terbuka. Perkara ini lebih penting jika kita melihat tujuan dakwah yang ingin membawa perubahan dalam masyarakat. Usaha merubah masyarakat sudah tentu akan menjadi rumit sekiranya kita tidak memahami arah yang sedang dituju oleh masyarakat. Pendokong dakwah mestilah mampu melihat senario yang mungkin muncul pada masa hadapan.


Sejarah manusia merupakan peristiwa-peristiwa penting yang mempunyai kesan terhadap kehidupan ini. Mereka yang mencipta sejarah mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan mereka dengan manusia lain yang hidup pada zaman mereka.


Kenapakah kita masih teringat akan nama-nama seperti Ibnu Taimiyah, Abdullah ibn Mubarak, Al-Ghazali dan Ahmad Ibn Hambal sedangkan ramai lagi ulama'-ulama' lain yang hidup sezaman dengan mereka? Tiada lagi faktor lain melainkan sumbangan mereka yang telah banyak mempengaruhi perjalanan sejarah. Mereka telah berjaya melihat arah perjalanan masyarakat lalu mengambil tindakan mengubahnya apabila mereka menuju arah kesesatan dan kemusnahan.


Para pendakwah perlulah ingat bahawa tugas mereka adalah untuk mempengaruhi perjalanan sejarah dan bukan sekadar menjadi penonton kepada sejarah sahaja. Untuk memainkan peranan ini, mereka perlu mempunyai pemikiran yang tajam, sensitif dan kreatif.


Sumber penulisan: Pengurusan Dakwah oleh Rozhan Othman (1990)

7 Comentários:

Anonymous said...

salam ustazah, entry menarik. Dakwah perlu fleksibiliti, jika tidak ianya akan mendatangkan kebosanan dan beku.

p/s: minta link tutorial untuk adakan comment box ini.

Anonymous said...

waalaikumussalam

Ya, dan fleksibiliti dan kreativiti itu datangnya dari kemahiran untuk melahirkan pemikiran yang kreatif itu. Tanpa mempelajari kemahiran, kita tetap pd minda yg sama.

oh, sebenarnya yang buat comment box ana ni, adik ana sendiri. YM ana bermasalah, maka tak dapat dicari semula link yang diberi adik ana itu dari web tutorial berkenaan.

Jadi, adikku nahwan..boleh tak letakkan link tutorial comment box di ruangan komentar ini, boleh juga dikongsi2 pd blogger yg lain..

boleh tak? respon please...

Anonymous said...

Assalamualaikum kak,

Benar kak, dakwah dan kreativiti harusnya bergandingan bak irama dan lagu. Lagi-lagi zaman moden kini, pelbagai rentak bermaianan bersama anak muda terutamanya, lalu harus kita mengolah suatu rentak itu dengan kreatif supaya masuk dengan jiwa muda namun teguh berpegang dengan syariat ALLAH swt.

As per request dari akak, di sini saya sertakan link membuat embedded comment form di bawah kotak komentar. Dan seperti biasa untuk mengedit html, tandakan kotak expand template widget. Begitu sahaja.

Wallahua'lam

lelucon said...

pertama kali baca ttg adanya pemikiran mendatar/menegak. Blh bg info teori siapa?

nampak mcm yg menegak=logik, dan mendatar=kreatif. Pemikiran logik yg saya definisikan ialah perincian menggunakan maklumat dlm domain sedia ada (detailing). Kreatif pula lebih kepada melihat di luar sempadan domain, dan merangka satu bentuk domain baru berasaskan domain asal.

Dlm buku 7 Habits...(Covey, S.), dikatakan logik ialah pemikiran yg mengenalpasti modul yg membentuk objek yg ditanggap, manakala kreatif/vision ialah membentuk sesuatu menggunakan objek yg ditanggap.

apapun, terima kasih.saya dpt belajr benda baru... :)

dlm berdakwah,apapun caranya yg penting ikhlaskan hati dulu.

p/s: utk BLOGSPOT, saya guna cara senang:
-klik saja pd tab 'comment'
-cari kategori 'comment form placement'
-klik pd bullet ke-3 ('embedded below post').
:)

Anonymous said...

EN lelucon. Rasanya teori kreatif yang nta utarakan itu boleh juga dikatakan sebagai 'berfikir di luar kotak'.

Erm, langkah di BLOGSPOT yang anda utarakan kadangkala menjadi bagi blog yang menggunakan template yang sediaada di beri. Bagi yang mengambil di tempat lain, perlu cara tambahan setelah langkah pertama yang anda utarakan.

Wallahua'lam

Anonymous said...

Berfikir boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu berfikir secara menegak dan mendatar. (Edward de Bono, 1970)

Berfikir secara menegak (vertical thinking) ialah satu bentuk berfikir cara tradisional yang berteraskan kepada logik, kesinambungan dan urutan.

Berfikir secara mendatar pula meliputi unsur kreativiti. Penyelesaian yang lebih baik sentiasa dicari-cari di samping luar biasa dan tidak tetap kepada satu cara sahaja.

Mengikut pakar hampir 95% penyelesaian masalah yang kita lakukan melalui berfikir secara menegak manakala selebihnya dengan berfikir cara mendatar.

Sejak dua puluh tahun kebelakangan ini bidang kemahiran berfikir menarik minat ramai pengkaji. Selaras dengan minat dan keghairahan itu, mereka mencipta pelbagai konsep dan istilah bagi menghuraikan idea-idea berkenaan topik ini.

Kaedah-kaedah pemikiran yang telah mendapat perhatian para pengkaji antaranya ialah pemikiran logik yang juga dipanggil logik barat, kaedah pemikiran lateral atau paralel, kaedah pemikiran kreatif, kaedah pemikiran pemikiran saintifik yang berteraskan sains dan teknologi dan juga kaedah pemikiran Islam.

Kajian-kajian mereka juga menitik beratkan cara-cara menyelesaikan masalah dan membuat keputusan menggunakan kaedah-kaedah pemikiran tersebut.

lelucon said...

oo.. saya pernah baca buku Lateral Thinking (De Bono). terjemahan. tp dh lama dan skdr suka2. ada kot dlm tu. Agaknya tu yg tak perasan/mudah telupa. hehehe. klu tk silap ada experiment kotak hitam ya?...
k trima kasih.

tp nak utarakan pandangan. kita sering dgr pemikiran Islam. Tapi adakah modelnya dan penah ke dibuat eksperimen mcm De Bono? Kalau ada saya blm penah jumpa la. Kalu belum mgkin perlu dikaji...

p/s:saya baru bab blog2 ni.saya tahu yg senang je hehehe

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO