Wednesday, February 25, 2009

POLEMIK KESAKSAMAAN WANITA

Gendang ‘perjuangan’ SIS bertalu lagi. Kali ini bunyinya lebih berani. Di ajaknya sekali ‘penonton’ untuk ’menari’ dengan gerak tarian yang merunsingkan. Tema lagunya tetap sama dari dahulu hingga sekarang iaitu ‘kesaksamaan dan kesamarataan.’


Pepatah Melayu datang bertamu –gendang-gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Taluan gendang Musawah SIS yang bergema tempoh hari sememangnya mengenyangkan perut mereka atas sogokan dan sokongan kewangan yang melimpah-ruah. Lalu itulah yang disuakan ke mulut kaum sejenis yang ‘lapar’ kerana jalan kebuntuan terhadap krisis dan konflik kekeluargaan dan perundangan.


Musawah Bahas Kesaksamaan Wanita

Agenda Meliberalisasikan Undang-undang Syariah


Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam (Musawah atau kesaksamaan dalam Bahasa Arab) bermula 13-17 Februari yang lalu. Dilancarkan oleh Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Sabtu lalu, Musawah dihadiri lebih 250 peserta termasuk aktivis, sarjana, penggubal polisi, ahli parlimen, usahawan dan golongan profesional dari 47 buah negara.


Jawatankuasa Perancang Musawah terdiri daripada Zainah Anwar (pengarah projek Musawah), Rabea Naciri dari Morocco, Asma’u Joda (Nigeria), Prof Yakin Erturk, Ziba Mir-Hosseini (Iran/UK) dan Kamala Chandrakirana (Indonesia).


Diadakan buat julung kalinya di Kuala Lumpur, Musawah bertujuan mengumpulkan para sarjana dan aktivis dalam rangka kerja holistik bagi memperjuangkan kesaksamaan wanita Islam dari segi perundangan, keluarga dan komuniti.


Musawah dibina selepas berdekad usaha memperbaharui undang-undang keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita dan menentang pindaan regresif atas desakan kumpulan konservatif dalam masyarakat.


Satu hujah yang menyelar undang-undang Islam bahawa ia gagal mendukung kesaksamaan dan keadilan telah dikemukakan oleh Prof. Yakin Erturk dalam Musawah ini. Menurut Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Keganasan Terhadap Wanita ini, undang-undang Islam harus mencerminkan keadilan iaitu objektif syariah yang tidak boleh dinafikan. Baginya, undang-undang Islam perlu mendukung kesaksamaan yang merupakan bahagian paling penting dalam pemahaman keadilan masa kini.


Kenyataan beliau seakan menidakkan bahawa Undang-undang Islam sudah mendukung dua perkara tersebut – kesaksamaan dan keadilan. Undang-undang yang digubal cukup cantik berteraskan wahyu ini, sangat signifikan diaplikasi zaman berzaman. Kelumpuhan sistem kekeluargaan dan penindasan terhadap golongan wanita tidak bertitik punca daripada kelumpuhan undang-undang Islam itu sendiri. Yang melumpuhkan dan menghancurkannya adalah pihak yang tidak mahu mengimplementasikan perundangan tersebut secara komprehensif dan mendalam. Maka, penolakan akan hikmahnya perundangan Islam menelurkan masyarakat yang sarat dengan infiniti krisis dan konflik.


Mereka menimbulkan idea yang menggesa perubahan undang-undang dilakukan mengikut realiti kehidupan yang berubah dari masa ke semasa, tempat dan tanggapan kontemporari keadilan – inilah yang diperjuangkan oleh mereka.


Ibarat irama nasyid. Undang-undang Islam boleh dikontemporarikan sesuai dengan perubahan zaman, kehidupan, tempat dan tanggapan - Inilah suara yang dipolemikkan oleh projek Musawah agar golongan wanita melihat musawah sebagai penjelasan inisiatif yang menyokong mereka sebagai mangsa diskriminasi.


Isu hak wanita diperdebatkan secara meluas di seluruh dunia lebih-lebih lagi dalam era globalisasi apabila kesaksamaan hak kaum hawa diangkat sama pentingnya dengan hak asasi manusia. Oleh itu, sejak berdekad lamanya aktivis wanita Islam (SIS) dari segenap pelosok dunia termasuk komuniti minoriti bergabung tenaga bagi mendesak reformasi undang-undang bagi mengiktiraf kesaksamaan hak lelaki dan wanita.


Tidak dinafikan, lelaki/suami menjadi salah satu punca keruntuhan institusi keluarga. Krisis berlaku apabila golongan pemimpin keluarga ini gagal mengenderai institusi keluarga dengan norma-norma keharmonian dan kerukunan. Adakah rasional ‘hukum’ yang dipersalahkan apabila individu (suami) yang menjadi ‘penjenayah’ dalam institusi keluarga? Kecundang pada perlaksanaan tetapi hukum pula yang dihukum. Seperti mengambil kata-kata Tuan Guru Nik Aziz, “Tersesat di lautan, tetapi rumah api yang dibakar”.


Renungkan kenyataan yang disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Majlis Wanita Islam Kanada (CCMW), Alia Hogben, salah seorang aktivis pejuang wanita. Bukan sekadar renung, tetapi kaji dan fikir tindakan kita.


“Kami lebih rela memilih undang-undang yang sama rata untuk semua tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, etnik, budaya dan penggunaan undang-undang Syariah di Kanada boleh mendatangkan kesan negatif apabila tidak mempunyai asas prinsip kesaksamaan terhadap wanita. Setelah melakukan kajian dengan bantuan para sarjana, golongan akademik dan pakar agama di seluruh dunia di mana-mana undang-undang keluarga Islam Syariah diamalkan, kami dapati ia tidak sesuai diamalkan di Kanada” (Akhbar MEGA, Utusan Malaysia, 24 Feb 2009)


Feminisme Cabang Liberalisme Islam.

Faham feminisme turut menjadi agenda penting dalam minda liberal Islam. Walaupun isu kesetaraan antara lelaki dan perempuan wajar diberi perhatian seperti yang terpapar perbahasannya dalam Al-Quran dan Sunnah, tetapi adalah penting untuk menggarap isu feminisme atau gender dengan lebih teliti dan cermat. Di barat, pemikiran dan gerakan feminisme telah membina sebuah keyakinan sehingga ia menjadi satu dogma bahawa “tidak ada apa pun yang membezakan antara lelaki dengan wanita, sekalipun secara semulajadi”.


Didunia Islam, pemikiran feminisme telah disebarkan oleh ideologi-ideologi terkenal seperti Fatimah Mernisi (Maghrib), Aminah Wadud (Amerika Syarikat), Nawal Sa’adawi (Mesir), Rifaa’t Hassan (Pakistan), Zainah Anwar (Malaysia) dan lain-lain. Sisters in Islam, umpamanya, telah menuduh para tafsiran al-Quran oleh para ulama’ “bias” gender dan merendahkan martabat wanita.


Zainah Anwar


Gagasan Islam liberal nampaknya terjebak dengan filsafat barat dari segi roh dan kaedahnya yang hanya bertuhan kepada akal (rasionalisme) semata-mata. Atas nama objektiviti dan saintifik, golongan Islam liberal terpengaruh dengan metodologi Barat dan mahu meruntuhkan metodologi keilmuan Islam yang telah diterima pakai sejak ribuan tahun lalu. Idea-idea Islam liberal yang kononnya berpaut kepada hujah-hujah al-Quran, al-Sunnah sebenarnya telah menyimpang dari tafsiran-tafsiran konvesional ulama’ salaf dan khalaf yang muktabar.


Tugas KITA?

Profesor al-Qradawi mengingatkan kita supaya berusaha sedaya mungkin untuk menguasai manhaj ilmu-ilmu Islam secara komprehensif sebelum membuat satu-satu rumusan pemikiran baru. Perlu kritis dan objektif apabila membicarakan pemikiran Islam liberal. Pemikiran-pemikiran nadir seumpama ini sentiasa ada pada setiap zaman.


Kita perlu sedar, sebagai pendakwah yang merasai bahananya isu ini, kembali belajar dan memahami sistem perundangan Islam. Walaupun, pengetahuan kita tentunya sedikit, namun sekurang-kurangnya pendakwah mampu menjadi agen penyelesai konflik kekeluargaan masyarakat di sekitar kita. Tidak perlu layangkan pemikiran anda terlalu jauh. Lihat sahaja isu-isu kekeluargaan jiran tertangga. Jangan sampai mereka merasai tempias Musawah SIS yang akan menyediakan para penyokong dengan bantuan fizikal dan sumber termasuk rangka kerja tindakan.

Apa rangka kerja tindakan kita pula?


Perlu diingat bahawa salah satu objektif persidangan global Musawah adalah membangunkan analisis dan strategi yang menyatukan biasiswa serta pengalaman berhubung jurisprudens Islam, prinsip hak asasi manusia, jaminan hak asasi dan relaliti keluarga hari ini.

Apa pula pembangunan analisis dan strategi kita berhubung hakikat itu?


Projek Musawah adalah satu manhaj baru rentetan daripada halangan dan tentangan yang diterima sebelum ini. Berselindung di sebalik nama Musawah (kesaksamaan dalam Bahasa Arab) yang seolah-olah baik bunyinya, silibus manhaj mereka tetap sama iaitu kritikan terhadap Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) yang dikatakan tidak adil dalam isu berkaitan perceraian, penjagaan anak atau pembahagian harta. Mereka mahu memperkasakan wanita dalam menuntut kesaksamaan. Bahaya sekali apabila sasaran dakyah mereka ini ialah golongan yang cetek dan lemah agama, hanya semata - mata untuk menggapai cita - cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri .

Seterusnya, apa pula pembaharuan manhaj dan silibus dakwah kita terhadap sasaran yang sama?


5 Comentários:

lelucon said...

hmm... sbnrnya klu yg dipertikaikan adalah masalah penafsiran, mungkin blh diperdebatkan. Sbb mmg bila ditafsir, akan ada pertikaian. Cuma biarlah tersusun dan beradab.

Tapi kalau menolak sama sekali undang2 sedia ada, dan ingin menggubal undang2 baru, tu cuma fantasi dan retorik individu yg nak 'tunjuk pandai'. Sbbnya undang2 sedia ada pun digubal berperingkat-peringkat, mengambil kira pelbagai pandangan khususnya ulama (yg diiktiraf). Masa yg diambil pun lama. (bukan ke kalangan mereka itu peguam dan sarjana? tak tahu ke?)

Dan lagi kenapa undang2 keluarga Islam saja? hina ulama pula tu! Bagaimana undang2 Islam terhadap golongan wanita yg melacur (termasuk yg tak 'rasmi')? Apakah undang2 terhadap wanita yang nusyuz dan derhaka? Kenapa tidak sibuk mendefinisikan penutupan aurat (lelaki/perempuan)? Kenapa tidak dikuatkuasakan? Kenapa tidak perjuangkan isu pencabulan seksual (sexual harassment)? Apakah mereka suka wanita dicabul?!! Kenapa tidak perjuangkan kedudukan wanita2 Islam dlm ekonomi dan pembangunan negara? Siapa yg membela kesamaan usahawan wanita Islam dlm mendapatkan projek, geran, bantuan kewangan?

bila yg di'perjuangkan' cuma mengkhusus isu kontroversi, isu ini bukannya perjuangan membela, tapi lebih kpd politik dan nak tunjuk sapa handal (kononnya...)...lucu, lucu...

p/s:kalau boleh agaknya nak ada undang2 suami dan isteri gilir2 beranak hehehe

lelucon said...

satu lagi, kenapa tidak ada undang2 yg menghukum persetubuhan luar nikah (zina) dlm undang2 syariah? Adakah ia dianggap sah? Tak cukup bukti, walaupun ada bayi? hmmmm... :(

Anonymous said...

ya, pandangan anda bernas sekali lelucon.

Seperti yg saya katakan, perjuangan SIS ini hanya untuk memuaskan naluri dan nafsu semata2. Seolah-olah episod perjuangan 'balas dendam'. Diulangi seolah2 sahaja.

Banyak lagi sebenarnya boleh diperjuangkan oleh sis dan lebih releven dengan 'kegawatan sosial' sekarang.

Erm, kita nak kritik SIS ni berlebihan pun tiada gunanya. Sepatutnya pihak kerajaan perlu awal2 lagi mengharamkan sis ini. Atau tidak diharamkan tetapi menggubal perjuangan sis kepada yg lebih suci, murni, luhur dan bersih.

Tiada salah adanya pertubuhan yang memperjuangkan nasib wanita tetapi biarlah yang bertepatan dengan syariat dan fitrah yg telah ditetapkan oleh Allah. Sebab dulunya Rasulullah juga memperjuangkan nasib wanita sehingga wanita diangkat ke martabat yg mulia

Terima kasih pandangan lelucon, sgt bernas sekali, saya suka dan menghargainya. Hantarlah komentar lagi.

lelucon said...

saya baru terfikir... knp ya PDRM tidak ada cawangan jenayah Syariah? (sperti jenayah komersial, siber?)... sbb PDRM punya kepakaran dlm menganalisis bukti, menyiasat (ehem) dan tenaga kerja yg lengkap utk menangani kes jenayah? Lepas tu letak 1-2 pegawai agama dlm polis. Kurang juga rasuah dan arak...

Anonymous said...

Ukht,

Sungguh menarik sekali kupasan saudari.

Terutamanya menyentuh tentang punca mereka lebih kepada membalas dendam atau lebih tepat lagi kisah silam. Melalui buku yang biasa dibaca, kebanyakan aktivis wanita atau feminist mereka punya sejarah hitam atau dilayan tidak serupa seperti sepatutnya. Jesteru, mencampakkan mereka ke daerah buntu dan dendam. Paling malang, bila komuniti Islam lemah dan mereka dibantu oleh kumpulan liberal.

Kedua yang menariknya tulisan ukht, menyentuh objektif mereka meruntuhnya manhaj pentakhrijan konvensional hukum yang telah dibina beribu tahun oleh para sarjana dan ilmuan Islam. Natijahnya, sesiapa sahaja boleh memberi tafsiran literal tentang agama dan Quran.

Ketiga menarik juga saudari menyentuh tentang rebranding atau manhaj baru mereka dalam menyampaikan ideologi mereka.

Terakhir, tentunya tersebarnya polemik mereka, adalah kerana kelemahan kita juga. Jesteru, menjawab soalan saudari di akhir, wacana, method juga stratergi baru mendepani krisis pemikiran ini perlu disusun semula. Segera!

Sudah lama, bertahun-tahun lepas kami, kita memikirkan masalah yang sama. Kita sedar, peratusan puncanya kembali kepada kita juga. Apa yang kita telah lakukan sebenarnya?

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO