Wednesday, March 25, 2009

ALAHAI ANAK-ANAKKU...


Selamat pagi, jika anda membaca entri saya di waktu pagi. Selamat petang, jika membacanya di waktu petang. Good night jika membacanya di waktu malam dan salam qiamullail jika membacanya seusai solat tahajud. Keseluruhannya, Assalamualaikum w.b.t...bertemu lagi dan terus membaca.



Pernah melihat anak-anak saya? Inilah anak-anak saya. Ada lima orang semuanya, seorang lagi tiada dalam gambar. Paling besar namanya Nabihah (biha), 6 tahun. Diikuti oleh Fakhirah (yaya), 3 tahun. Alhamdulillah, selepas itu dikurniakan anak kembar lelaki iaitu Ikram dan Ehsan. Saya sangat sayangkan mereka. Yelah, mana ada ibu tak sayangkan anak bukan? Kucing pun sayangkan anak. Kecuali anak bulan...sebab bulan tiada ibu atau bapa.


Sebelum pergi kerja, sempat juga saya menguruskan mereka. Menguruskan apa yang sempat dilakukan. Selanjutnya tugas diambil alih oleh mak pula. Membangunkan mereka tidur, memandikan, mencuci kencing berak, bagi sarapan, mencium, memeluk dan menampar mereka jika buat perangai. Ops, menampar? Ya, menampar ala angin sepoi-sepoi bahasa. Yela, mak dia sibuk-sibuk siap pergi kerja, anak pula buat perangai. Apa lagi, tampar jelah punggung masing-masing. Bukan sakit pun, kena pampers!.


Nabihah, Fakhirah, Ikram dan Ehsan sememangnya anak-anak yang baik. Biha bijak belajar dan suka belajar. Dia suka berlakon jadi cikgu ketika main-main dengan adiknya. Yaya pula sibuk dengan tarian shufflenya, mungkin terpengaruh dengan pelajar AF7 yang pandai tarian shuffle. Ikram dan Ehsan baby lagi, cuma tahu ‘mengemas’ rumah. Maksud ‘mengemas’ ialah menyelerakkan apa yang telah dikemaskan. Pantang disergah sedikit, mulalah menangis. Manja...macam ibunya ini.


Siapa ayahnya? Jeng...jeng...jeng...Percaya atau tidak, mereka mempunyai ramai ayah. Lain ibu dan lain bapa.

Sebabnya, mereka bukan anak-anak sebenar saya. Mereka hanya menumpang kasih saya yang kasihan ini. Ibu ayah mereka pergi bekerja. Jadi, mak sayalah yang menjaga mereka sementara waktu. Secara tidak langsung saya turut terasa tempias jagaannya itu. Dapatlah saya menonjolkan bakat keibuan saya yang belum sampai masanya untuk ditonjolkan lagi. Adakah saya syok sendiri saya berbakat ibu? Tidak! Bagi saya, semua wanita di dunia ini semestinya dikurniakan Allah bakat keibuan.


Bukan maksud saya begitu kepingin memiliki anak, mahupun mengada-ngada untuk bergelar ibu. Cuma, sahabat saya kata, tahap usia saya sepatutnya sudah mempunyai anak kecil seperti mereka. Saya tidak menafikan. Sebab itu, saya menganggap mereka seperti anak-anak saya walaupun mereka memanggil saya Kak Long, bukan Mak Long. Bagus juga panggil Kak Long. Mak Long itu seakan saya ini sudah tua.


Apa kesimpulan dari cerita hari ini? Kesimpulannya, mari kita sama-sama belajar pendidikan anak-anak. Moga anak-anak yang lahir nanti seorang mujahid dan mujahidah. Jika dia doktor, dia adalah doktor yang mujahid. Jika dia jurutera, dia adalah jurutera yang mujahid. Seandainya dia pakar IT, dia juga mujahid. Seorang penulis juga adalah penulis mujahid. Andai dia memilih untuk menjadi artis, dia adalah artis yang mujahid.


Saya tak sanggup sarankan macam-macam untuk dilakukan. Takut terkena batang hidung sendiri kerana tidak mengotakan apa yang di kata. Namun begitu, tanggungjawab masing-masing untuk berubah dan terus berubah. Marilah kita saling nasihat-menasihati. Sekurang-kurangnya, jika tidak memperoleh pahala melakukan, kita memperoleh pahala menyebarkan. Semoga dengan sebaran tersebut, kita turut berubah kerana mengajak orang lain untuk berubah. Pastinya perubahan itu bermula dengan nasihat dan pandangan sekalipun kontroversi atau hangat-hangat tahi ayam.

1 Comentário:

Unknown said...

wa'alaikumsalam, kakchik baca belah petang ni sementara tunggu kertas kerja habis dicetak. hehehe, pandai jugak buat lawak. kakchik pun ada ramai anak macam ustazah juga, kakchik ada 6, sorang 10 tahun, 2 org 5 tahun, sorang 4 tahun, sorang 3 tahun dan sorang 9 bulan. w/pun cuma mak sedara, diorang lebih dengar cakap kakchik berbanding ibu ayah masing-masing, kalau balik keje, semua menunggu di beranda, berebut nakkan perhatian, masing-masing memanggil, "chikja... chikja..." even yg kecik sekali tu menolak bibik minta didokong. tak rugi mengaplikasikan ilmu pendidikan awal kanak-kanak kepada mereka & terasa beruntung mempelajarinya.

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO