Friday, May 8, 2009

CGPA BUKAN PENENTU KEJAYAAN


*Artikel di bawah adalah merupakan penulisan saya terdahulu yang dipapar semula. Saya fikir ia sangat baik dihayati dalam situasi mahasiswa yang sedang mengambil peperiksaan, sudah selesai peperiksaan atau baru sahaja menamatkan program pengajian di saat ini.

*Saya dalam usaha menyiapkan artikel 'CABARAN KEPIMPINAN MUSLIMAT MUDA', perlukan sedikit masa untuk penilaian dan pandangan. Harapan, penulisan di bawah sebagai nilai tambah buat sementara waktu.


”Ish, takutnya nak tunggu result minggu depan”, kata adik saya menyatakan kerisauannya terhadap keputusan final exam semester lepas. Sekarang memang masanya, kebanyakan student U menanti-nanti keputusan exam dengan harapan yang menggunung tinggi.


Kegundahan menanti keputusan peperiksaan sememangnya dirasai oleh semua mahasiswa. Kadang-kadang yang lebih cemerlang akademiknya lebih rungsing daripada yang kurang cemerlang. Yang bijak rungsing takut-takut keputusan tidak memenuhi harapan, yang kurang cerdik ’cool’ sahaja, mungkin beranggapan cukuplah sekadar cukup-cukup makan. Dulunya semasa bergelar mahasiswa, saya juga rungsing cuma belajar berlagak tenang.


Mentaliti kebanyakan mahasiswa telah dikemuncupkan dengan ’mind setting’ yang pesimis tentang kecemerlangan. Bagi mereka kecemerlangan itu ialah duduk terperap di dalam bilik, belajar dan belajar, jawab peperiksaan, dapat CGPA sekurang-kurangnya 3.5 dan tamat pengajian dengan Ijazah kelas pertama. Mereka adalah golongan yang hanya mengangkat topi kepada mahasiswa yang berjaya menggapai kejayaan seperti itu. Tabiat pemikiran mereka bukan berada pada litar ’single track mind’- menjangkaui disiplin ilmu yang lain.


Sebaliknya, bagi pelajar yang tidak memenuhi sasaran kecemerlangan berdasarkan CGPA yang tinggi tetapi memiliki kemahiran dan kecenderungan tertentu telah dikesampingkan. Golongan ini bukannya kurang cerdik cuma kurang CGPA. Ketika ini timbul pandangan serong, ”itulah, aktif sangat berpersatuan sehingga akademik terabai”. Malah, aktivis persatuan ini dikatakan telah melakukan ’jenayah akademik’di mana penglibatan dalam organisasi sudah menjadi fitnah kerana akademik yang merudum.


Bukan mereka tidak berusaha tetapi sudah usaha, cuma keterbatasan dan kemampuan tertentu untuk meletakkan akademik sebagai subjek utama dalam kehidupan kemahasiswaan. Saya tabik golongan sebegini. Agenda hidupnya bukan setakat belajar tetapi cuba mencapai disiplin ilmu yang lain. Dengan pengalaman dan gerak kerja organisasi, golongan ini lahir dengan kecerdasan yang sangat seimbang. Baik dari segi Kecerdasan Intelektual (Intelectual Quotient - IQ), Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient - EQ) dan Kecerdasan Spiritual (Spiritual Quotient - SQ) . Lebih-lebih lagi mereka yang menyatukan diri dengan sebuah organisasi Islam yang sudah tentu menerapkan elemen-elemen ‘multidisciplinary’ dalam setiap kegiatannya.


Adakah anda ingin menjadi golongan dengan kerjaya bergaji besar, setelah penat bekerja lalu tidur, lapar cari makan, balik kampung bila rindu mak ayah, kahwin beranak pinak, sakit masuk hospital dan bila tua menunggu ajal? Atau menjadi golongan yang seimbang IQ, EQ dan SQ dan dengan keseimbangan itu, anda menyumbang sesuatu buat pembangunan masyarakat sekitar?


Mahasiswa atau penuntut yang pintar di sekolah (yang mempunyai keputusan peperiksaan dan CGPA yang bagus) belum tentu menjadi orang yang berjaya di dalam masyarakat. Dalam erti kata yang lain, kejayaan dalam hidup tidak hanya ditentukan oleh keputusan peperiksaan atau CGPA seseorang. CGPA hanya satu format penilaian kepada pelajar terhadap markah peperiksaan dan kerja kursus yang tidak mengambil kira sama ada pelajar itu betul-betul belajar, terpaksa belajar atau belajar untuk ambil peperiksaan semata-mata. Maka tidak mustahil, ada di kalangan mereka yang membawa ‘toyol’ ke medan peperiksaan, menyalin assingment teman sekuliah, belajar bersama kekasih di kafeteria dan meninggalkan solat Subuh kerana tidak cukup tidur, turut mendapat CGPA yang tinggi. Adakah mereka di kalangan yang berjaya dalam hidup?


Ketulusan, integriti, tanpa maksud atau tujuan tertentu, rendah hati, rasa hidup bertuhan dan kecenderungan dalam kebajikan sosial adalah beberapa perkara penting dalam kehidupan spiritual yang memberi kepuasan menyeluruh apabila seseorang itu menemui kejayaan, malah kebahagiaan.


Namun jangan salah anggap. Saya tidak bermaksud anda tidak perlu berusaha untuk mendapat CGPA yang baik. Cuma jika anda berjaya mengejar banyak tuntutan dalam hidup terutama aktiviti spiritual, anda akan temui suatu cahaya yang menerangi lorong-lorong hidup anda yang semakin gelap.


Menurut Daniel Goleman iaitu seorang ahli psikologi, Kecerdasan Intelektual (IQ) hanya menyumbang lebih kurang 5 hingga 10 peratus kejayaan hidup. Selebihnya adalah gabungan beberapa faktor lain, yang salah satunya adalah kecerdasan emosi. Menurut Paul Stoltz pula, IQ adalah sebahagian kecil daripada pohon kejayaan dalam segala hal. Stoltz yang menulis buku terkenal, Adversity Quotient (Gramedia, 2000), mengatakan, usaha, bakat dan kemahuan, sifat, kesihatan kecerdasan, faktor genetik, pendidikan, dan keyakinan adalah kunci kejayaan manusia.


Kecerdasan boleh bersifat kontekstual. Masalah yang dihadapi ataupun keadaan, menjadi faktor penting ketika kecerdasan ditentukan atau dikenal pasti. Sebagai contoh, ketika seorang mengalami kerosakan kereta, siapakah yang lebih diperlukan? Seorang profesor ekonomi berkelulusan PhD luar negara atau seorang mekanik lulusan politeknik? Saya yakin, semuanya akan menjawab mekanik, walaupun dia hanya berkelulusan sijil politeknik. Maka, siapakah yang lebih bijak antara keduanya dalam hal ini? Kenyataan ini sekaligus menunjukkan kecerdasan bersifat konstektual.


Sebahagian yang lain lebih mengagumi Thomas Edison daripada peninju Muhammad Ali. Sebahagian yang lain pula mengagumi Albert Einstein daripada Mike Tyson. Ini tidak salah. Namun ia membuktikan kurangnya penghargaan kepada kemampuan lain yang dimiliki oleh setiap orang yang berlainan. Jika dinilai dari sudut IQnya, mungkin Thomas Edison dan Albert Einstein lebih pintar, tetapi dari sudut kecerdasan kinestatik Muhammad Ali dan Mike Tyson lebih hebat.


Anda juga punyai kelebihan dan kecenderungan tertentu. Cari, gali dan bangunkan keistimewaan yang anda miliki walaupun setakat mahir menggubah bunga atau melukis kartun. Tidak mustahil bunga yang anda gubah memikat hati manusia lantas mengagungkan kebesaran Allah dan kartun yang anda lakar berguna sebagai medium dakwah menyedarkan manusia.


Kekuatan terbesar bukan terletak pada bahagian luar tubuh badan manusia, tetapi ada pada diri manusia itu sendiri. Masalahnya, manusia kurang mengenal dirinya. Betul apa yang dikatakan oleh Socrates apabila dia mengatakan masalah utama manusia adalah pengenalan diri. ”Gnothi Teauton,” kata Scorates yang bermaksud ”Kenalilah diri anda sendiri!”.


Alangkah ruginya mereka yang merendah diri kerana tidak berpelajaran tinggi, rugi lagi yang meninggi diri dengan kerjaya dan jawatan tetapi tidak memahami tujuan sebenar kehidupan. Anda beruntung jika berada dalam kelompok ketiga ini. Iaitu mengenalpasti kemahiran dan kecenderungan diri lalu bangunkan ia atas nama Islam. Kenal diri, anda akan temui sesuatu yang membanggakan!


Anda pandai melukis? Apa kata anda bangunkan kemahiran itu atas nama Islam. Lihat seperti lukisan di atas.



5 Comentários:

Faridrashidi said...

Salam,

Untuk artikel ini, saya bersetuju dengan kamu.

lelucon said...

saya lebih cenderung pd 'kecerdasan'/kecemerlangan yg dinilai mengikut konteks. (dinyatakan di atas).

Pd saya pula, tanggungjawab utama sbg pelajar adalah CGPA. Bukan bermakna yg lain tak penting, tapi konteks sbg pelajar utamakan CGPA. Yg lain itu sampingan (ibadah tu mmg kena buat,wajib, takde konteks). Maka 'mindset' sbg pelajar kena CUBA dapatkan CGPA terbaik dgn cara yg baik. Bahkan ibadah khusus pendorong utk capai yang terbaik cth: doa, solat hajat dsb. Jd sebaiknya pelajar kena fokus itu dahulu. Tp saya bersetuju penilaian tidak 100% pd CGPA.

Cuma saya nak tambah sikit. Tp kalau dah CUBA yg terbaik, tk dapat juga hasil yg terbaik, takpe lah. Patut berbangga sbb kita dah CUBA. Kenapa? Sbb patut dibanggakan juga usaha mencuba itu. Sebenarnya usaha 'cuba' itu lebih layak dibanggakan berbanding hasil/keputusan yg diterima.

Rasanya usaha memotivasi pelajar/orang ramai perlu juga masukkan prinsip menggalakkan kita mencuba (tapi hari ni prinsip sebegini sangat kurang). Sbb itu kita mudah rasa putus asa, sbb kita tengok pd hasil, bukan usaha yg dicurahkan.

tambah pula, budaya masyarakat maju ialah semangat suka mencuba/meneroka secara rasional. Sbb itu budaya penyelidikan bercambah dgn mudah. Maka kalau nak jd maju, kena galakkan mencuba, dan jgn fokus pd hasil semata-mata.

nahwanNur said...

Assalamualaikum,

"Menuntut ilmu itu satu kewajipan tapi mencapai kecemerlangan adalah satu keperluan"-dr Yusuf Al-Qardhawi

wallahua'lam

ustazah-engineer said...

Individu yg menyedari ilmu suatu kewajipan akan berusaha belajar ilmu itu dengan berjaya. Kemudian mengajar & mengamalkan ilmu. Ketika itu, tonjoklah sesuatu yg dinamakan USAHA.

Konstektual berjaya pada saya, ialah bagaimana seseorang meletakkan dirinya pada kadar paling optimum yg mampu dicapai oleh dirinya. Dalam keadaan ini, kita menerima pada setiap orang berbeza kemampuannya. Ia dinamakan BERANI MENCUBA KE ARAH USAHA.

InsyaAllah, USAHA itulah dinilai sebagai AMAL. Setiap inci usaha kebaikan itulah AMAL. Pahala adalah pada amal seseorang sekalipun ia berjaya atau gagal.

Betul kata lelucon, usaha itu lebih layak dibanggakan daripada hasil.

namun, jangan lupa meletakkan 'target hasil' apa yg kita nak capai? Dari 'target hasil', kita akan beroleh sesuatu yang dinamakan MOTIVASI.

Selamat BERUSAHA dan mencapai KEJAYAAN.

Kembara Ilmu said...

Realiti hidup sekarang, pencapaian akademik bukanlah satu-satunya penentu kebahgian dan kejayaan hidup hidup seseorang. (faham betul2 maksudnya)

bagi saya, amalah rugi golongan yang berada di universiti tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan akademik. di sini, saya tidak menyatakan bahawa CGPA tinggi bermakna mahasiswa itu bijak. CGPA bukan satu2nya pengukur kecemerlangan seseorang mahasiswa. namun ia adalah salah satu pengukur. jika dikatakan seseorang mahasiswa itu mencapai CGPA rendah disebabkan terlalu aktif berpersatuan, maka ini adalah golongan yang rugi. mereka perlu sedar tujuan utama berada di universiti adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik di samping pencapaian2 lain seperti kemahiran insaniah.

jika CGPA rendah, perlu difikirkan kenapa jadi begini. adakah disebabkan mengabaikan pelajaran seperti terlampau aktif persatuan atau memang sudah kemampuan diri atau apa2 lagi sebabnya.

jika pencapaian akademik rendah kerana aktif persatuan, ini salah mahasiswa. apa salahnya jika aktif persatuan tetapi akademik tetap diutamakan?

Kesimpulan: Jadilah mahasiswa yang menghargai peluang. Rebutlah peluang untuk mengingkatkan pencapaian akademik di samping pada masa yang sama meningkatkan pencapaian dalam kemahiran insaniah.
Jangan jadi mahasiswa:
1. Utamakan akademik semata-mata hingga tiada kemahiran2 lain
2. Abaikan akademik semata-mata untuk membina kemhiran insaniah

Jadilah mahasiswa seimbang yang bukan hanya cemerlang akdemik malah cemerlang dengan kemahiran tersendiri.

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO