Monday, May 18, 2009

SELAMAT HARI PENDAKWAH!


“Petikan menjelaskan tentang punca-punca keracunan makanan di kalangan masyarakat Malaysia”, tutur saya sewaktu mengajar minggu lepas.


“Cikgu, perkataan ‘di kalangan’ tak boleh guna. Cikgu kat sekolah kita orang ajar ‘dalam kalangan’. Kalau tulis ‘di kalangan’ salah!,” tegur salah seorang pelajar.


“Eh, ye ke?. Cikgu tak pernah dengar pun orang lain sebut ‘dalam kalangan’. Cikgu pun wartawan dan menulis juga, tak pernah cikgu guna perkataan tu. Lagipun dalam mana-mana tulisan akhbar ke, majalah ke, biasa guna ‘di kalangan’,” jawab saya.


Nampak macam pertahankan diri pun ada juga. Maklumlah, tercabar juga wibawa sebagai guru untuk kesilapan yang begitu remeh.


Saya cuba memadankan perkataan tersebut dengan ayat. “…keracunan makanan ‘dalam kalangan’ masyarakat Malaysia. Isshh..macam something wrong pulak bunyi ayat dia. Bersungut sendiri.


“Tak cikgu, betul!. Cikgu kita orang kat sekolah sebut macam tu. Dekat akhbar memang dorang masih tak tukarkan lagi ‘di kalangan’ dengan ‘dalam kalangan’. Sebenarnya, memang ‘dalam kalangan’."


Dari detik itu, bermula sekali lagi episod Pelajar Mengajar Cikgu dalam sejarah saya yang sepicing ini.


Dulunya, kerap kali juga murid mengajar saya. Tamat diploma, sementara membuat permohonan ijazah di universiti yang sama, saya menimba pengalaman mengajar. Dari kerjaya itulah, saya belajar dengan mengajar orang lain. Pengetahuan dimiliki, pengalaman didambai, cabaran dicari. Segalanya bermula dengan satu proses timbal balik daripada pelajar ke diri saya kembali.


“Ustazah!, ustazah salah eja ‘untuk’. Sepatutnya ada huruf ‘waw’ lepas huruf ‘alif’,” tegur murid darjah 2. Saya terbiasa dengan kaedah tulisan jawi lama ketika itu.


“Ustazah!, ustazah lupa nak tulis tarikh dan hari dekat papan hitam”, tegur seorang lagi.


“Ustazah!, tengok Bahak ni, dia pukul saya!”, seorang murid mengadu. Bahak antara murid saya yang paling nakal. Kerana kenakalannya, dia diejek dengan gelaran ‘Bahak ketawa terbahak-bahak.’


Selama setahun saya dihadapkan dengan pelbagai tahap pelajar dalam satu hari. Pagi menjadi guru kafa menengah di sebuah sekolah agama rakyat. Tengah hari mengajar 4 subjek tanpa henti di Sekolah Menengah ABIM. Selepas Zuhur, balik semula ke sekolah agama rakyat mengajar darjah 2 dan 3. Kadang-kadang menjadi guru ganti kelas tadika. Tekanan bertambah, tugas diberatkan lagi sebagai kerani di sekolah yang sama.


Rutin harian saya, keluar jam 7 pagi dan balik jam 7 petang. Sahabat akrab saya ketika itu ialah cabaran dan tekanan yang bergilir-gilir memaut hati ini dengan neraca iman. Alhamdulillah, saya betah dan tabah dengan sebuah prinsip akidah iaitu ‘Kerja Kerana Allah’.


Ramai orang menyarankan saya menjadi guru. Katanya, menjadi guru senang. Waktu kerja pendek, sabtu ahad tidak bekerja, cuti sekolah bercuti lagi dan tidak ada outstation. Tambahan, jika sebagai guru kerajaan tentu banyak kemudahan.


Pada asasnya, kerjaya guru nampak senang. Yang paling susah ialah menjadi pendidik. Paling sukar ialah menjadi murobbi. Dalam masa yang sama dia juga seorang guru. Maksudnya, menjadi guru dengan menjiwai integriti.


Pendidik dalam erti kata lain ialah pentarbiyyah. Tarbiyyah ialah satu proses membawa manusia semakin hampir dengan Allah. Begitu juga murobbi yang dibebani dengan kata ‘robbi’ beerti Tuhan (baca: Allah). Ia berbeza dengan pengertian seorang guru yang terbatas pada ruang lingkup definisi kerjaya atau tugas. Pandangan saya, definisi guru tiada membawa beban kerohanian.


Sebagai tamsilan, seorang guru sains mengajar anak muridnya tentang teori tenaga E=mc2. Sememangnya dia seorang guru yang memperkenalkan ilmu sains yang tulen. Meskipun begitu, dia bukan seorang pentarbiyyah dan murobbi andai dia gagal menjelaskan siapa yang mencipta tenaga, dari mana tenaga datang, kemana tenaga akan kembali dan untuk apa tenaga itu digunakan.


Kembali kepada Allah – itulah prinsip pengajaran seorang pentarbiyyah atau murobbi.


Bukan saya tidak sukakan kerjaya guru. Malah, saya juga seorang guru sambilan dalam masa yang sama. Dulu, sebagai guru agama rakyat. Kali ini sebagai guru tuesyen rakyat. Cuma saya rasa satu kerugian andai guru tidak benar-benar menjiwai bidang membangun insan. Tiada kompetensi iaitu kemampuan dan integriti iaitu amanah.


Cikgu hanyalah satu gelaran kerjaya. Sebagaimana gelaran ‘Ir’ pada jurutera, gelaran ‘Ar’ pada arkitek dan gelaran ‘Dr’ pada pegawai perubatan. Begitu juga gelaran Biduan dan biduanita pada ahli seni.


Saya bukan mahukan kerjaya sebagai guru. Saya mahu menjadi pendidik. Pendidik tidak semestinya berada di sekolah dan universiti. Pendidik bukan hanya mengajar orang di papan putih atau hitam.


Penulis juga adalah pendidik. Wartawan Islam juga adalah pendidik. Dia mendidik manusia dari mata penanya. Kadang-kadang, mata pena itulah lebih berbisa dari cakapan dan bebelan yang tidak ikhlas serta lancang dari mulut seorang guru!.


Setiap tempat adalah sekolah, setiap orang adalah guru. Guru mengajar tentang kehidupan, bukan hanya mengajar tentang subjek pelajaran. Bukan juga tunggu gaji di hujung bulan.


Guru sebenar ialah pendidik. Hakikat seorang guru ialah pendakwah.


SELAMAT HARI PENDAKWAH!

p/s: Saya mengharapkan anda berhati-hati ketika memahami maksud entri saya kali ini. Ia memerlukan anda berfikir di luar kotak malah lebih jauh lagi berfikir di luar terowong. POSITIF!.



2 Comentários:

Anonymous said...

Salam ziarah.
Selamat hari pendakwah.Semoga dipermudahkan urusan walimah bersama pasangan suami,insyaAllah.

Ana juga ingin menjadi pendidik.Rasulullah saw adalah sebaik-baik pendidik.

Ana juga ingin menjadi murobbi.Semoga tarbiyah yang ingin dikongsi bersama insan dan sahabat-sahabat lain, dapat mentarbiyah diri terlebih dahulu.InsyaAllah.

Jazakallah.

ustazah-engineer said...

Syukron atas ucapannya. Semoga rumahtangga ana kelak dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah dari Allah s.w.t.

Benar. Dengan motivasi mahu mentarbiyyah orang lain, kita terlebih dahulu mentarbiyyah diri.

Semoga kita menjadi role model terbaik dalam usaha itu.

RASULULLAH ADLH GURU TERBAIK & ISLAM ADALAH SILIBUS PENDIDIKAN TERBAIK!

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO