Wednesday, June 10, 2009

CINTA BAJU BARU

"Sayang, nanti tulislah tentang kisah kehidupan kita sebelum berkahwin dalam blog. Tulis macam buku yang abang baca tu, macam mana dia kisahkan tentang cinta dia dan suami,” pinta suami saya.


Suami saya lebih awal menamatkan bacaan buku tulisan Fatimah Syarha itu. ‘Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul’ tidak kurang bezanya dengan dua hasil tangan Ustaz Hasrizal, ‘Aku Terima Nikahnya’ dan ‘Bercinta Sampai ke Syurga’. Kelainannya, ia dari suara hati dan pengalaman hidup seorang isteri. Buku tersebut dihadiahkan seorang sahabat semasa walimah kami.



“Abang tengok ramai pendakwah seperti kita ini turut hanyut dengan nafsu bercinta. Ustaz atau tidak ustaz, bila masuk bab bercinta ramai yang gagal mengawal perasaan. Panggilan ‘abang’ dan ‘sayang’ sudah dipraktikkan sebelum kahwin lagi. Belum kira lagi yang berSMS dan bergayut dengan panggilan telefon,” keluh suami.


“Bila dah sampai ke tahap itu, mulalah kurang komitmen pada dakwah. Macam-macam alasan yang diberi. Padahal jiwa tengah bergelora melayan cinta sebenarnya,” sambungnya lagi.


“Ish, dah start panggil 'abang' dan 'sayang' ke? Tak syoklah macam tu. Panggilan tu dah jadi basi lepas kahwin,” ngomel saya mengiyakan rasa kesal suami.


“Macam pakai baju rayalah. Baju tu kita beli sebagai baju raya. Tapi kita dah pakai banyak kali sebelum hari raya. Bila tiba hari raya, kita tetap memakai baju itu. Maksudnya, kita memakai baju yang telah lusuh, baju lama dan dah hilang kualitinya pada hari yang patut kita memakainya iaitu hari raya.”

Saya terus mendengar bicara suami malam itu.

“Lebih kurang macam itulah hubungan lelaki dan perempuan, suami dan isteri. Kalau sebelum kahwin dah buat macam-macam perkara yang sepatutnya haram dibuat, ibarat dia telah memakai baju itu sebelum tiba masanya. Sepatutnya baju itu dibeli awal tetapi disimpan dahulu. Seperti cinta, simpan dulu. Kahwin nanti barulah diluahkan. Cuba kalau masa raya kita dapat memakai baju yang baru, apa perasaan kita?”.


Bahagia. Tenang. Kasih-sayang. Romantik. Menghargai. Menerima. Merindui. Cinta..


...dan pelbagai rona rasa memenuhi relung jiwa kami ke dasar yang paling dalam. Kami baru merajai nikmat itu di saat ini. Entah dari mana naluri itu hadir, walhal ia tidak pernah dikendong, seringkali dibendung.


Selama 4 tahun kami menyimpan ‘baju’ cinta itu. ‘Baju’ itu dibeli 4 tahun yang lalu. Pada 29 Mei 2009, seusai diijabkabulkan, ‘baju’ cinta itu dikenakan secara sahnya pada jasad kami tanpa gelisah dan keluh kesah. Ketat atau longgar, labuh atau senteng, terkoyak atau sempurna, kami sudah sedia untuk saling menerima.


4 tahun bukan tempoh yang singkat untuk kami mengawal gelojak nafsu syahwat. Tidak semudah untuk bermujahadah. Namun, 4 tahun yang berlalu menemukan kami dengan satu titik nikmat cinta yang tidak mampu diungkapkan oleh orang yang gagal bercinta; yang terlebih awal mengenakan ‘baju’ pada jasad masing-masing sebelum tiba waktunya.


Tidak keterlaluan, hubungan kami sebelum berkahwin dalam tempoh 4 tahun itu tidak pernah dihambat masalah, krisis dan konflik sekalipun kecil. Lancar, selancarnya taqwa mengawal emosi. Masalah tidak wujud kerana tiada keperluan untuk masalah itu diwujudkan. Tawakkal sehebat burung, kami serahkan segalanya pada Rahman & Rahim Allah.


‘Abang’ dan ‘Sayang’ – Ia menyusul selepas panggilan 'ana' dan 'anta'. Kadang-kadang tersasul memanggil dibuatnya.


Romantiknya...

Kalian mahu merasai perasaan tersebut? Mahu merasa nikmat keberkatan hubungan itu?


Muhasabah dahulu ‘baju’ yang kita pakai di saat ini.


Seterusnya, bersama saya dengan CINTA BAJU BARU – CINTA SELEPAS BERKAHWIN!.


5 Comentários:

Anonymous said...

Jazakallah atas motivasi dari suami akak.

InsyaAllah,moga ada keberkatan pada berkongsi kebahgiaan hidup berumahtangga.

Juga jadi suntikan motivasi buat pejuang-pejuang kecil diluar sana.InsyaAllah,bisa juga dijadikan ukuran buat masa yang akan datang.

Pernah juga membaca penulisan ukht Fatimah Syarha.Lembut mendidik.

Teruskan berkongsi,akak. Moga ada kebaikan nya.
Sambil mentelaah situasi semasa, dan fikrah ,ana juga suka untuk membaca kisah kehidupan baitu muslim.Di jepun, ada juga baitu muslim yang tidak jemu berkongsi atas landasan tarbiyah.InsyaAllah akan ana kongsikan di lain masa.

Anonymous said...

( Juga ucapan innalillah buat syuhada'2 di selatan Thai.Lemahnya iman kami, hanya doa dari jauh yang mengiringi.Moga berbahgia di raudhah Allah. )

Tinaros Tina said...

Salam..
Indahnya Dakwah Pada Jalan Yang di redhai..
Selamat berbahagia sahabat ku bersama Cintamu..
Semoga perjalanan dakwah bersama akan kekal di hingga ketitisan darah yang terakhir untuk mereka yang tidak akan pernah mengenal erti lelah..

Unknown said...

Alhamdulillah... suka kakchik membaca coretan ini sambil tersenyum simpul. Satu permulaan yang sangat baik untuk sebuah pelayaran bahtera rumahtangga yang kalian baru bina. Asas kefahaman sebegini kakchik harap akan membuahkan hasil dalam bentuk catatan-catatan yang boleh menjadi panduan hidup orang lain. Secara peribadi, bercinta selepas kahwin begitu banyak indahnya, manis dan romantik, kekuatan untuk terus bergerak di medan perjuangan Islam juga semakin kuat. Semoga ustzh & suami akan bahagia dan membahagiakan.

p/s: terima kasih kerana sudi menziarahi kakchik di zahra'. gambar-gambar ada kakchik masukkan di sini http://www.facebook.com/home.php?ref=home#/album.php?aid=2024845&id=1250134055&page=2

Anonymous said...

Maknanya sebelum kawin ni pun masing-2 dah booking badan la .... itu takde bezanya dengan cinta sebelum kawin yang dipraktikkan oleh kebanyakkan orang ... jgn terlalu bangga sangat sambil riak membandingkan diri dengan mereka yang bersayang-2 sebelum kawin ....

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO