Wednesday, December 30, 2009

Kuliah Hijrah & Sate Samuri

Malam tadi Allah memberi ruang kepada saya dan suami hadir ke sesi kuliah Ustaz Kamal Ashaari di Masjid Kg. Nakhoda. Masjid yang terletak berdekatan dengan rumah saya itu adalah masjid pilihan utama. Karpetnya tebal ditambah dengan kemudahan air-cond.


Penceramah jemputan juga bukan calang-calang orangnya. Terdahulu, masjid ini pernah menerima kehadiran pimpinan politik Hamas. Malam ini, Ustaz Nasarudin Tantawi dijemput memberikan ceramah. Saya tidak sabar mendengar mutiara nasihat dari tokoh haraki ini. Pada saya, beliau seorang yang luar biasa ketika berucap.


"Majlis ilmu bukan sekadar untuk mendapat pengetahuan, tetapi majlis ilmu bertujuan untuk menambahkan iman dan keyakinan kepada Allah, Rasul dan Islam," kata Ustaz Kamal dalam kuliahnya.


Saya setuju dengan kata ustaz. Ramai antara kita termasuk saya yang hadir ke majlis ilmu hanya mendapat tahu. Iman dan keyakinan kita kepada Allah, Rasul dan Islam tetap ditahap yang sama. Kita hadir sebagai pendengar yang setia tetapi pulang sebagai pelaku yang ingkar.


Salah satu cara untuk beroleh hidayah ialah hadir ke majlis ilmu. Namun, hanya sebilangan orang yang memperoleh hidayah itu. Kecuali suami saya sebab isterinya bernama hidayah. Ramai lagi yang mendapat hidayah walau tidak ke majlis ilmu sebab isterinya bernama hidayah. Ia mendapat hidayah di rumah.


"Kekuatan hijrah Rasulullah dan para sahabat ada tiga. Pertama Iman, kedua ukhuwwah dan ketiga doa,"
sambung ustaz Kamal lagi.


Rasulullah dan para sahabat berhijrah bukan kerana kebendaan dan ketakutan. Mereka berhijrah kerana perintah Allah. Sirah seperti kisah Sumayyah dan Bilal bin Rabah menceritakan risiko dan cabaran yang harus ditempuh untuk bergelar Islam.


Untuk mengakui bahawa Allah itu Tuhan dan Rasulullah itu ikutan, mereka harus kuat dan tabah menghadapi cabaran, ujian dan risiko daripada Kafir Quraisy. Keperitan dan susah payah yang dihadapi menyebabkan mereka amat menghargai iman dan Islam. Mereka bersusah payah memelihara akidah sebagaimana susah payah yang mereka hadapi ketika mereka mengakui akidah itu.


Sebaliknya berlaku pada kita hari ini. Kita menganut Islam dalam zon yang amat selesa. Tiada siapa yang membunuh kita jika kita lahir sebagai Islam. Tiada siapa yang menanam kita hidup-hidup jika ibu dan ayah kita menamakan kita dengan nama Islam. Tiada pemimpin yang akan mencampakkan kita ke dalam api hidup-hidup bilamana kita lahir ke dunia. Kerana itu ramai yang menganggap Islam boleh diambil dan dibuang dengan mudah.


Itulah antara pesan Ustaz Kamal.


................................


Selesai kuliah Ustaz Kamal, kami dijamu dengan mihun sup. Sudah lama tidak menikmati mihun sup. Ilmu pun dapat, mihun sup pun dapat. Agaknya apa pula jamuan malam ini?...


Habis makan mihun sup, perut kami masih terasa lapar. Saya teringin pula menikmati Sate Samuri di Taman Melati, Gombak. Kami bercadang mengambil angin malam itu.




Jom makan Sate Samuri di Taman Melati! Sate yang sedap, standard sate Kajang. 1 cucuk 60 sen.

1 Comentário:

Miss X said...

Saya terima pelawaan akak. Nanti balik saya tuntut. Hehe

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO