Wednesday, April 29, 2009

SILA PEKA ISU INI

Tak sampai sebulan menjadi Perdana Menteri, pelbagai perkara merapu yang dilakukan oleh Najib termasuk dalam soal ekonomi, pembentukan kabinetnya hinggalah soal agama.


Baru-baru ini kabinet Najib telah mengeluarkan kenyataan tentang status agama anak, jika salah seorang ibu bapanya menukar agama.


Kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.


Sebagai contoh, jika ibu bapanya menganut agama Hindu semasa mereka berkahwin dan selepas itu, bapanya menukar ke agama Islam, maka anak-anaknya masih beragama Hindu sehinggalah berumur 18 tahun. Selepas 18 tahun, baru anak-anak dibenarkan membuat pilihan agama yang disenanginya.


Keputusan kabinet Najib itu dibuat berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.


Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Islam menyifatkan tindakan menyerahkan sesuatu perkara kepada orang yang bukan ahlinya sebagai tindakan zalim. Persoalan akidah anak penganut agama Islam diserahkan kepada Koh Tsu Koon dan Subaramaniam sedangkan perkara itu boleh dilakukan melalui timbang tara pelbagai pihak yang lebih adil dan memahami.


Keputusan kerajaan bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agama, bercanggah dengan hukum syarak, kata beberapa mufti.


Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata dalam Islam, mana-mana bapa atau ibu menganut Islam, anak mereka dengan sendirinya beragama Islam kecuali yang sudah berumur lebih 15 tahun boleh memilih agamanya sendiri.


Di bawah ini, saya nyatakan links berkaitan tentang perkembangan isu setakat ini. Turut serta, beberapa respon dari sudut pandang agama dan perundangan.


Sila baca mengikut turutan.

Anak mengikut agama asal ibu bapa - Berita Harian

Anak mengikut agama asal ibu bapa bercanggah syarak - Berita Harian

Penentuan status perlu ikut hukum dan perundangan - Berita Harian

Isteri Ridzuan fail saman pemula hak penjagaan - Berita Harian

Keputusan status agama anak ikut hukum syarak - Berita Harian

Keputusan kabinet Najib takutkan rakyat peluk Islam - Harakahdaily

Gadai agama tidak wujudkan perpaduan



Saya 'memaksa' seluruh masyarakat yang mencintai Islam dan perpaduan agar cakna dengan isu ini. Jika tidak, jangan salahkan saya seandainya anda dikatakan sangat mementingkan diri sendiri.


InsyaAllah, saya akan terus mengkaji, menyelidik dan mengutip perkembangan dari semasa ke semasa. Dan akan menemui orang yang lebih layak untuk mengusulkan pandangan dan kritikannya bagi topik muslimah akan datang.

SELAMAT MENJADI MASYARAKAT YANG CAKNA!


Monday, April 27, 2009

SAYA, BUKU & PESTA BUKU

Alhamdulillah, Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung minggu lepas meninggalkan pelbagai kenangan bagi saya. Mungkin bagi sebilangan orang, tiada apa yang mahu dijadikan kenangan sebab Pesta Buku bukan peristiwa penting dalam hidup. Keperluan utama, dapat memiliki buku yang kita gemari. Itu sudah cukup.


Membeli dan memiliki buku baru ibarat memiliki semangat membaca yang baru. Selainnya, memperbaharui buku sama dengan memperbaharui ilmu, pemikiran dan pandangan masa hadapan. Pasti itu yang dirasai kebanyakan orang yang optimis dengan buku.


Sebenarnya buku bukan memuaskan kemahuan hobi, tetapi buku membentuk peribadi. Baik kandungannya, itulah yang mengubat hati yang sakit. Mantap ideologinya, itulah yang membentuk pemikiran yang matang. Tinggi ilmunya, setinggi itulah daya intelektual yang bakal terbina. Kalau kita gagal merasainya, tandanya kita gagal memilih sesuai dengan keutamaan dan keperluan semasa.


Hati-hati dalam memilih antara dua keadaan. Sama ada buku yang suka dibaca atau buku yang perlu dibaca. Perlunya keupayaan memilih.


MENGUTIP MUTIARA DI LAUTAN BUKU

Segala puji bagi Allah yang memberi kelapangan kepada saya. Saya berpeluang 5 kali ke Pesta Buku. Kebetulan ofis Muslimah dekat dengan PWTC. Dengan kesempatan itu, saya dan Kak Nik editor mencari bahan untuk majalah. Meninjau buku-buku tertentu untuk ulasan, sesi temubual dengan penulis, hadir ke beberapa pelancaran buku, dan mendapatkan maklumat berkaitan.


Amat banyak sekali mutiara yang dapat dikutip di sebalik lautan buku yang sebegitu luas. Mutiara yang paling mahal harganya ialah bersama dengan Tuan Guru Nik Aziz dan isteri sepanjang pelancaran buku Bidadari Dari Timur, karya Tuan Sabariah, isteri Tok Guru. Saya dan dua sahabat Nisa’ Gombak bertugas sebagai pengiring. Rasa macam ‘bodyguard’ pula. Paling seronok, dapat makan semeja.



Saya mengagumi akhlak Tok Guru dan isteri sepanjang bersama. Sukar saya mahu ceritakan di sebalik ketenangan pada wajah, ucapan dan perilaku beliau. Cuma saya akui satu hikmah, "tanda orang yang beriman ialah bila kita melihat dia, kita akan teringat Allah." Itulah ketrampilan yang lahir dari ulama’ pemimpin tersohor itu.


Jika pertemuan tersebut merupakan sebuah mimpi, saya berdoa agar Allah jangan bangunkan saya dari tidur. Amat indah sekali!. Banyak saya belajar dari beliau secara tidak langsung.


Rabu, saya dan Kak Nik ke pelancaran buku tulisan Ust Riduan Mohd Nor iaitu Gaza Menangis dan Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden keluaran Jundi Resources. Dalam pelancaran tersebut, Ustaz Riduan berkongsi pengalamannya dalam misi keamanan di Gaza.


“Saya teringat satu keadaan di hospital Palestin. Ketika sampai di hospital, saya melihat semua orang membaca Al-Quran tidak henti-henti. Mereka membaca bukan untuk mengisi masa kosong atau sebagai amalan biasa semata. Memandangkan hospital kekurangan bekalan perubatan maka ayat-ayat Al-Quran itu dijadikan ubat bius untuk mengurangkan rasa sakit mangsa-mangsa keganasan.”


“Malah, saya juga melihat kanak-kanak Palestin yang putus tangan dan kaki. Apabila ditanya, tahu apa yang mereka jawab? Mereka menjawab, “Walaupun jasad kami masih di dunia, kami yakin kaki dan tangan kami yang terputus berada di Syurga.” Kanak-kanak Palestin sudah tahu apa itu syahid berbeza dengan anak-anak di Malaysia,” perkongsian ustaz Riduan dalam pelancaran bukunya.


Dan banyak lagi mutiara yang dapat dikutip…cukuplah ini untuk diceritakan.


BUKU BELI DAN BUKU PERCUMA.

Adat orang media, kalau pergi ke pelancaran buku, mesti dapatkan buku percuma. Dalam pelancaran buku Ann Wan Seng, Kak Nik dapat buku Murtad-Jangan Pandang sebelah mata. Saya tidak hadir masa itu.

Masa ke pelancaran buku Ustaz Riduan, kami dapat dua buku terbaru beliau. Selepas sesi temubual, dapat lagi sebuah buku bertajuk Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden.

Selepas itu, singgah pula ke booth An-Bakri, dapat buku Bidadari Dari Timur. Sembang punya sembang, dapat lagi gift dari En Masri, pengarah An-Bakri.

Alhamdulillah, bertambah koleksi buku lagi.

Antara buku percuma yang diperolehi di Pesta Buku

Ini buku yang dibeli. Biasa-biasa saja bukunya. Simpan duit untuk peristiwa penting bulan hadapan.

Saya membeli 12 buku semuanya. Dalam mengurus pembelian, saya seimbangkan mengikut keperluan dan keutamaan. Kemungkinan tidak akan membeli buku dalam tempoh tiga bulan akan datang. Jadi, saya pilih buku yang betul-betul akan digunakan dalam tempoh tiga bulan tersebut.


Saya membeli buku dari pelbagai genre. Buku agama, motivasi, pembangunan diri, dakwah, novel, kemudi rumah tangga, dan ilmiah. Seimbang. Dua karya Hilal Asyraf iaitu VT dan Langit Ilahi pun turut dibeli walaupun ia bacaan remaja. Sebabnya, banyak intipati dua buku tersebut sangat berguna untuk pengisian usrah dan program remaja nanti.


Ingat, buku bukan untuk tuntutan peribadi tetapi untuk ditebarkan ilmunya ke seluruh manusia.


Buku yang paling banyak dibeli ialah buku kemudi perkahwinan. Ahaks!. Sebagai persediaan untuk perubahan fasa kehidupan nanti. InsyaAllah, saya bakal menamatkan zaman solo saya bulan hadapan. Nanti saya maklumkan.

Inilah buku yang saya paling sayang sekali. Salah satu koleksi The Risale-i Nur karya Bediuzzaman Said Nursi. Bukan mudah hendak dapatkan karya ini di pasaran. Harganya pun mahal, hampir RM 43 selepas diskaun. Saya membeli koleksinya bertajuk The Reasonings – A Key to Understanding the Qur’ans’ Eloquence. Satu sahaja yang tinggal, yang lain habis dijual. Kira orang yang terakhir belilah ini.


Saya ada ‘aim’ satu buku lagi karya Malik Bennabi, tentang Islam dan ….(tak ingat tajuk apa). Tetapi ongkosnya tak cukup pula. Ada lagi buku yang menarik di Utusan, Pusat Terjemahan Buku Kebangsan, Majlis Ilmiah, DBP dan Buku Universiti tapi tidak berpeluang membelinya. Mahal. Tak apalah, Kinokuniya dan MPH dekat, boleh beli kemudian.


Hendak cerita juga fasal pengalaman di NB Kara, syarikat buku novelis terkenal Norhayati Berahim. Bersama dengan novelis lain, Kak Nora Ahmad dan Kak Lily Haslina. Tapi gambar dekat kamera Kak Milah. Nantilah.


Penat round PWTC. Jumpa lagi tahun hadapan.

Thursday, April 23, 2009

PENAT

Siapa penat? Kita senyum dulu...

Aiks, kambing pun senyum..senyum kambing..

Hihihi..kucing kak milah pun senyum...

Orang beriman, sekalipun penat mampu mengukir senyum


“Penat!, Penatnya…kenapa penat sangat ni?, Aduii penat sangatlah. Tolonglah, along penatlah, tak tahan penat sangat hari ini,” dan macam-macam lagi ngomel penat yang ada.


Semenjak dua menjak tiga menjak empat menjak lima menjak kebelakangan ni, saya rasa teramat penat. Harapnya tak lah penat tu berpanjangan sehingga semenjak dua menjak tiga menjak empat menjak lima menjak ke hadapan pula.


Itulah, mood menulis terbantut dan terus terbantut, idea menulis tidak membesar dan terus membesar, semangat kurang berkembang dan tidak berkembang. Sama seperti tuan empunya blog yang tak besar-besar dan tak kembang-kembang. Maksudnya, kurus…


Erm, taklah sibuk sangat dengan kerja. Deadline pun baru berlalu minggu lepas. Cuma menunggu majalah siap dicetak. Oh, lupa..jangan lupa dapatkan muslimah keluaran Mei nanti. Saya menulis isu tentang 'kematangan politik wanita, mematangnya generasi.' Huraiannya sekitar politik wanita di arena perjuangan rakyat, bagaimana politik wanita mencetak generasi umat terbaik, dan pendidikan politik wanita.


Ok, kembali ke Sri Pentas. Cerita tentang penat.


Bila penat, sudah tentu dikaitkan dengan kerja. Orang Islam kerja kerana agama. Orang Cina kerja kerana untung. Orang Barat kerja kerana kuasa. Orang Indon kerja kerana tiada kerja - tiada kerja kat negara sendirilah! Orang malas kerja kerana terpaksa. Dan Along kutip hutang kerja untuk mengerjakan orang.


Setiap orang bekerja dan rasa penat. Kerana itu, setiap orang wajib mencari motivasi bekerja. Agar yang penat itu menjadi manis untuk dikenang-kenang di hujung bulan.


Bekerja untuk untung, itulah motivasi orang cina

Bekerja untuk kuasa, itulah motivasi orang barat

Bekerja untuk agama, itulah motivasi orang Islam.

Anda pula bekerja untuk apa? Untuk dunia? Untuk Akhirat?


Kalau untuk dunia, itu benar. Untuk makan, minum, rumah, anak-anak nak sekolah, hantar mak ayah pergi hospital, beli kereta, kahwin, kawan, beli coklat dan beli apa-apa saja.


Kalau untuk akhirat, itu juga benar. Dapat gaji, infak untuk agama. Pendapatan selebihnya kutip di Syurga.


Kalau untuk dunia dan akhirat, itulah yang paling benar. Ya, kerja perlu seimbang dunia dan akhirat. Tidak melebihkan antara keduanya. Tetapi seimbang dan sederhana.


Oh meleret lagi. Kembali ke Sri Pentas. Cerita tentang penat.


Sebenarnya sibuk atau tidak sibuk, banyak kerja atau tidak, kedua-duanya tetap rasa penat. Cuba kalau kita dah sibuk Isnin hingga Jumaat, lepas tu sabtu ahad kita rehat dan tak buat apa-apa, pasti badan kita mula terasa penat dan sakit-sakit. Betul tak? Sebabnya, kita dah terbiasa dengan kerja dan bila badan tidak digerakkan, kita rasa tak sedap badan.


Sama juga macam orang yang kuat tidur. Banyak tidur tu bukan merehatkan tetapi memenatkan. Sebab itu orang yang suka tidur dan bermalas-malasan, orangnya kelihatan lembik, buntu, lambat bertindak dan pasif. Seolah-olah macam dia pula yang terlebih penat dari orang yang kuat kerja.


Orang yang penat kerja kerana agama, penatnya hanya fizik dan jasad. Namun, jiwanya sekali-kali tidak pernah penat. Sumber inspirasinya adalah Allah, sumber tenaganya adalah Allah, sumber ucapannya adalah zikrullah, tingkah lakunya membesarkan Allah, ilhamnya dari Allah.


Allah sentiasa sebati dalam setiap rona hidupnya.


Orang yang malas itulah orang yang paling penat. Bukan sahaja penat, tetapi tenat. Penat dengan dosa malasnya, tenat dengan kemunduran jiwanya.


Sibuk atau tidak sibuk, kedua-duanya penat. Jadi pilihlah, mahu penat yang bermakna atau penat yang sia-sia…


"Mai Radix secawan...", minumlah Radix, hilangkan penat!

Monday, April 20, 2009

BICARA 'TEEN TALK'


Hikmah Ustaz Hasrizal dalam buku terbarunya, “Jika telah terasa manisnya iman, sebarkanlah kemanisan itu dengan sebuah dakwah dan bimbingan. Belajarlah mengukur kejayaan diri pada kejayaan membawa orang berjaya sama.”


Secara tabiinya, apa sahaja yang kita perolehi, sama ada perolehan perasaan atau kebendaan, pasti mahu dikongsi bersama yang lain. Kita gembira, kita kongsi kegembiraan. Kita sedih, kongsikan juga kesedihan. Jika kita tertekan, maka kita luahkan.


Andai kita memiliki hati yang tulus mulus, terasa kebendaan itu suatu anugerah dari Ilahi, maka ia turut dikongsi. Perkongsian itu mengurangkan duka di hati sendiri, manakala orang lain terasa dihargai. Perkongsian yang amat bernilai harganya dan besar ganjarannya adalah perkongsian dengan dakwah dan bimbingan.


Itulah keberjayaan yang hakiki. Jika kita berkongsi perasaan, mungkin yang terasa leganya adalah kita. Jika kita berkongsi kebendaan, ia hanya seketika. Tetapi jika kita berkongsi kejayaan dengan dakwah dan bimbingan tanpa putus asa, ketika itulah kita telah membawa orang lain berjaya sama.


Saya juga mahu melakukan perkongsian tersebut…


ASAL-USUL KITA

“Nama saya Atikah Zulaikha, umur saya 14 tahun. Saya berasal dari Gombak, tinggal di Rawang,” adik Atikah bangun memperkenalkan diri. Comel…

“Ok, terima kasih. Yang sebelah adik Atikah boleh bangun. Siapa nama dia ya? Boleh perkenalkan diri sikit?,” tanya saya meneruskan bicara.

Tersengih-sengih dia bangun, malu agaknya. Kelihatan muka seakan sama dengan adik yang baru berkenalan tadi. “Kemungkinan adik-beradik, duduk pun sebelah menyebelah”, fikir saya.

“Nama saya Aleeya Zulaikha, boleh panggil Leeya. Saya asal orang Gombak tetapi duduk di sini, Rawang,” terang dia tersipu-sipu.

“Oh, adik-beradik rupanya”.


Setelah dua peserta perkenalkan diri, saya sambung kembali bicara ‘Teen Talk’ malam itu. Konsep sebenar aktiviti ini adalah usrah remaja. Memandangkan kehadiran peserta malam itu hampir 50 orang dan saya dijemput untuk memberi ‘talk’, maka saya namakan ia sebagai ‘Teen Talk’, singkatan kepada ‘Teenagers Talk’.



Saya kembali menyambung sesi. “Kalau cikgu di sekolah, setiap kali bermula sesi persekolahan yang baru, cikgu pasti meminta kita perkenalkan diri bukan? Maka apa yang akan selalu disebut? Nama, tempat tinggal, ibu bapa dan asal usul. Selalunya itu yang disoal. Dan sebagaimana tadi, itulah jawapan yang sering kita beri. Misalnya;

“Nama saya Hidayah. Umur saya 15 tahun. Saya tinggal di Gombak, asalnya orang Negeri Sembilan. Mak saya orang Bangladesh, tapi ayah keturunan Arab. Atok pula orang Siam,” tergelak mereka mendengar misalan saya.


“Itulah yang biasa kita jawab kan?. Asal usul keturunan dan negeri. Bukan itu yang akak maksudkan untuk jawapan kali ini. Persoalannya bukan semata-mata asal-usul. Tetapi membawa fikiran kita sejauh-jauhnya, dari mana kita datang, kenapa kita didatangkan dan ke mana kita akan kembali.”


“Akak mahu bertanya, dari mana kita datang?”

“Allah”

“Ke mana kita akan kembali?”

“Allah,” jawab mereka lagi.

“Jadi, di manakah kampung sebenar kita?”

“Syurga, perkampungan yang kekal abadi,” sahut saya, ketika yang lain berdiam diri.


Mudah saya menukangi penyampaian awal teen talk. Menginjak persepsi masing-masing tentang kejadian manusia dan memanusiakan kejadian dengan merenung prinsip penciptaan kita. Ya, Allahlah asal-usul penciptaan kita.


Remaja sudah dihenyak dengan leteran ibu bapa di rumah. Di sekolah, dileteri lagi. Maka, adalah kesilapan bagi para pendakwah mengaplikasikan teknik berleter, berhujah panjang-panjang dengan fakta berteori seperti memberi kuliah kepada orang dewasa.


Pada kaedah saya, memadai dengan membuat analogi, bersesuaian dengan kehidupan realiti. Mereka perlu diperlihatkan tentang rutin sebenar kehidupan, dan akhlak sebenar dalam menghadapi rutin kehidupan itu.


MANA LEBIH BESAR?


“Mana lebih besar, tempat program ini atau kawasan Rawang?”, soal saya.

“Rawang!, jawab semua.

“Mana lebih besar, Rawang atau Selangor?,”bersoal lagi.

“Selangor!”

“Mana lebih besar, Selangor atau Malaysia?”

“Malaysia!”

“Mana lebih besar, Malaysia atau Benua Asia”!

“Benua Asia!”

“Cuba bandingkan antara Benua Asia dengan kita, sebesar mana kita?,” saya menukar soalan.

“Kita macam semut, kecik je!“, beberapa orang bersuara.


Saya diam sambil tersenyum dengan respon itu. Lalu saya teruskan bertanya, mana yang lebih besar antara Benua Asia dan Bumi. Semua melantun suara, jawabnya Bumi. Bertanya lagi, antara Bumi dan galaksi Bima Sakti, yang mana lebih besar. Semua berpadu suara menjawab Bima Sakti.


Setelah berhenti sebentar, saya sambung bertanya semula.


“Jika Bima Sakti itu besar, adakah kamu boleh melihat seluruh galaksi Bima Sakti itu dari awal hingga penghujungnya?”, semua menggeleng kepala.

“Cuba bandingkan Bima Sakti dengan seluruh angkasa raya, mana lebih besar?”. Jawab mereka, “angkasa raya!”.


Saya bertanya lagi, adakah kita boleh melihat angkasa raya? Mereka menggeleng kepala. Adakah kita mampu melihat bumi seluruhnya? Mereka semua menggeleng kepala, menjawab “Tidak!”. Kemudian saya bertanya, sebesar mana manusia ketika itu?

Beberapa orang daripada mereka menjawab, “kecil macam kuman, lebih kecil dari kumanlah”.

Saya mengangguk. “Adakah kamu tahu, Allah itu lebih besar dari segala-galanya?”

Semua terdiam.


“Betapa besarnya Allah, betapa kerdilnya kita. Kita menggambarkan diri kita seperti semut jika di bumi, seperti kuman di galaksi. Semuanya memperlihat kebesaran, malah lebih besar dari diri kita. Kadang-kadang kita terlupa hakikat penciptaan itu. Siapakah yang menciptakan semua itu? Bukankah Allah itu lebih besar dari angkasa raya?”


“Kita cuma tahu dunia ini hanya di sekolah, balik rumah, pergi kerja dan masyarakat di sekeliling yang bersosial dengan kita. Kegagalan kita ialah tidak memerhati kejadian alam ini dan seluruh isinya. Dengan itu, kita menjadi makhluk yang kerdil tetapi bangga diri.”


“Jika Allah mahu, diri kita yang sekecil kuman ini bila-bila sahaja boleh dihancurkan. Dia berhak menurunkan segala keburukan dan bencana dalam bentuk apa jua sekalipun. Namun, dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya terhadap hambaNya yang bongkak ini, kita masih diberi udara tanpa dikurangkan sedikit pun, masih diberi nyawa tanpa henti. Allah masih memberi kita rezeki tanpa putus.”


“Betapa kasihan belasnya Allah…”

“Dan…kita tetap menjadi hambaNya yang tidak tahu bersyukur…”


Kesimpulan saya menutup sesi mukaddimah ‘Teen Talk’. Baru mukaddimah…terasa malas pula nak tulis lagi. Kemudianlah sambung cerita.


Thursday, April 16, 2009

APA ADA PADA...

Apa ada pada cinta?

Cinta itu buta..

Apa ada pada rindu?

Rindu itu tiada jemu…

Apa ada pada sayang?

Sayang itu rasa senang…

Apa ada pada kerja?

Kerja itu pahala…

Apa ada pada buku?

Buku itu ilmu…

Apa ada pada dakwah?

Dakwah itu sunnah…

Apa ada pada berjuang?

Berjuang itu menjulang agama…

Apa ada pada tarbiyyah?

Tarbiyyah itu susah payah…

Apa ada pada usrah?

Usrah itu mengubat gundah…

Apa ada pada blog?

Blog itu bukan goblog!


Apa ada pada media???

Kata Nabil..lu pikirla sendiri!

Kata ustzh-eng’r…kita fikir sama-sama!

Kata Wonderpets, Apa yang penting… kerjasama!

Kata ustzh-eng’r, Apa yang sama…kerja penting!


Sekadar mukaddimah untuk ‘TEEN TALK’ esok…


TEMUDUGA SEBAGAI...

TEMUDUGA SEBAGAI CALON JENAZAH

SEMUA DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN


KEKOSONGAN JAWATAN:

A. Ahli Syurga Dari Awal.
B.. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara, Kemudian Akan Di lantik Jadi Ahli Syurga.


EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.


TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.


LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).


KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil, termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat, Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.


PANEL/PENEMUDUGA:
Munkar dan Nakir.


ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?


CARA MEMOHON:

Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.

Ia diberi nama Izrail.


TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hambal yang bermaksud begini:

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah jariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya.


Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk.


Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu : Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.


Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".


Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat.

Wallahu-a'lam. Semoga berjaya dalam temuduga ini.

Wednesday, April 15, 2009

MAHASISWI BERJIWA BESAR

“Pada saya mahasiswi sekarang tidak berjiwa besar, cukup menjaga kebajikan sesama mereka sahaja,” kritikan berani adik Rafidah malam itu.


“Mahasiswi dilihat sebagai golongan yang lambat dan terkebelakang. Mereka harus cakna isu sekalipun tidak mampu bersuara,” tambahnya lagi.


“Dengan adanya SIGMA ini, diharap dapat memberi kesedaran kepada mahasiswi bahawa kita harus bersama masyarakat bukan berada di kepompong mahasiswi sahaja,” kata Mala yang datang berteman Rafidah malam itu.


Adik Rafidah dan Mala, mahasiswi berjiwa besar


Khamis lalu saya menemubual dua pimpinan SIGMA ini, Rafidah dan Mala. Serikandi Gerakan Muslimat Muda atau singkatnya SIGMA dulu dikenali sebagai HELWANI di bawah gerakan pelajar GAMIS. Anda yang sezaman kampus dengan saya tentu biasa mendengar nama HELWANI. Namun ketika itu, HELWANI kurang trampil dan semangatnya masih mentah. Tentunya, menyayingi SIS sesuatu yang mustahil dilakukan ketika itu.


Pada pandangan saya, SIGMA lebih jelas, objektif dan dinamik. Walaupun masih bertatih membina identiti, pelan tindakan dibentuk dengan begitu energetik. Mereka mahu melahirkan intelektual di kalangan mahasiswi. Mendepani cabaran isu wanita dengan keberanian berhujah. Bukan pada omong-omong politik kosong, demonstrasi jalanan, penghantaran memorandum tetapi tercicir dari sudut keilmuan.


Sayang sekali, jika pembentukan dan pemikiran keilmuan tidak ditekuni oleh mana-mana gerakan kampus. Universiti adalah medan mencari ilmu seluas-luasnya, belajar dan bertanya, mengkaji dan menyelidik, memanfaatkan pensyarah selayaknya.


Sebenarnya mahasiswi tidak melihat masa depan perjuangan. Sebab itu, mereka masih mentah dan terus mementahkan diri. Barangkali ada yang leka, mereka akan bersama masyarakat suatu hari nanti.


Masyarakat berhadapan dengan soal kejiranan, kes kekeluargaan, isu pencabulan dan rogol wanita, pengaruh media, pendidikan kanak-kanak, tuntutan nafkah dan penjagaan anak. Lebih lagi, gagasan pemikiran feminisme radikal.


Masyarakat berkehendakkan diri mereka yang boleh membela dan bersuara. Isu-isu masyarakat tidak seperti isu-isu kampus. Kadang-kadang di kampus pun masih berlegar di sekitar persoalan hati dan perasaan.


Semuanya perlu dihadapi dengan ilmu, hujah, penulisan dan keberanian menyatakan hak. Adakah mahasiswi sudah bersedia merakyat perjuangan ini? Cuba lihat bagaimana kualiti ahli politik wanita yang ada sekarang? Sejauh mana ahli politik wanita benar-benar memainkan peranan mereka secara optimal di tengah-tengah masyarakat wanita?


Dan, bagaimana mahasiswi bersedia menjadi pelapes mereka?


Thursday, April 9, 2009

FEMINISME: Tuntutan Keadilan Kontemporari

Artikel saya dalam Majalah Muslimah (Bil 213), Keluaran April 2009. Dapatkan sekarang!!


Feminisme Tuntut Kesaksamaan

Saat ini kita sedang berhadapan dengan gejala pemikiran Islam liberal. Hakikatnya, ia adalah kesinambungan dari pemikiran modenisme. Bagaimanapun, wajah pemikiran Islam liberal yang sedang dikembangkan zaman kini nampaknya lebih radikal dari pemikiran modenisme Islam. Justeru, idea-idea kontroversi dalam perkara-perkara asas Islam sengaja dilontarkan ke khalayak masyarakat Islam.


Faham feminisme turut menjadi agenda penting dalam minda liberal Islam. Walaupun isu kesetaraan antara lelaki dan perempuan wajar diberi perhatian seperti yang terpapar perbahasannya dalam Al-Quran dan Sunnah, tetapi adalah penting untuk menggarap isu feminisme atau gender dengan lebih teliti dan berhati-hati.


Di Barat, pemikiran dan gerakan feminisme telah membina sebuah keyakinan sehingga ia menjadi satu dogma bahawa “tidak ada apa pun yang membezakan antara lelaki dengan wanita, sekalipun secara semulajadi”. Oleh itu, sejak berdekad lamanya aktivis wanita Islam liberal dari segenap pelosok dunia termasuk komuniti minoriti bergabung tenaga bagi mendesak reformasi undang-undang bagi mengiktiraf kesaksamaan hak lelaki dan wanita.


Diadakan buat julung kalinya di Kuala Lumpur, Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam (Musawah atau kesaksamaan dalam Bahasa Arab) bertujuan mengumpulkan para sarjana dan aktivis dalam rangka kerja holistik bagi memperjuangkan kesaksamaan wanita Islam dari segi perundangan, keluarga dan komuniti. Musawah dibina selepas berdekad usaha memperbaharui Undang-undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita dan menentang pindaan regresif atas desakan kumpulan konservatif dalam masyarakat.


Inilah aspek liberalisasi yang sentiasa menjadi perbahasan dalam bidang liberalisasi Islam. Hukum-hukum Islam yang sudah mutlak, dibongkar dan dibuat hukum baru yang dianggap sesuai dengan perkembangan zaman. Para tokoh liberal biasanya menggunakan metode ‘kontekstualisasi’ sebagai salah satu mekanisme dalam merombak hukum Islam. Salah satu hukum Islam yang banyak dijadikan objek ‘kontekstualisasi’ liberalisasi adalah hukum dalam bidang keluarga.


Keliru Antara Ekualiti dan Keadilan

Pengarah Projek Musawah, Zainah Anwar menjelaskan tanggapan mengenai wanita Islam sering ditindas, didiskriminasi, dikunci mulut dan menjadi mangsa sama ada di dalam atau luar negara Islam perlu diperbetulkan menerusi usahasama berterusan. Justeru, beliau berfikiran amat penting semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin politik dan agama serta institusi antarabangsa bekerjasama demi mencapai kesaksamaan, tiada diskriminasi, keadilan dan kehormatan sebagai asas perhubungan sesama insan.


Koordinator Kampus, TERAS Pengupayaan Melayu, Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal berkata, teguran oleh aktivis Sisters In Islam (SIS) tersebut ada yang boleh diterima kerana ia adalah menifestasi kegagalan kita untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu kaum hawa. Walau bagaimanapun, tindakan SIS yang menggunakan masalah-masalah runcitan untuk menyusupkan elemen liberal ke atas mentaliti masyarakat adalah suatu yang bahaya. Jika perkara ini tidak diperjelas kembali, pengaruh liberal akan melebar di kalangan yang dangkal beragama.


Menurut Dr. Haji Muhammad Nur Manuty dalam siri wacana pemikiran Islam kontemporari: ‘Fenomena Pemikiran Islam Liberal dan Implikasinya kepada Kedudukan Islam dan Penganutnya di Malaysia’, menjelaskan bahawa gagasan Islam liberal nampaknya terjebak dengan filsafat Barat dari segi roh dan kaedahnya yang hanya bertuhan kepada akal (rasionalisme) semata-mata. Atas nama objektiviti dan saintifik, golongan Islam liberal ini terpengaruh dengan metodologi Barat dan mahu meruntuhkan metodologi keilmuan Islam yang telah diterima pakai sejak ribuan tahun lalu.


Wacana ini disokong lagi dengan penjelasan Dr. Ugi Suharto, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dalam Seminar Ancaman Islam Liberal anjuran Gabungan Profesional Kelantan di Kota Bharu. Katanya, memang terlihat jelas bahawa pemikiran-pemikiran Islam Liberal yang dilontarkan oleh golongan ini merupakan penyerapan dan pengaruh dari isu-isu pemikiran yang berkembang didunia Barat.


Seperti juga nasib agama-agama di Barat, mereka hendak menjadikan Islam sama seperti Kristian atau Faham Yahudi di Barat yang tunduk dengan kehidupan duniawi dengan cara membebaskan umat Islam dari ajaran-ajaran Islam yang tulen menerusi tafsiran atau perubahan ajaran Islam itu sendiri sehingga sesuai dengan selera dan agenda Barat.


“Feminisme ini datang dari pengalaman pahit oleh penganut agama Kristian. Kristian memandang wanita sebagai golongan kelas kedua dan sering menyalahkan wanita. Sejarah menunjukkan banyak penindasan terhadap wanita berlaku ketika itu. Akibat tekanan penindasan, mereka mahu keluar dari sosio-budaya orang Barat dengan memperjuangkan humanisme. Bertitik tolak dari humanisme inilah, wujudnya fahaman liberalisme, kapitalisme, feminisme dan gagasan pemikiran lain,” ujar Wan Fayhsal.


Oleh itu, beliau mengarah kepada idea Prof. Naquib Al-Attas agar pencerahan semula dilakukan secara sistematik iaitu mengenali akar kepada permasalahan gejala feminisme terlebih dahulu. Menurutnya, feminis adalah golongan yang menidakkan ilmu, menganggap ilmu tidak penting, membenarkan semua orang mempunyai hak untuk menginterprestasikan Al-Quran dan hadis hingga menepis beberapa kemutlakan kandungannya. Disamai juga sebagai realitivis, maka undang-undang dan amalan Islam boleh dilakukan perubahan mengikut realiti kehidupan masa kini.


“Ekualiti tidak sama dengan keadilan. Keadilan meletakkan kedudukan pada tempatnya, ekualiti itu kesamarataan. Banyak feminis keliru dengan keadilan dan kesaksamaan.”


Kekeliruan feminis SIS ini terbukti dengan kenyataan Pelapor Khas PBB mengenai Keganasan Terhadap Wanita, Prof Yakin Erturk yang dijemput ke Musawah tersebut. Katanya, kesaksamaan dalam keluarga boleh dicapai menerusi rangka kerja yang konsisten dengan ajaran Islam, prinsip hak asasi manusia universal, jaminan hak asasi dan realiti kehidupan yang dijalani golongan lelaki serta wanita moden. Jelasnya lagi, undang-undang dan amalan Islam harus mendukung kesaksamaan yang merupakan bahagian paling penting dalam pemahaman keadilan masa kini (Utusan Malaysia, 24 Februari 2009).


“Mereka melihat dari sudut evolusi. Sejarah Islam merupakan contoh terbaik tetapi golongan liberalis mengungguli cara barat mengangkat darjat wanita. Ringkasnya, tampak tiada masalah namun berbahaya apabila meletakkan wanita dalam acuan lelaki pada semua perkara. Saya melihat masalah wanita dalam kerjaya dan rumah tangga banyak bertitik tolak daripada wanita yang mengamalkan gaya hidup moden. Bagi mereka, pekerjaan itu suatu trend dan sangat perlu walaupun suami mampu menanggung keperluan. Wanita berjaya adalah wanita bekerja dan wanita yang duduk di rumah tidak akan diberi penghargaan oleh masyarakat. Apabila semua wanita berfikiran begitu, mudahlah fahaman feminisme mempengaruhi mereka,” tambah Wan Fayhsal.


Faktor Luaran dan Dalaman.

Kekeliruan dan permasalahan yang timbul berkenaan isu ini harus dilihat secara objektif oleh semua pihak. Dalam pada itu, Wan Fayhsal melihat agenda yang diperjuangkan SIS dan para feminis liberalis ini perlu dilihat dari dua sudut iaitu (1) Agenda hegemoni pemikiran liberalisme agama dan hak asasi manusia tajaan Barat (ancaman luar) (2) Kelemahan komuniti Muslim dalam menangani permasalahan kekeluargaan dan kefahaman agama (ancaman dalaman).


Setelah Perang Dingin berakhir, Barat memiliki pandangan dan kebijakan khusus terhadap Islam. Di dalam Perang Dingin, Komunisme dianggap sebagai musuh utama, sehingga seringkali Barat bersama-sama dengan Islam menghadapi komunisme, seperti yang terjadi di Afghanistan. Setelah komunis runtuh, Barat harus menetapkan ‘musuh’ baru sebagai pengganti komunisme. Maka, para aktivis neo-konservatif (kelompok Kristian fundamentalis, Yahudi sayap kanan, politisi Republik, dan ilmuwan neo-orientalis), berhasil menjalankan agenda internasional pasca Perang Dingin.


Kerana Islam dipandang sebagai ancaman potensi bagi Barat, atau Islam dipandang sebagai isu politik potensial untuk meraih kekuasaan di Barat, maka berbagai daya upaya dilakukan untuk ‘menjinakkan’ dan melemahkan Islam. Salah satu program yang kini dilakukan adalah dengan melakukan proses liberalisasi Islam besar-besaran di Indonesia dan dunia Islam lainnya. Proses liberalisasi Islam ini tentu sahaja masih menjadi bahagian terpenting daripada ‘tiga cara’ pengukuhan hegemoni Barat di dunia Islam, iaitu melalui program Kristenisasi, imperialisme moden dan orientalisme (Ancaman Islam Liberal, Siri Wacana Pemikiran Kontemporari, Bil 4, 2006).


“Faktor dalaman pula berpunca dari sikap komuniti Muslim yang tidak teliti perkara ini. Kita tidak mengambil berat masalah keluarga Muslim, tidak mengambil tahu dan tiada huluran bantuan dari segi kaunseling. Maka golongan wanita bermasalah ini akan merujuk kesnya kepada SIS yang menyediakan khidmat guaman dan kaunseling secara percuma. Gerakan Islam turut kurang menggarap penting isu ini. Apabila kita memandang sesuatu itu pada satu juzuk, maka isu yang timbul akan dipolitikkan. Berdemo itu perlu tetapi jangan menggambarkan kita ini seolah-olah tidak mampu untuk berhujah. Islam ini benar, kenapa takut untuk berhujah?,” soal Wan Fayhsal menyentak komuniti Muslim yang lemah bertindak.


Sementara itu, kepincangan birokrasi yang mendominasi jabatan-jabatan kerajaan dan mahkamah menjadi fokus rangka kerja gerakan feminis. Mereka mengambil peluang terhadap kepincangan yang berlaku sebagai lantunan suara perjuangan mereka. Sebagai respon SIS, persidangan global Musawah yang lalu menyediakan empat objektif utama antaranya ialah memperkasakan wanita dan suara menuntut kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.


Menyebut tentang kepincangan ini, Wan Fayhsal melontar kritikannya terhadap jabatan-jabatan kerajaan yang menunda dan melambatkan penyelesaian kes-kes keluarga yang diajukan seperti kes perceraian, tuntutan nafkah dan penjagaan anak. Respon kakitangan yang gagal melayan baik terhadap aduan masalah perlu dikaji cermat dan diselidiki. Terdapat wanita yang terpaksa menunda perkahwinan dengan lelaki lain setelah diceraikan, kerana belum memperolehi surat cerai dari pihak terbabit. Maka, kesulitan tersebut menyebabkan beberapa pasangan yang ingin berkahwin terjerumus melakukan maksiat hanya kerana karenah birokrasi yang tidak cekap.


Respon Terhadap Pemikiran Islam Liberal

Pandangan Dr. Haji Muhammad Nur Manuty dari Pusat Kajian Modeniti dan Masyarakat Sivil sebagai respon terhadap pemikiran Islam Liberal adalah baik untuk diterima khususnya oleh golongan ulama’. Idea-idea provokatif liberal Islam sememangnya dapat disanggah dengan menggunakan manhaj pemikiran Islami yang muktabar.


Bagaimanapun, respon kita sebagai seorang Muslim tidak cukup dengan emosi sahaja. Kita perlu membahaskannya dengan terbuka dan objektif kerana faktor suasana yang mencabar pada masa kini. Menurut Dr. Haji Muhammad Nur Manuty lagi, pendekatan yang terbaik ialah dengan kembali mengkaji metodologi Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali berjaya menggunakan pendekatan ilmiah bagi menangkis pemikiran rasionalisme yang begitu kuat pengaruhnya pada zaman itu.


“Ini bukan masalah kita tetapi masalah liberalis dan kita terpengaruh. Ulama’ kita kurang faham tentang perkara ini secara menyeluruh. Saya melihat sahabat-sahabat di Indonesia, apabila mereka berhujah, liberalis akan buntu dan hujah tersekat malah yakin pula dengan hujah kita. Usaha ini yang dibuat oleh INSISTS, sebuah NGO yang dibangunkan oleh ahli didikan Prof. Naquib Al-Attas sebagai respon terhadap penularan gejala pemikiran ini,” bicara Wan Fayhsal terhadap respon yang sama.


Golongan liberal Islam pada saat ini ghairah membicarakan syariat dengan pembukaan pintu ijtihad seluas-luasnya tanpa meraikan syarat-syarat yang ketat dalam pembuatan ijtihad, menolak autoriti fuqaha’ dalam syariah serta isu golongan ulama’ bertindak sebagai pengawal dalam hal ehwal Islam dan menjadikan isu kewanitaan sebagai satu permasalahan besar dalam syariat.


Keadaan ini ternyata jelas apabila Wan Fayhsal mengatakan jarang sekali ulama’ yang beroutoriti dibenarkan berdialog dengan liberalis. Autoriti ulama’ semakin terhapus dengan kelahiran siri-siri wacana Islam yang melambakkan idea daripada pelbagai golongan ulama’ yang terdiri daripada ulama’ liberal, ulama’ ortodoks dan ulama’ rasional. Suara ulama’ sebenar seperti Yusuf Al-Qardhawi tidak menonjol kerana persembahan ilmiah wacana telah dipukul rata dengan pandangan pelbagai golongan ulama’ tersebut.


Beliau turut mempersoalkan peranan NGO Islam khususnya Nisa’ Malaysia yang tidak menyerlah menguasai isu ini. Nisa’ selayaknya menjadi pertubuhan ‘Counter Wave’ yang merespon kembali tindakan SIS selanjutkan mewujudkan ‘engagement’ dengan masyarakat melalui penyelesaian krisis kewanitaan. Penghantaran memorandum oleh Dewan Ulama’ sebelum ini masih belum memadai jika Nisa’ tidak tuntas memperbaharui manhaj dakwah menyaingi NGO seperti SIS. Seharusnya Nisa’ dalam usaha melahirkan sayap-sayap intelektual bagi mendepani cabaran-cabaran ideologi dan gagasan pemikiran feminisme abad ini.


Gerakan Islam kampus juga harus terpukul dengan penularan gejala pemikiran ini. Mahasiswi semestinya terdedah dengan ancaman feminisme kerana ada golongan akademik di universiti yang melebarkan jaringan pemikiran liberal melalui medium intelektual dan wacana ilmiah yang terhasil. Jelas beliau, kedapatan komuniti minoriti di universiti yang membantu usaha liberalis, memungkinkan mahasiswi terdorong menjadi pelapes SIS.



RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO