
Artikel saya dalam Majalah Muslimah (Bil 213), Keluaran April 2009. Dapatkan sekarang!!
Feminisme Tuntut Kesaksamaan
Saat ini kita sedang berhadapan dengan gejala pemikiran Islam liberal. Hakikatnya, ia adalah kesinambungan dari pemikiran modenisme. Bagaimanapun, wajah pemikiran Islam liberal yang sedang dikembangkan zaman kini nampaknya lebih radikal dari pemikiran modenisme Islam. Justeru, idea-idea kontroversi dalam perkara-perkara asas Islam sengaja dilontarkan ke khalayak masyarakat Islam.
Faham feminisme turut menjadi agenda penting dalam minda liberal Islam. Walaupun isu kesetaraan antara lelaki dan perempuan wajar diberi perhatian seperti yang terpapar perbahasannya dalam Al-Quran dan Sunnah, tetapi adalah penting untuk menggarap isu feminisme atau gender dengan lebih teliti dan berhati-hati.
Di Barat, pemikiran dan gerakan feminisme telah membina sebuah keyakinan sehingga ia menjadi satu dogma bahawa “tidak ada apa pun yang membezakan antara lelaki dengan wanita, sekalipun secara semulajadi”. Oleh itu, sejak berdekad lamanya aktivis wanita Islam liberal dari segenap pelosok dunia termasuk komuniti minoriti bergabung tenaga bagi mendesak reformasi undang-undang bagi mengiktiraf kesaksamaan hak lelaki dan wanita.
Diadakan buat julung kalinya di Kuala Lumpur, Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam (Musawah atau kesaksamaan dalam Bahasa Arab) bertujuan mengumpulkan para sarjana dan aktivis dalam rangka kerja holistik bagi memperjuangkan kesaksamaan wanita Islam dari segi perundangan, keluarga dan komuniti. Musawah dibina selepas berdekad usaha memperbaharui Undang-undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita dan menentang pindaan regresif atas desakan kumpulan konservatif dalam masyarakat.
Inilah aspek liberalisasi yang sentiasa menjadi perbahasan dalam bidang liberalisasi Islam. Hukum-hukum Islam yang sudah mutlak, dibongkar dan dibuat hukum baru yang dianggap sesuai dengan perkembangan zaman. Para tokoh liberal biasanya menggunakan metode ‘kontekstualisasi’ sebagai salah satu mekanisme dalam merombak hukum Islam. Salah satu hukum Islam yang banyak dijadikan objek ‘kontekstualisasi’ liberalisasi adalah hukum dalam bidang keluarga.
Keliru Antara Ekualiti dan Keadilan
Pengarah Projek Musawah, Zainah Anwar menjelaskan tanggapan mengenai wanita Islam sering ditindas, didiskriminasi, dikunci mulut dan menjadi mangsa sama ada di dalam atau luar negara Islam perlu diperbetulkan menerusi usahasama berterusan. Justeru, beliau berfikiran amat penting semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin politik dan agama serta institusi antarabangsa bekerjasama demi mencapai kesaksamaan, tiada diskriminasi, keadilan dan kehormatan sebagai asas perhubungan sesama insan.
Koordinator Kampus, TERAS Pengupayaan Melayu, Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal berkata, teguran oleh aktivis Sisters In Islam (SIS) tersebut ada yang boleh diterima kerana ia adalah menifestasi kegagalan kita untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu kaum hawa. Walau bagaimanapun, tindakan SIS yang menggunakan masalah-masalah runcitan untuk menyusupkan elemen liberal ke atas mentaliti masyarakat adalah suatu yang bahaya. Jika perkara ini tidak diperjelas kembali, pengaruh liberal akan melebar di kalangan yang dangkal beragama.
Menurut Dr. Haji Muhammad Nur Manuty dalam siri wacana pemikiran Islam kontemporari: ‘Fenomena Pemikiran Islam Liberal dan Implikasinya kepada Kedudukan Islam dan Penganutnya di Malaysia’, menjelaskan bahawa gagasan Islam liberal nampaknya terjebak dengan filsafat Barat dari segi roh dan kaedahnya yang hanya bertuhan kepada akal (rasionalisme) semata-mata. Atas nama objektiviti dan saintifik, golongan Islam liberal ini terpengaruh dengan metodologi Barat dan mahu meruntuhkan metodologi keilmuan Islam yang telah diterima pakai sejak ribuan tahun lalu.
Wacana ini disokong lagi dengan penjelasan Dr. Ugi Suharto, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dalam Seminar Ancaman Islam Liberal anjuran Gabungan Profesional Kelantan di Kota Bharu. Katanya, memang terlihat jelas bahawa pemikiran-pemikiran Islam Liberal yang dilontarkan oleh golongan ini merupakan penyerapan dan pengaruh dari isu-isu pemikiran yang berkembang didunia Barat.
Seperti juga nasib agama-agama di Barat, mereka hendak menjadikan Islam sama seperti Kristian atau Faham Yahudi di Barat yang tunduk dengan kehidupan duniawi dengan cara membebaskan umat Islam dari ajaran-ajaran Islam yang tulen menerusi tafsiran atau perubahan ajaran Islam itu sendiri sehingga sesuai dengan selera dan agenda Barat.
“Feminisme ini datang dari pengalaman pahit oleh penganut agama Kristian. Kristian memandang wanita sebagai golongan kelas kedua dan sering menyalahkan wanita. Sejarah menunjukkan banyak penindasan terhadap wanita berlaku ketika itu. Akibat tekanan penindasan, mereka mahu keluar dari sosio-budaya orang Barat dengan memperjuangkan humanisme. Bertitik tolak dari humanisme inilah, wujudnya fahaman liberalisme, kapitalisme, feminisme dan gagasan pemikiran lain,” ujar Wan Fayhsal.
Oleh itu, beliau mengarah kepada idea Prof. Naquib Al-Attas agar pencerahan semula dilakukan secara sistematik iaitu mengenali akar kepada permasalahan gejala feminisme terlebih dahulu. Menurutnya, feminis adalah golongan yang menidakkan ilmu, menganggap ilmu tidak penting, membenarkan semua orang mempunyai hak untuk menginterprestasikan Al-Quran dan hadis hingga menepis beberapa kemutlakan kandungannya. Disamai juga sebagai realitivis, maka undang-undang dan amalan Islam boleh dilakukan perubahan mengikut realiti kehidupan masa kini.
“Ekualiti tidak sama dengan keadilan. Keadilan meletakkan kedudukan pada tempatnya, ekualiti itu kesamarataan. Banyak feminis keliru dengan keadilan dan kesaksamaan.”
Kekeliruan feminis SIS ini terbukti dengan kenyataan Pelapor Khas PBB mengenai Keganasan Terhadap Wanita, Prof Yakin Erturk yang dijemput ke Musawah tersebut. Katanya, kesaksamaan dalam keluarga boleh dicapai menerusi rangka kerja yang konsisten dengan ajaran Islam, prinsip hak asasi manusia universal, jaminan hak asasi dan realiti kehidupan yang dijalani golongan lelaki serta wanita moden. Jelasnya lagi, undang-undang dan amalan Islam harus mendukung kesaksamaan yang merupakan bahagian paling penting dalam pemahaman keadilan masa kini (Utusan Malaysia, 24 Februari 2009).
“Mereka melihat dari sudut evolusi. Sejarah Islam merupakan contoh terbaik tetapi golongan liberalis mengungguli cara barat mengangkat darjat wanita. Ringkasnya, tampak tiada masalah namun berbahaya apabila meletakkan wanita dalam acuan lelaki pada semua perkara. Saya melihat masalah wanita dalam kerjaya dan rumah tangga banyak bertitik tolak daripada wanita yang mengamalkan gaya hidup moden. Bagi mereka, pekerjaan itu suatu trend dan sangat perlu walaupun suami mampu menanggung keperluan. Wanita berjaya adalah wanita bekerja dan wanita yang duduk di rumah tidak akan diberi penghargaan oleh masyarakat. Apabila semua wanita berfikiran begitu, mudahlah fahaman feminisme mempengaruhi mereka,” tambah Wan Fayhsal.
Faktor Luaran dan Dalaman.
Kekeliruan dan permasalahan yang timbul berkenaan isu ini harus dilihat secara objektif oleh semua pihak. Dalam pada itu, Wan Fayhsal melihat agenda yang diperjuangkan SIS dan para feminis liberalis ini perlu dilihat dari dua sudut iaitu (1) Agenda hegemoni pemikiran liberalisme agama dan hak asasi manusia tajaan Barat (ancaman luar) (2) Kelemahan komuniti Muslim dalam menangani permasalahan kekeluargaan dan kefahaman agama (ancaman dalaman).
Setelah Perang Dingin berakhir, Barat memiliki pandangan dan kebijakan khusus terhadap Islam. Di dalam Perang Dingin, Komunisme dianggap sebagai musuh utama, sehingga seringkali Barat bersama-sama dengan Islam menghadapi komunisme, seperti yang terjadi di Afghanistan. Setelah komunis runtuh, Barat harus menetapkan ‘musuh’ baru sebagai pengganti komunisme. Maka, para aktivis neo-konservatif (kelompok Kristian fundamentalis, Yahudi sayap kanan, politisi Republik, dan ilmuwan neo-orientalis), berhasil menjalankan agenda internasional pasca Perang Dingin.
Kerana Islam dipandang sebagai ancaman potensi bagi Barat, atau Islam dipandang sebagai isu politik potensial untuk meraih kekuasaan di Barat, maka berbagai daya upaya dilakukan untuk ‘menjinakkan’ dan melemahkan Islam. Salah satu program yang kini dilakukan adalah dengan melakukan proses liberalisasi Islam besar-besaran di Indonesia dan dunia Islam lainnya. Proses liberalisasi Islam ini tentu sahaja masih menjadi bahagian terpenting daripada ‘tiga cara’ pengukuhan hegemoni Barat di dunia Islam, iaitu melalui program Kristenisasi, imperialisme moden dan orientalisme (Ancaman Islam Liberal, Siri Wacana Pemikiran Kontemporari, Bil 4, 2006).
“Faktor dalaman pula berpunca dari sikap komuniti Muslim yang tidak teliti perkara ini. Kita tidak mengambil berat masalah keluarga Muslim, tidak mengambil tahu dan tiada huluran bantuan dari segi kaunseling. Maka golongan wanita bermasalah ini akan merujuk kesnya kepada SIS yang menyediakan khidmat guaman dan kaunseling secara percuma. Gerakan Islam turut kurang menggarap penting isu ini. Apabila kita memandang sesuatu itu pada satu juzuk, maka isu yang timbul akan dipolitikkan. Berdemo itu perlu tetapi jangan menggambarkan kita ini seolah-olah tidak mampu untuk berhujah. Islam ini benar, kenapa takut untuk berhujah?,” soal Wan Fayhsal menyentak komuniti Muslim yang lemah bertindak.
Sementara itu, kepincangan birokrasi yang mendominasi jabatan-jabatan kerajaan dan mahkamah menjadi fokus rangka kerja gerakan feminis. Mereka mengambil peluang terhadap kepincangan yang berlaku sebagai lantunan suara perjuangan mereka. Sebagai respon SIS, persidangan global Musawah yang lalu menyediakan empat objektif utama antaranya ialah memperkasakan wanita dan suara menuntut kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Menyebut tentang kepincangan ini, Wan Fayhsal melontar kritikannya terhadap jabatan-jabatan kerajaan yang menunda dan melambatkan penyelesaian kes-kes keluarga yang diajukan seperti kes perceraian, tuntutan nafkah dan penjagaan anak. Respon kakitangan yang gagal melayan baik terhadap aduan masalah perlu dikaji cermat dan diselidiki. Terdapat wanita yang terpaksa menunda perkahwinan dengan lelaki lain setelah diceraikan, kerana belum memperolehi surat cerai dari pihak terbabit. Maka, kesulitan tersebut menyebabkan beberapa pasangan yang ingin berkahwin terjerumus melakukan maksiat hanya kerana karenah birokrasi yang tidak cekap.
Respon Terhadap Pemikiran Islam Liberal
Pandangan Dr. Haji Muhammad Nur Manuty dari Pusat Kajian Modeniti dan Masyarakat Sivil sebagai respon terhadap pemikiran Islam Liberal adalah baik untuk diterima khususnya oleh golongan ulama’. Idea-idea provokatif liberal Islam sememangnya dapat disanggah dengan menggunakan manhaj pemikiran Islami yang muktabar.
Bagaimanapun, respon kita sebagai seorang Muslim tidak cukup dengan emosi sahaja. Kita perlu membahaskannya dengan terbuka dan objektif kerana faktor suasana yang mencabar pada masa kini. Menurut Dr. Haji Muhammad Nur Manuty lagi, pendekatan yang terbaik ialah dengan kembali mengkaji metodologi Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali berjaya menggunakan pendekatan ilmiah bagi menangkis pemikiran rasionalisme yang begitu kuat pengaruhnya pada zaman itu.
“Ini bukan masalah kita tetapi masalah liberalis dan kita terpengaruh. Ulama’ kita kurang faham tentang perkara ini secara menyeluruh. Saya melihat sahabat-sahabat di Indonesia, apabila mereka berhujah, liberalis akan buntu dan hujah tersekat malah yakin pula dengan hujah kita. Usaha ini yang dibuat oleh INSISTS, sebuah NGO yang dibangunkan oleh ahli didikan Prof. Naquib Al-Attas sebagai respon terhadap penularan gejala pemikiran ini,” bicara Wan Fayhsal terhadap respon yang sama.
Golongan liberal Islam pada saat ini ghairah membicarakan syariat dengan pembukaan pintu ijtihad seluas-luasnya tanpa meraikan syarat-syarat yang ketat dalam pembuatan ijtihad, menolak autoriti fuqaha’ dalam syariah serta isu golongan ulama’ bertindak sebagai pengawal dalam hal ehwal Islam dan menjadikan isu kewanitaan sebagai satu permasalahan besar dalam syariat.
Keadaan ini ternyata jelas apabila Wan Fayhsal mengatakan jarang sekali ulama’ yang beroutoriti dibenarkan berdialog dengan liberalis. Autoriti ulama’ semakin terhapus dengan kelahiran siri-siri wacana Islam yang melambakkan idea daripada pelbagai golongan ulama’ yang terdiri daripada ulama’ liberal, ulama’ ortodoks dan ulama’ rasional. Suara ulama’ sebenar seperti Yusuf Al-Qardhawi tidak menonjol kerana persembahan ilmiah wacana telah dipukul rata dengan pandangan pelbagai golongan ulama’ tersebut.
Beliau turut mempersoalkan peranan NGO Islam khususnya Nisa’ Malaysia yang tidak menyerlah menguasai isu ini. Nisa’ selayaknya menjadi pertubuhan ‘Counter Wave’ yang merespon kembali tindakan SIS selanjutkan mewujudkan ‘engagement’ dengan masyarakat melalui penyelesaian krisis kewanitaan. Penghantaran memorandum oleh Dewan Ulama’ sebelum ini masih belum memadai jika Nisa’ tidak tuntas memperbaharui manhaj dakwah menyaingi NGO seperti SIS. Seharusnya Nisa’ dalam usaha melahirkan sayap-sayap intelektual bagi mendepani cabaran-cabaran ideologi dan gagasan pemikiran feminisme abad ini.
Gerakan Islam kampus juga harus terpukul dengan penularan gejala pemikiran ini. Mahasiswi semestinya terdedah dengan ancaman feminisme kerana ada golongan akademik di universiti yang melebarkan jaringan pemikiran liberal melalui medium intelektual dan wacana ilmiah yang terhasil. Jelas beliau, kedapatan komuniti minoriti di universiti yang membantu usaha liberalis, memungkinkan mahasiswi terdorong menjadi pelapes SIS.