Friday, June 26, 2009

ISTIGHFAR BANYAK-BANYAK


Bulan ini, amat jarang sekali saya mengupdate blog. Kesibukan pada urusan peribadi dan jemaah seakan mengekang untuk idea menulis datang mencurah-curah seperti kebiasaan. Begitulah, salah satu kekangan ilham menulis ialah apabila seseorang penulis itu dilambak kesibukan dalam urusan mentadbir.


Seusai urusan walimah bermula dari hujung Mei hingga pertengahan Jun ini, saya mempunyai tuntutan kerja luar bersama krew Muslimah. Kami outsation ke Kelantan. Selasa & Rabu kelmarin saya diserang demam mengada-ngada. Antara demam dan tidak demam. Terlalu penat barangkali, tetapi ia tetap menjadi nikmat dan hikmah buat diri yang selalu lalai dengan nikmat kesihatan.


Teringat sewaktu menemubual Dr. Johari Mat semasa di Kelantan. Beliau bercerita tentang peranan istighfar terhadap kehidupan manusia.


Ada sepasang suami isteri. Mereka masih tidak dikurniakan anak walau sudah lama berkahwin. Macam-macam usaha sudah dilakukan tetapi tetap tidak berhasil mendapatkan anak.


Suatu hari, si suami mendengar satu kuliah melalui corong radio kereta. Ustaz dalam kuliah tersebut menyampaikan, “Dalam kehidupan ini, kita kena selalu beristighfar. Istighfar akan membuka jalan bagi manusia dalam setiap urusan-uusan hidup. Dalam susah atau senang perlu selalu istighfar. Kalau ada masalah banyakkan istighfar. Buntu dan tidak menjumpai jalan penyelesaian, cuba istighfar. Hatta kalau kita tidak dapat anak pun kena istighfar.”


Pulang ke rumah, si suami menyampaikan pesanan ustaz tersebut kepada isterinya. Diminta kepada si isteri untuk mengamalkan istighfar dan memohon pada Allah agar dikurniakan anak dengan keberkatan istighfar tersebut.


Tidak lama kemudian isterinya mengandung dan melahirkan anak perempuan. Mereka menyambung lagi amalan istighfar. Tidak lama selepas itu isterinya mengandung dan dikurniakan anak perempuan lagi. Suami tetap dengan pesannya, “mari kita teruskan dengan amalan kita”. Mereka beristighfar, terus beristighfar. Akhirnya dikurniakan anak perempuan juga sebagai anak ketiga mereka.


Lalu si suami berkata kepada isterinya, “Kita sudah dikurniakan tiga anak perempuan. Apa kata, selepas ini kita beristighfar dan berdoa moga dikurniakan anak lelaki pula. Alhamdulillah, dengan amalan itu mereka dikurniakan anak lelaki seperti yang diimpikan.


Berkatalah suami kepada isteri, “Kita sudah ada 4 orang anak, sudah ada anak lelaki dan perempuan. Rasanya cukup sudah 4 orang ini. Kalau macam itu, kita berhentilah beristighfar”


Cerita dihujung ini membuatkan saya tertawa. Barangkali betul, barangkali sekadar gurauan cerita. Sebenarnya, yang ingin dititikberatkan dalam kisah ini ialah amalan istighfar yang mempunyai banyak fadilat seperti yang dikisahkan dalam al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W.


Dalam sebuah hadis, Ibnu Abbas Radhiallahu anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Bersabda Nabi S.A.W: Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya. (Hadis riwayat Abu Daud)


Manusia itu lalai. Manusia juga lalai bahawa dia dalam kelalaian. Lalai manusia adalah sia-sia, tanpa sedar mengundang dosa.


Dalam masa yang sama, manusia mempunyai impian, hasrat, keperluan dan kehendak hidup. Namun, manusia lupa bahawa impian, hasrat, keperluan mahupun kehendak hidup itu hanya boleh diberi oleh Dia yang sering dilalaikan manusia.


Apabila kita mengharapkan sesuatu dari manusia, manusia itu sering diingati, dihargai dan dipuji. Tetapi apabila mengharap banyak dari Allah, Allah dilupai dan dipandang sepi. Maka, jadilah kita seorang yang ‘dauble standard’ dalam pengharapan.


Allah S.W.T. ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Quran.

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu. (Surah Hud: 3)



Begitulah, banyak masalah, kekurangan, kesusahan, kemurungan, kesedihan berlaku dalam kehidupan insan disebabkan dosa dan kesilapan kita sendiri. Kita tidak menyangkal itu adalah ujian. Tetapi yang harus difikirkan, sama ada ujian itu penguat iman atau sebagai kafarah terhadap timbunan dosa sama ada secara sedar atau tidak sedar. Tidak mustahil semua itu menjadi hijab atau penghalang terhadap keinginan yang sangat diharapkan.


Ada masalah, ingatlah dosa..

Ada kesusahan, ingatlah dosa..

Ada kesedihan, ingatlah dosa..

Ada orang yang membenci, ingatlah dosa..

Mahal rezeki, ingatlah dosa…

Tidak naik gaji, ingatlah dosa..

Barang hilang, ingatlah dosa…

Putus cinta, ingatlah dosa...

Kemalangan, ingatlah dosa...

Tidak dapat anak, ingatlah dosa…

Susah belajar, ingatlah dosa…

Demam, batuk, selesema, ingatlah dosa…


Barangkali segala kesusahan yang berlaku disebabkan dosa kita atau dosa anak isteri yang turut dipikul dibahu sendiri.


Barangkali idea saya untuk menulis ini hilang juga kerana dosa saya…


Dosa tidak ikhlas, bangga dengan kelebihan menulis, muamalat yang tidak perlu, riya’, lalai dengan blog, menunda ibadah kerana menulis dan macam-macam lagi…


Terlalu ‘mengupdate blog’ tetapi tidak mahu ‘mengupdate iman’ .Pandai menulis, buat tidak mahu…


Sama-samalah kita muhasabah dengan kehadiran tiga bulan yang mulia ini Jadikan Rejab, Sya’ban & Ramadhan sebagai PROGRAM TAKWA TAHUNAN seorang individu Muslim, seorang da’ei dan seorang murabbi.


Thursday, June 25, 2009

BERKUASA DENGAN JIWA


Biar siapa pun kita, sama ada kita duduk atas timbangan atau sudah naik ke bulan mahupun bermata satu, yang pastinya kita sudah pun tidak berupaya. Kita sudah pun menjadi bangsa yang hampir gugur akibat kuasa yang ada di tangan. Kita berpecah akibat kuasa yang kita ingin perjuangkan tetapi tanpa sedar kita memberi orang lain berkuasa kerana kita sibuk untuk bertelagah.


Kuasa yang kita perjuangkan itu tiada erti bila kuasa itu kita perjuangkan untuk diri sendiri, kita bukan pertahankan kedaulatan bangsa tetapi kepapaan diri. Diri yang sudah jatuh miskin akibat jiwa yang kosong. Kuasa hanya boleh dipertahankan apabila kita meletakkan Allah s.w.t sebagai pemandu utama dalam perjuangan. Jika kita lihat zaman sahabat juga begitu, apabila kita meletakkan diri sebagai wadah untuk berkuasa maka sistem khalifah menjadi kucar-kacir.


Berkuasalah dengan jiwa bukan emosi agar kuasa tidak menguasai kita. Jika kita benar-benar ingin mendaulatkan bangsa, meninggikan darjat beragama, lihatlah pertikaian yang ada ini boleh membuat kita kuat atau sebenarnya menjadi wayang gambar yang menghiburkan orang lain.


Jangan sampai mata jadi satu, nanti hilanglah timbang, gelaplah bulan"



Oh, Kerajaan Perpaduan...



Wednesday, June 17, 2009

BIARKAN KAMI BERCINTA...


Aku & Dia,

Merajah renungan pada lautan

Menikmati lakaran ciptaan Tuhan

Meninggal memori seputar kenangan

Membugar hati biar bertahan


Hamparan lautan menguntum senyum

Desiran ombak memukul mesra

Sang Burung berkicau menyanyi riang

Pengunjung datang bertamu girang

Aku & Dia kembali mengalun lagu-lagu itu..


Kata hamparan lautan,

"Aku raikan senyum kamu berdua sebagai pejuang agama"

Tegas desiran ombak,

"Aku pukuli mesra kalian dengan kata-kata pujangga"

Kicau sang burung,

“Aku nyanyikan lagu-lagu jihad bersama"

Usik pengunjung,

"Lihat mereka berpimpin mesra"

Kata Aku & Dia,

"Kami dalam nikmat bercinta kerana Dia"


Monolog Aku & Dia,

Sebagai hamba yang kudus

Tekad Aku & Dia,

Sebagai pejuang yang tulus

Gapaian Aku & Dia,

Syahid pada jalan yang mulus

Destinasi Aku & Dia,

Syurga tanpa dunia yang rakus


Biarkan Aku & Dia bercinta,

Dengan cinta pada-Mu yang mengatasi

Biarkan Aku & Dia hidup,

Dengan hidup beragama yang merajai

Biarkan Aku & Dia bersama,

Dengan amanah jihad yang ditekuni


Biarkan, biarkan, biarkan kami bercinta

Hingga ketemu sampai ke Syurga!

Wednesday, June 10, 2009

CINTA BAJU BARU

"Sayang, nanti tulislah tentang kisah kehidupan kita sebelum berkahwin dalam blog. Tulis macam buku yang abang baca tu, macam mana dia kisahkan tentang cinta dia dan suami,” pinta suami saya.


Suami saya lebih awal menamatkan bacaan buku tulisan Fatimah Syarha itu. ‘Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul’ tidak kurang bezanya dengan dua hasil tangan Ustaz Hasrizal, ‘Aku Terima Nikahnya’ dan ‘Bercinta Sampai ke Syurga’. Kelainannya, ia dari suara hati dan pengalaman hidup seorang isteri. Buku tersebut dihadiahkan seorang sahabat semasa walimah kami.



“Abang tengok ramai pendakwah seperti kita ini turut hanyut dengan nafsu bercinta. Ustaz atau tidak ustaz, bila masuk bab bercinta ramai yang gagal mengawal perasaan. Panggilan ‘abang’ dan ‘sayang’ sudah dipraktikkan sebelum kahwin lagi. Belum kira lagi yang berSMS dan bergayut dengan panggilan telefon,” keluh suami.


“Bila dah sampai ke tahap itu, mulalah kurang komitmen pada dakwah. Macam-macam alasan yang diberi. Padahal jiwa tengah bergelora melayan cinta sebenarnya,” sambungnya lagi.


“Ish, dah start panggil 'abang' dan 'sayang' ke? Tak syoklah macam tu. Panggilan tu dah jadi basi lepas kahwin,” ngomel saya mengiyakan rasa kesal suami.


“Macam pakai baju rayalah. Baju tu kita beli sebagai baju raya. Tapi kita dah pakai banyak kali sebelum hari raya. Bila tiba hari raya, kita tetap memakai baju itu. Maksudnya, kita memakai baju yang telah lusuh, baju lama dan dah hilang kualitinya pada hari yang patut kita memakainya iaitu hari raya.”

Saya terus mendengar bicara suami malam itu.

“Lebih kurang macam itulah hubungan lelaki dan perempuan, suami dan isteri. Kalau sebelum kahwin dah buat macam-macam perkara yang sepatutnya haram dibuat, ibarat dia telah memakai baju itu sebelum tiba masanya. Sepatutnya baju itu dibeli awal tetapi disimpan dahulu. Seperti cinta, simpan dulu. Kahwin nanti barulah diluahkan. Cuba kalau masa raya kita dapat memakai baju yang baru, apa perasaan kita?”.


Bahagia. Tenang. Kasih-sayang. Romantik. Menghargai. Menerima. Merindui. Cinta..


...dan pelbagai rona rasa memenuhi relung jiwa kami ke dasar yang paling dalam. Kami baru merajai nikmat itu di saat ini. Entah dari mana naluri itu hadir, walhal ia tidak pernah dikendong, seringkali dibendung.


Selama 4 tahun kami menyimpan ‘baju’ cinta itu. ‘Baju’ itu dibeli 4 tahun yang lalu. Pada 29 Mei 2009, seusai diijabkabulkan, ‘baju’ cinta itu dikenakan secara sahnya pada jasad kami tanpa gelisah dan keluh kesah. Ketat atau longgar, labuh atau senteng, terkoyak atau sempurna, kami sudah sedia untuk saling menerima.


4 tahun bukan tempoh yang singkat untuk kami mengawal gelojak nafsu syahwat. Tidak semudah untuk bermujahadah. Namun, 4 tahun yang berlalu menemukan kami dengan satu titik nikmat cinta yang tidak mampu diungkapkan oleh orang yang gagal bercinta; yang terlebih awal mengenakan ‘baju’ pada jasad masing-masing sebelum tiba waktunya.


Tidak keterlaluan, hubungan kami sebelum berkahwin dalam tempoh 4 tahun itu tidak pernah dihambat masalah, krisis dan konflik sekalipun kecil. Lancar, selancarnya taqwa mengawal emosi. Masalah tidak wujud kerana tiada keperluan untuk masalah itu diwujudkan. Tawakkal sehebat burung, kami serahkan segalanya pada Rahman & Rahim Allah.


‘Abang’ dan ‘Sayang’ – Ia menyusul selepas panggilan 'ana' dan 'anta'. Kadang-kadang tersasul memanggil dibuatnya.


Romantiknya...

Kalian mahu merasai perasaan tersebut? Mahu merasa nikmat keberkatan hubungan itu?


Muhasabah dahulu ‘baju’ yang kita pakai di saat ini.


Seterusnya, bersama saya dengan CINTA BAJU BARU – CINTA SELEPAS BERKAHWIN!.


Monday, June 8, 2009

BERMULA SAAT ITU...

Assalamualaikum w.b.t. Bersua kita kembali di medan dakwah ini; bertatih semula menukilkan kata-kata kebaikan buat ingatan kalian dan diri sendiri yang sentiasa dahagakan makna dalam setiap inci kehidupan.


Sukar sekali digambarkan perasaan saya pada saat ini bersama seorang insan yang tidak putus-putus mengekori saya dengan sepenuh perhatian dan ketulusan sebuah tanggungjawab. Ke mana saya pergi, apa yang saya mahukan, bila saya keluar rumah, siapa di sisi saya selain dia, cukupkah keperluan saya dan apa-apa sahaja yang dituntuti saya dalam hidup perlu dalam pengetahuannya.


Suamiku..seorang yang pemalu, pemurah dan lemah lembut. Tiga sifat ini bertentangan dengan sifatku. Itulah sinergi perkahwinan; menyatukan dua perbezaan untuk saling melengkapi.


Sejujurnya, ia amat membahagiakan sehingga detik ini dan ketika udara dihirup saat ini. Tambahan, ia masih baru dirasai dan dilalui berbanding kehidupan dahulu. Ya, dia suami saya. Kehidupan itu adalah rumahtangga saya. Ia bukan rumahtangga sebarangan. Bukan rumahtangga nafsu atau rumahtangga cinta dunia.


Rumahtangga itu ialah baitul dakwah, baitul Islam dan baitul jamaah. Kami disatukan bukan sebab mahu menyatukan kehendak fitrah insan semata, tetapi penyatuan kami ialah penyatuan fikrah, penyatuan jemaah, penyatuan amanah ummah, penyatuan agama dan penyatuan generasi amilin Islam. Moga ia dianugerahi Allah dengan sakinah, mawaddah dan rahmah berkekalan ke hujung hayat kami. Hayat cintanya kekal sampai ke Syurga.



Pengharapan yang tinggi ke atas baitul muslim ini agar ia menjadi medan saling kukuh dan mengampuh antara satu lain dalam mentelusuri jiwa perjuangan ini. Semakin meninggi harapan itu agar hubungan yang terjalin melahirkan generasi-generasi rabbani dari rahim Islam, dari rahimku sendiri.


Ya, Allah…berikanlah kami kekuatan. Tiada daya dan upaya melainkan dengan daya upaya dari-Mu Ya Allah.


Banner yang menghiasi khemah kenduri. Selalunya orang lain letak gambar dan ucapan. Kami buat kelainan sikit. Setiap yang hadir akan membacanya sekaligus mendoakan kami. Banner dihasilkan oleh suami sendiri, seorang grafic designer.


Penghargaan tidak terhingga dari saya dan suami atas kehadiran kalian ke majlis perkahwinan pada sabtu minggu lepas. Syukur kepada Allah dan seterusnya terima kasih kepada kalian. Moga berkesempatan berjumpa lagi. Doakan kami dengan kesejahteraan, keselamatan dan perlindungan menaungi kami setiap masa dan keadaan.


Terima kasih kepada rakan blogger, Ms Rizal & sahabat yang meluangkan masa hadir.

Sahabat seperjuangan suami, Pemuda Pas Gombak. Turut hadir Nisa' Gombak & muslimat Pas Gombak.

Terharu dengan kehadiran YB. Dato' Dr. Hasan Ali, ADUN Gombak Setia merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor.

YB. Saari Sungib, ADUN Hulu Kelang turut hadir sama.


Maafkan saya, tidak semua gambar-gambar yang menarik dapat disiarkan. Gambar saya pun tidak dapat dipersembahkan untuk tatapan kalian. Semuanya ini atas keizinan suami.

Kata suami saya, isterinya cantik, biarlah suami seorang yang menatapi kecantikan itu.


Salam kebahagiaan buat kalian juga.


RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO